Bermula 10 Mei lepas, harga gula naik 20 sen sekilogram daripada RM2.10 kepada RM2.30, tidak lama selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol RON97 kepada 20 sen seliter. Ok, petrol RON97 mungkin bukan isu besar sebab rakyat diberi pilihan menggunakan RON95. Tapi, itupun ada ura-ura harganya akan disemak (baca: naik).
Kenaikan harga gula dikatakan sebahagian daripada langkah rasionalisasi (kurangkan) subsidi, yang mana kerajaan boleh berjimat hingga RM116.6 juta.
Dan seperti biasalah, bagi menguatkan hujah kenaikan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom dalam Utusan membandingkan harga runcit gula di Malaysia dengan negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.
Kata Mohd Zain, harga runcit gula di Indonesia ialah RM3.80 sekilogram, Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50). Menurutnya lagi, sebelum rasionalisasi harga runcit gula dibuat, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM400 juta setahun! Malah, walaupun harga dinaikkan 20 sen, Kerajaan sebenarnya masih lagi menanggung subsidi RM283.4 juta setahun.
Namun, bagi aku, isu sebenarnya bukanlah mengenai kenaikan harga gula, tetapi kesan berangkai akibat kenaikan harga barang komoditi itu. Sama seperti kenaikan petrol, sesiapapun tak dapat nafikan betapa kenaikan harga gula akan turut melonjakkan harga makanan dalam pasaran. Macam satu trend, gula naik, harga barang pun naik. Kuih-muih di pasar malam mengecil dan air manis rasa tawar tapi harga macam cilake. Siapa mau jawab?
Jadi, apa kejadah mahu selaraskan subsidi kalau kesannya hanya membebankan rakyat, terutama kalangan isi rumah berpendapatan rendah?
Seperkara lagi, antara kenyataan pak menteri yang kerap digunakan setiap kali berlaku apa saja kenaikan harga barangan ialah perbandingan dengan negara dunia dan serantau. Minyak kita lagi murah dari Indonesia. Gula kita lagi murah dari Filipina. Tapi, pernah tak pak pak menteri keluarkan hujah mengenai perbandingan harga makanan atau barang keperluan lain dengan negara yang dijadikan rujukan bandingan harga itu?
Thailand, misalnya, walaupun harga gulanya mahal sedikit (lebih 1 sen), tetapi purata harga makanan jauh lebih murah daripada Malaysia. Kadar Sepinggan Nasi Kasar (KSNK) di Thailand, yakni sepinggan nasi berisi lauk ayam/daging+sayur+air manis di kebanyakan restoran kecil di sana adalah sekitar RM4 saja. Malah, hidangan pulut (sticky rice) dan ayam panggang ataupun sepinggan mi yang dibeli di warung jalanan atau gerai tepi jalan, harganya cuma RM2!
![]() |
Ayam panggang campur pulut harga dua ringgit mana nak cari kat Malaya ni? |
Macamana pula dengan KSNK di KL? Harga sepinggan nasi+seketul ayam+sayur+air manis di kebanyakan restoran sekitar KL adalah RM6-RM7! Minta nasi separuh pun harga sama. Ambil ayam kecik pun harga sama! Teh o ais yang airnya separuh dan guna serbuk teh timbang kati yang rasanya kejap tawar kejap manis, kejap kaler nipis, kejap kaler pekat, tapi bila masuk bab harga, RM1.70! Gila ke apa ni woi, harga makanan main ikut flat rate. Mahal-mahal KFC pun, saiz ayam, roti potong, coleslaw dan mashed potato tak berubah. Tapi, kedai yang gantung ayat seribu dinar kat dinding jual ayam kecik 3-4 ringgit seketul!
Lagi ajaib, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam Dewan Rakyat tahun lalu memberitahu Malaysia sebenarnya mengimport 99 peratus bekalan gula dari Brazil, Australia dan Thailand untuk memenuhi permintaaan domestik. Gula untuk pasaran tempatan cuma 1 peratus, iaitu 17,000 tan.
Bukan mahu mempertikaikan fakta diberikan, tapi kita semua tahu siapa Robert Kuok. Semua orang tahu dia adalah manusia paling kaya di Malaya yang cukup terkenal dengan julukan 'Raja Gula Asia'. Kenapa digelar Raja Gula? Ya, sudah tentu gelaran itu merujuk kepada perniagaan teras beliau, iaitu gula.
![]() |
"Walaupun gua Raja Gula, itu tidaklah bermakna harga gula dijamin rendah. We are talking about business OK.." |
Tapi, apa kejadah dapat gelaran Raja Gula kalau pasaran gula dalam negara sendiri cuma mampu tampung 1 peratus? Tiba-tiba aku teringat cerita kawan aku kena gelak dengan pak Arab apabila dia beritahu pasal isu krisis air di Malaysia. Pak Arab itu cakap, apa kejadah negara tropika macam Malaysia ada krisis air? Ini kerana semua orang tahu negara tropika paling banyak hujan dan Malaysia bukan negara Arab sampai kena proses air laut buat air minum dan bagai lagi.
Rasionalisasi taik kucing!
*KSNK itu terma ekonomi aku sendiri. Jangan buat jawab dalam kertas periksa.