Rasmi merasmi budaya kita

Wednesday, December 07, 2011 · Posted in ,


Di bawah kaki lima pejabat aku ada satu plak gangsa tertulis nama Anwar Ibrahim sebagai individu yang merasmikan pejabat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 1998, beberapa bulan sebelum beliau dipecat Mahathir.

Gambar di atas pula ialah poster perasmian lampu jalan di Chemor daripada wakil rakyat atau VIP entah apa nama aku tak kenal yang mengundang gelak berdekah-dekah di kalangan warga internet Malaya.

Aku ingat lagi masa zaman Mahathir dulu, apa saja projek kerajaan akan ditulis projek Barisan Nasional dengan bendera parti dilukis atas papan notis, satu propaganda Mahathir untuk menunjukkan kerajaan buat kerja dan langkah menepis dakwaan Pembangkang yang mengaku sesuatu projek itu dia orang buat.

Masalah suka show off atau tayang-menayang ini bukan saja penyakit juak kerajaan, tetapi juak pembangkang pun lebih kurang sama juga. Tak percaya tunggu musim perayaan, mesti ada naik poster rasmi majlis khatan, surau, gelanggang futsal, balai raya, padang bola dan ucap selamat raya macam-macam.

Soalannya, apa jadah semua perkara kita buat mesti VIP kena rasmi? Apakah kalau bangunan itu dirasmikan oleh Alexander the Great, maka ia dijamin tidak akan runtuh walaupun itu projek subkon makan lebih (rujuk kes Stadium Sultan Mizan).

Pensyarah aku pernah cerita kes pelajar dia jemput wakil rakyat untuk rasmi program gotong royong di fakulti, iaitu projek yang ada kaitan dengan markah periksa.

Malangnya, majlis perasmian yang patut mula jam 9 pagi tertangguh dan tak dapat dimulakan hingga jam 11 pagi, semata-mata mahu tunggu wakil rakyat tersebut. Dan bila wakil rakyat tu datang, dia pun terpinga-pinga kerana tak sangka begitu dahsyat upacara sambut menyambut yang dilakukan. Sudahnya, program gotong-royong cuma cukup syarat saja sebab hari pun sudah panas dan lebih baik masing-masing balik makan nasik.

Bagi aku, budaya rasmi-merasmi ini bukan salah wakil rakyat atau VIP, tetapi salah sikap kita sendiri yang terlalu angkat dia orang macam tu. Sama ada kau orang sedar atau tidak, budaya mengangkat VIP ni sebenarnya sudah ditanam, membenih dan berakar sejak sekolah lagi.

Lihatlah apa saja acara sekolah, untuk menampakkan betapa gah acara itu, maka dijemputlah orang pejabat pendidikan negeri datang. Untuk lebih king, dijemput pula wakil rakyat. Mahu lagi king kong dipanggil MB atau PM mencemar duli. Acara entah ke mana, berhabis duit saja yang banyak.

Aku tidak tahu apa signifikan seseorang VIP dengan sesuatu acara atau projek yang dibuat kerana apa yang aku faham, biar siapapun yang merasmikan sesuatu bangunan itu, ia sama sekali tidak dapat menghalang ia runtuh atau diruntuhkan ataupun menjadikan sesuatu projek itu sukses kalau yang buat atau urus projek itu terdiri daripada spesies yang bingai.

Kepada cikgu-cikgu, tolong hentikan budaya rasmi merasmi ini di sekolah anda dan mulakan sekarang. Kalau nak rasmi juga supaya tak melanggar adat budaya warisan bangsa (kononnya), minta saja guru besar buat (sebab dia VIP dan masih termasuk warga sekolah), tak payah orang luar. Nak jemput VIP luar juga tak ada masalah, tapi bukan untuk rasmi dan dibentang karpet. Kalau acara atau majlis sudah mula, tolong mulakan dan tak payah nak tunggu-tunggu bagai. Majlis kita, orang luar kena hormat dan ikut.

Rasmi-merasmi bukan penentu negara kau boleh jadi negara maju pun.


2 Responses to “Rasmi merasmi budaya kita”

Nik Zulkhairi said...

lampu tu nak kena rasmi. kalau tak dia tak nak nyala.

AinNur Haris said...

mungkin dgn jemput VVIP ni datang merasmikan sesuatu/sesbuah.. maka, ada lah sikit "dihulur-hulur"nya..

(walaupun yg dihulur tu dtg dari duit peruntukan kementerian/jabatan..a.k.a duit rakyat lah jugak)

yg penting nama..bukan acara.. (ngee..ngee..badigossss..!!)

Powered by Blogger.