kronologi - sakit

Sunday, February 03, 2008 · Posted in ,

KRONOLOGI - SAKIT

Entri ni tertangguh. Sangat lambat. Tentang teater Sakit. Asalnya mahu publish ketika teater tu masih panas. Tapi aku tangguhkan. Menunggu waktu yang sesuai. Lama. Sehingga aku terlupa.

Satu hari aku dapat mesej dari seorang pensyarah Pengurusan bertanya -Sakit ada kena mengena dengan seseorangkah?- Dan aku beri janji akan cerita panjang lebar di blog aku nanti.


DURASI SKRIP

Ok. Skrip ni aku siapkan dalam durasi seminggu. Mulanya mahu tulis dalam bahasa yang sofistikated tapi melihat bakal audien Univerisiti Kerajaan Swasta yang banyak beranggapan menonton teater satu seni yang susah nak faham dari manusia yang penuh jiwa-jiwa maka aku tukar ke arah bahasa skrip yang lebih ringan. Remaja. Pastinya lebih enjoy bila menonton. Skripnya serampang dua mata. Kau boleh tonton untuk suka-suka. Atau kau boleh tonton dengan penuh fikir kalau kau jenis yang itu.


SINOPSIS

Sakit tentang Jeri, yang gagal peperiksaan. Joni yang 6 kali putus cinta. Dan Jaki yang didiagnosis mengidap sakit jantung.

Ini teater surrealisme. Mereka. Tiga lelaki yang menanggung sakit pada level yang berbeza-beza. Dan mereka mengeluh pada takdir diri. Saling tuduh-menuduh, mengatakan diri yang paling malang. Dan pari-pari muncul memberi ubat.Tapi ubatnya cuma satu. Sebutir pil.

Mereka saling bercakaran. Saling berebutan, membela diri yang paling sakit dan berhak untuk ubat yang satu. Klimaksnya ubat itu cuma pil selsema. Ada surat yang tertulis, UBAT YANG TERBAIK HANYALAH DOA. Tamat.


IDEA

Macam ada something saja dengan sakit? Tanya seseorang. Aku gelak. Hahaha.

Betul, Sakit aku dedikasi pada diri sendiri. Sebab semua rasa sakit di atas aku pernah rasa. Dan aku kumpulkan juga pengalaman-pengalaman sakit orang lain. Macamana reaksi dan respon mereka ketika dan selepas sakit. Dan aku tulis.
.
.
Kau pernah sakit ulser dalam perut. Tingkatan dua seingat kau. Seminggu terlantar. Tak terjamah makanan. Kau rasa itulah sakit yang paling sakit dalam dunia. Dan kau bertaubat nak jadi manusia yang baik.

Lepas tu kau pernah juga sakit gigi. Tak tidur malam dibuatnya sampai kau ada perasaan mahu hantukkan kepala ke dinding. Biar berkecai agar kau tak rasa sakit lagi. Kau rasa itulah sakit yang paling sakit dalam dunia. Dan kau bertaubat nak jadi manusia yang baik.

Kecewa tak dapat ke IPTA juga salah satu kesal yang selalu kau ingat-ingat. Dibandingkan dengan rakan-rakan yang punya result lagi teruk tapi layak ke sana buatkan kau bertambah stres. Rasa terbuang. Terpinggir. Tapi takjubnya di Universiti Kerajaan Swasta kau ketemu dengan kumpulan rakan-rakan terbuang. Yang gagal semester akhir di IPTA. Yang perangai pelik-pelik. Yang punya sejarah hitam macam-macam.

Cinta. Mana-mana lelaki pun akan bodoh kerana cinta. Dan untuk merasai kebodohan itu kau perlu bercinta bersungguh-sungguh. Sesungguh hati. Dan bila kau kecewa maka cinta itulah yang akan meremuk kau bersungguh-sungguh. Sesungguh hati. Sedangkan ketika bahagia itu datang kau sudah tidak kisah siapa pun. Tuhan pun sudah tidak wujud. Bahagia dan senang sudah membuang Tuhan kau jauh-jauh. Cinta telah memberi kau ruang maaf. Maaf. Maaf. Maaf. Maaf. Maaf. Sehingga kau sendiri keliru maaf yang bagaimana lagi yang patut kau beri.

