Pasal McDonald's dan boikot

Tuesday, November 20, 2012 · Posted in , , ,



Gaza diserang dan hati kau jadi kacau, sakit hati dan marah-marah. Kau buka Facebook dan Twitter, berpusu-pusu komen memenuhi timeline. Ada yang siar gambar budak mati, ada suruh berdoa, ada melaknat Yahudi, ada ulang siar teori konspirasi, ada jual selendang dan baju Palestin, ada tukar gambar profil dan ada mahu memboikot premis makanan segera paling berpengaruh di dunia, McDonald's atau McD atau Mekdi.

Kau faham, tindakan memboikot sesuatu produk atau premis adalah antara apresiasi protes paling mudah terhadap apa saja tindakan yang menentang kebinatangan manusia. Aku tak tahu sebab apa kau katakan menentang kebinatangan sedangkan binatang itu membunuh untuk survival. Ataupun kau patut guna kata 'menentang kesetanan atau keiblisan manusia'. Tapi tahukah kau, setan dan iblis itu kerjanya menghasut saja, bukan serial killer. Setan dan iblis tidak pernah menuntut mana-mana wilayah autonomi milik manusia.

Bercakap mengenai boikot, kau marah-marah orang yang masih lagi melahap McD ketika Gaza dibedil. Pada kau, semua umat Islam patut boikot McD supaya syarikat itu bungkus dan balik Amerika.

Tapi malangnya, setiap tahun McD buka premis baru dan tawarkan beribu-ribu peluang pekerjaan kepada golongan marhaen yang berpendidikan rendah dan mereka yang mahu kerja separuh masa untuk cari duit poket lebih macam pelajar dan gelandangan kota.

Kerana malas sebab penat atau memang malas, kau biasanya akan pandu kereta kau masuk 'Drive Thru' selepas balik kerja dan order satu set Big Mac dan makan sambil memandu.

Kerana malas juga kau akan ambil telefon dan buat pesanan jauh dan brader McD akan datang ketuk pintu rumah dengan sepaket set Quarter Pounder dan Apple Pie yang masih hangat.

Kadang-kadang kau bukan malas, cuma kau penat dan tak larat gila sebab kau sakit terlantar di rumah sedangkan semua orang dalam rumah kau pergi kerja. Kau lapar dan tak larat nak bangun. Kau bukan suka McD sangat, cuma kau tak ada pilihan. Tak pernah lagi ada mana-mana kedai Melayu buat delivery nasi goreng ayam halia dan ais kosong atau kedai mamak sediakan perkhidmatan mapley hantar roti boom dan milo ais kaw.

Lagipun kau pencinta alam sekitar dan McD tak guna plastik, apatah lagi polisterin yang ada kimia macam-macam.

Sedar tak sedar, baru kau teringat. Selain masakan mak, tak ada mana-mana masakan selain McD yang kau sudah melahap selama berpuluh-puluh tahun tanpa jemu. Dan dalam kepala otak kau terbit satu isme, 'McDonaldisme' bahawa dalam cakerawala ini, tak ada burger yang mampu menandingi kesedapan burger McD hatta burger dari sorga sekalipun. Entah Ifrit jenis apa dibela McD, getus kau.

Dan bila Gaza diserang, kau jadi marah dan sungguh-sungguh mahu boikot McD. Sebenarnya kau bukannya mahu boikot sangat, tapi sebab kau segan mahu masuk McD sebab kau Melayu Islam.

Jauh dalam sanubari, doa kau untuk kemerdekaan Gaza dan Palestin tidak seikhlas mana pun jika dibandingkan dengan doa (meskipun kau tidak menadah tangan) mohon Palestin cepat aman (dan Yahudi cepat mampus) supaya kau dapat makan McD lagi.

Kau tak pernah dan tak mahu faham pasal kitaran ekonomi yang menjajah, pasal pasaran bebas yang memaksa, pasal mengapa Yahudi menakluk dunia, pasal alam sekitar, pasal kebersihan, pasal customer demand dan pasal makanan bodoh yang kau suap selama berpuluh-puluh tahun itu. Tanpa jemu dan sedap belaka.

2 Responses to “Pasal McDonald's dan boikot”

Powered by Blogger.