Revolusi dan demonstrasi orang Melayu

Monday, May 07, 2012 · Posted in , , , , ,


Revolusi dan demonstrasi adalah dua kata berbeza yang kerap membuatkan kau keliru. Benar, sejarah mencatatkan demonstrasi (menerusi penentangan) adalah sebahagian daripada revolusi. Sekarang kau boleh sebutkan semua revolusi menerusi demonstrasi yang kau ingati seperti di Perancis, Amerika, Iran, Filipina dan Indonesia.

Tetapi, sejarah juga mencatatkan revolusi juga boleh berlaku tanpa demonstrasi. Dan sejarah juga menulis tentang betapa banyak demonstrasi yang tidak membawa revolusi apa-apa pun.

Dalam bahasa skema, revolusi ialah perubahan sosial atau budaya yang berlaku dalam skala masa pantas dan berkait rapat dengan kehidupan sesebuah masyarakat.

Aku tidak salahkan kau kalau kau sempitkan revolusi itu kepada revolusi politik semata-mata, sedangkan sejarah dunia ini juga ada revolusi sosial. Itupun kalau kau masih ingat tentang Revolusi Industri, tercetus di Britain sebelum merebak ke seluruh Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan 19.

Namun, sebelum revolusi itu berlaku (yang membuatkan kau dan aku sekarang lebih mencintai makhluk tidak bernyawa seperti duit dan kereta), Eropah terlebih dahulu melalui revolusi sosialnya menerusi zaman pencerahan, 'Enlightenment' seawal abad ke-16.

Pada zaman itu, lahir beratus-ratus cendekiawan Barat dalam pelbagai bidang. Falsafah. Agama. Fizik. Kejuruteraan. Astronomi. Sastera. Politik. Kimia, Perubatan. Undang-undang. Banyak lagi.

'Enlightenment' muncul atas sikap kuriositi orang Eropah untuk menentang dogma agama dan politik istana. Ia (kuriositi) meluap-luap disebabkan dasar agihan ekonomi tidak seimbang dan undang-undang barbarian yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi derita.

Ya, sekarang kau mesti ingat tentang kata DERITA. Inilah punca utama yang mendorong kepada kemunculan 'enlightenment' dan kemudian mencetuskan pelbagai revolusi di Eropah.

Derita melahirkan 'enlightenment' yang kemudian membiakkan revolusi, sama ada dalam politik atau sosial. Demonstrasi atau bukan.

Namun, dalam sejarah Melayu, kata revolusi tidak pernah ada, apatah lagi 'enlightenment', yang ada cuma pemberontakan dan penderhakaan. Apakah kerana aku dan kau tidak pernah mahukan pencerahan?

2 Responses to “Revolusi dan demonstrasi orang Melayu”

kingbinjai said...

sebab kita banyak berhibur...

AinNur Haris said...

ermm..
melayu suka mengata daripada berkata-kata..
.
.
mungkin juga..
.
.
melayu hanya suka krim pencerah muka daripada "pencerahan" total yang dikatakan oleh sejarah itu sendiri.. :)


.

Powered by Blogger.