Mencari Ramadanisme yang hilang

Tuesday, August 09, 2011 · Posted in , ,

Tepung Pelita sedap tak ingat di Param Paya Jaras
Suatu petang, selepas dua tiga kali mundar mandir di sebuah Param, pinggir Kuala Lumpur, tangan aku masih kosong. Tidak tahu apa yang mahu dibeli, sedangkan sebelum itu bukan main banyak hologram menu makanan dalam kepala aku.

Semua makanan nampak sedap belaka, tetapi pepatah Inggeris klise yang satu itu juga yang aku ingat, don't judge a book by it's cover. Aku takut makanan yang 'nampak' sedap itu tidaklah sesedap mana. Tapi, rasanya tak kena pula kalau aku cari makanan yang cover-nya langsung nampak tak sedap. Tak mungkinlah aku beli tepung pelita yang rupanya macam tepung gomak.

Kata Prof Charles Spence, 'people's perception is typically dominated by what their eyes see' dan hukum ketika beli makanan begitulah. Segalanya berlaku tanpa sedar. Aku mafhum benar pasal erti dari mata turun ke hati, dari mata juga turun ke rasa.

Pasal bagaimana 'rasa' itulah yang buatkan aku dan kau kecur liur dan tiba-tiba jadi kurang waras dengan beli makanan melebihi keperluan. Sudahnya, aku bawa pulang sepaket bihun sup (RM3.50), sekeping murtabak utara (RM3) dan lima tepung pelita (RM2).

Apabila azan Maghrib berkumandang, selepas berdoa iftar tentunya, aku jamah ketiga-tiga juadah itu mengikut tertib dan seni makan. Dimulakan sepotong murtabak (yang dibelah empat), disusuli bihun sup dan ditutupi tepung pelita.

Hasilnya, kecuali murtabak dan tepung pelita, bihun sup yang aku beli rasanya agak cilaka. Bihunnya tidak cukup dicelur, rasa keras macam mengunyah snek rumpai laut dari Jepun yang direndam dalam kuah sup kayu manis.

Aku menyumpah (sebelum reda 15 minit kemudian) dan tiba-tiba sedih memikirkan hari-hari Ramadan mendatang kerana setakat entri ini ditulis, aku sesungguhnya masih gagal membeli set juadah berbuka yang sempurna 'rasanya'.

Aku terhimbau kenangan lebih 15 tahun ketika zaman remaja dulu. Betapa pasar Ramadan ketika itu tidak pernah gagal memberikan makanan yang cukup rasa untuk aku nikmati setiap kali berbuka. Berhentilah di mana-mana gerai dan aku cuma perlu tudingkan jari, pasti saja aku tidak pernah menyesal menjamahnya. Nasinya banyak, cukup sukat air, lauknya ada rasa, jauh sekali kedekut dan kuihnya gemuk gedempol belaka. Sudahlah sedap, murah pula.

Namun, zaman berubah dan ekonomi menukar segala-galanya. Terdesak dengan keuntungan dan makna persaingan, aku menyaksikan orientasi masyarakat Melayu hari ini sudah berubah, yang mana wang ringgit menjadi tujuan dan bukan alat lagi. Ratib Melayu hari ini sudah menjadi, Alhamduringgittt..

Begitu senang kita petik hadis Nabi SAW mengenai punca utama rezeki daripada jual beli, tetapi jarang pula kita mahu bicara perihal asas jual beli itu sendiri, yakni muamalah yang diikat kata jujur dan percaya.

Sudahnya, kaum niaga Melayu yang kita lahirkan hari ini akarnya rapuh, tiada lagi dalam hatinya niat mahu berkongsi rasa dan rezeki, sifat individualistiknya tinggi dan akal menipunya boleh tahan. Kalau tidak banyak, sedikit pun boleh juga.

Ketika aku habiskan tepung pelita kelima ini (dalam masa tidak sampai 10 minit sebab sedap), aku terfikir-fikir tentang hari esok. Ah, gerai mana pula harus aku beradu nasib mencari 'Ramadanisme' yang hilang.

6 Responses to “Mencari Ramadanisme yang hilang”

Anonymous said...

Param sentul plaklah..amacm?

selatan79 said...

nyum3x....tepung pelita my feberet too...! penah beli tepung pelita yg sedap kat taman melawati... diorg mmg specialist... now dah pindah serdang xjumpa lg yg shedaaapp..! hukhukhuk!

famia said...

Ada satu gerai jual kuih tepung pelita paling sedap di param Taman Melawati. Kedai tu semua makcik2. Lepas tu bekas kuih tepung pelita dia daripada kayu. Dan banyak gila lebah hurung kedai tu. Pukul 5 lebih biasanya dah sold out kuih tu.

Hambali ® said...

banyak lebah=manih melecaih=ok?
orang yang beli tu banyak pakai kerusi roda tak?

sUe said...

memang sadis kalau beli benda kat pasar malam tapi rasa dia macam hampeh.

hari tu saya beli nasi ayam kat pasar malam. ayam dia keras gila. (confirm dah goreng byk kali)sambil makan tu rasa macam nak menitik air mata pun ada. huhuhu!

btw, tahniah jumpa tepung pelita yg sedap.

Lanzo said...

anony;
sesak sangat.. tak sempat nak turun..

selatan 79;
terliur aku baca nih.. haha..

famia;
perghh.. tepung pelita taruk madu ke apa?

hambali;
apa kena mengena kerusi roda?

sue;
sekarang dah tak berani beli main tunjuk macam dulu. baik singgah restoran order. lagi ok. :)

Powered by Blogger.