Kalau agama itu negara

Wednesday, November 14, 2012 · Posted in ,



Asasnya, kau automatik diisytiharkan warga Republik Gabon apabila ibu bapa kau yang sah taraf kerakyatan melahirkan kau dalam negara itu. Aku ambil contoh Gabon supaya tak ada siapa yang kecil hati.

Dalam bernegara kau sebenarnya tak ada hak memilih negara mana yang kau mahu dilahirkan. Semuanya terpulang di mana ibu bapa kau hidup.

Walaupun negara kau teruk gila, kau tak ada hak bercakap, aku bukan warga Gabon melainkan kau bersedia mendapatkan suaka negara lain atau akhiri hidup sebagai warga tanpa negara. Misalnya di Artik atau Antartika atau Pergunungan Himalaya.

Ini realiti hidup sekarang kerana kita bukan lagi manusia tanpa negara seperti moyang yang dulu, bebas menjelajah dan menjajah.

Jadi, apabila kau sah sebagai warga Gabon, adalah wajib kau menumpahkan taat setia dan mematuhi perlembagaan negara itu. Dan sebarang perbuatan treason atau traitor atau pengkhianat adalah termaktub sebagai jenayah yang boleh dikenakan hukuman sama ada buang negara atau hukum mati atau penjara. Semua negara ada hukuman ke atas penjenayah sebegini.

Kalau pun betul kau memang tiada hati dengan negara kau, tiada guna kau memekik mencari kebebasan berwarganegara yang sememangnya bukan saja tidak ada, malah tidak realistik pun.

Sekarang apa perlu kau buat adalah bungkuskan kain baju dan berangkat segera ke Amerika Syarikat dengan harapan kau diberikan taraf kerakyatan negara itu. Mungkin kau akan mendapat taraf penduduk tetap ataupun anak-anak kau nanti akan menjadi warga negara itu.

Kalau kau tidak mampu ke mana-mana, carilah cinta dan kasih dalam negara yang kau nampak buruk semata itu. Ataupun kau diamkan saja perakuan betapa kau tidak pernah mengaku sebagai warga Gabon. Kerana jiwa dan raga masakan dapat dipenjara. Menukar kewarganegaraan memang payah, tetapi tidak payah juga mencari makna dan erti tentang cintakan negara sendiri.

Powered by Blogger.