Dan ketika kaki dan tangan kau seperti diikat dan ditarik sampai putus. Dengan nafas tersentap. Dan nyawa pendek. Barulah mahu kau teringat pada dosa-dosa. Dosa-dosa yang tak sanggup kau ceritakan. Sampai berani kau minta Tuhan matikan kau. Ketika itu.
.
.
Dan sakit itulah cahaya. Untuk kau secara personalnya. Sakit ini buatkan kau menjadi manusia redha. Boleh menerima. Kembali pada fitrah diri. Dekat pada Tuhan.

Dan kau sangat berharap kau jadi manusia paling beringat. Insya-Allah.


DIBERIKANNYA SAKIT

Apa ertinya kejayaan? Tanya Tuan Haji Roslan suatu hari.

Ramai orang akan beritahu, kejayaan ialah apabila kita dapat bangkit dari kegagalan. Apabila kita dapat mencapai sesuatu yang diimpikan.

Salah, beritahu Tuan Haji. Katanya erti kejayaan ialah apabila ketika kita berjaya, gembira, bahagia, gagal, sakit, sengsara, derita dan pelbagai uji lagi tetapi kita masih mampu taat kepada-Nya.

Kata-kata Tuan Haji ini buat aku sangat teringat. Termenung. Sayu meruntun-runtun. Tiba-tiba. Sejauh manakah taatnya aku kepada-Nya?

Dan kenapa Tuhan berikan sakit?

Pertama. Itu tanda peringatan dan amaran. Kedua. Itu rahmat dan nikmat.

Pernah aku langsung tidak sakit 3-4 tahun lamanya. Waima demam sekali pun. Dan sekarang baru aku perasan betapa waktu itu apakah Tuhan pedulikan aku?

Sebelum ini kita selalu cakap bila kita sakit itu tandanya Tuhan marahkan kita. Tapi kerana beberapa kesakitan yang aku tanggung aku jadi lebih takut sekiranya aku langsung tidak diberikan sakit. Apakah Tuhan tidak pedulikan aku lagi?

Apabila kita sakit kita akan berdoa. Membuat nazar kepada Tuhan. Berazam macam-macam. Mahu jadi manusia sempurna. Mahu jadi lebih baik.

Ada beberapa kawan aku yang berubah selepas sakit. Jaga solatnya. Ada juga yang sekejap saja. Aku akui banyak manusia berubah selepas sakit. Selepas ditimpa kemalangan. Selepas merasa kehilangan. Selepas dikecewakan. Cuma bezanya sejauh mana kita boleh merenung fitrah diri atas sakit yang diberi. Itu terpulang pada penghayatan sakit masing-masing. Secara naturalnya sakit buatkan kita sangat dekat dengan Tuhan. Sangat intim.

Dan apabila kita mula berubah kita selalu dipandang serong. Seolah-olah apabila kita berubah kita akan menjadi manusia paling sempurna. Sesempurna malaikat. Sesuci nabi. Walhal manusia itu penuh dosa. Sebab itu diberikan-Nya keampunan. Taubat. Doa.

Kata En. Ijat, jangan lawan fitrah diri. Secara fitrahnya manusia mahukan kebaikan. Bahagia. Dan kita yang menerima nikmat Islam sepatutnya tahu bagaimana cara kita perlu hargai dan syukuri nikmat Islam yang diberikan-Nya itu. Tolong jangan nafikan fitrah itu.

Sakit memberitahu hidup kita pendek saja. Apa yang kita lalui itulah kita. Dan itu bergantung kepada latar didikan keluarga kita. Siapa yang kita jumpa. Apa yang kita baca dan belajar. Dugaan apa yang kita hadapi.

Kita sudah buat perhitungan yang silap [apabila diuji sesuatu] apabila mengatakan kenapalah nasib kita macam ni. Kenapa tidak seperti orang lain.

Dan pengalaman-pengalaman itulah yang membentuk kita menjadi kita. Aku menjadi aku. Kau menjadi kau. Dan setakat mana kau belajar dari hidup sangatlah subjektif. Tak tercapai akalmu. Kata Elyana.

Cara hidup kita tiada kompas. Hidup kita variabel. Tiada paksaan. Merdeka. Cuma selalu saja kita tewas pada sekeliling. Pada makhluk. Pada hidup. Nafsu.

Dan Muhammad tinggalkan Al-Quran dan sunnah sebagai peta perjalanan. Untuk kau dan aku. Cuma aku yang selalu tertinggal. Terperuk dalam lemari buruk.

Powered by Blogger.