Archive for February 2005

jampi

Saturday, February 26, 2005 · Posted in

JAMPI

Tanam lengkuas atas bukit...
Budak buas dapat sakit...

Abah akan baca jampi ni setiap kali aku sakit atau jatuh dan luka-luka masa kecil dulu. Sambil baca abah akan lambung-lambung tubuh aku dan menyembur air liur hikmatnya. Sakit aku reda. Jampi abah mujarab...



Kawan baik pengsan dan masuk hospital. Dia susah hati kena tinggal sorang-sorang. Dia sakit hati kat kawan-kawan. Dia sakit hati kat aku. Aku tak boleh temankannya. Masa aku sakit pun tak ada siapa nak teman aku. Aku sakit sendiri-sendiri saja. Aku tak mahu susahkan siapa-siapa. Biarlah...

Aku mahu kawan baik merasa bagaimana sakit sendiri. Mengenal siapa yang bersungguh dan siapa yang hanya tahu merusuh. Masa melawatnya, aku koyak kertas. Aku tulis jampi abah.

Tanam lengkuas atas bukit...
Budak buas dapat sakit... :)

Aku harap dia betul-betul kuat. Kuat jiwa dan segala-galanya....

Kelambu:....

motorku motormu

Wednesday, February 23, 2005 · Posted in

MOTORKU MOTORMU

Salleh sekarang Salleh yang baru

Sebelum ni dia pakai Honda EX5. Sekarang dia sudah beli Yamaha 125. Baru!!

Warna motornya hitam dan dibauri warna merah di bahagian handle, mudguard dan beberapa bahagian lain... Rakan-rakan lain sungguh berahi melihatnya sehingga meleleh air hidung, air mata dan air liur...

Semua cemburu... Sakit hati... Sakit tangan... Sakit sesakit sakitnya....

"Lepas ni.. sorry, tak de pinjam-pinjam ekk...." Salleh terlebih dahulu membuat pekelilingnya..

"Korang nak pergi mana?" Tanya Aslam mencelah.

"Pegi CC."Jawab aku.

"Mana motor hang?" Tanya Aslam lagi.

"Motor aku motor wakaf... Untuk kebahagian rakan-rakan dan taulan-taulan....," kata aku sambil membonceng Adie untuk pergi ke CC...

Kelambu: Suzuki rongakku dah 7 tahun rupanya...

playmaker

Sunday, February 20, 2005 · Posted in

PLAYMAKER

Aku dan kawan-kawan yang lain sebenarnya tak berapa suka dengan Jef sebab dia seorang yang kecoh dan suka membuat lawak yang tidak cukup bagus mutunya di dalam kelas...

Hari ni Jef menjadi seorang playmaker dan oportunis yang baik...

Jef membuat hantaran mula kepada seorang mamat Kelantan dan mamat tersebut menghantar secara perlahan kepada Kahar yang saling bersefahaman dengan Pejal. Mereka saling berbisik.

Aku tersengguk dengan keegoan aku sambil menjeling kepada Ijok yang buat-buat pandai tapi tak berapa pandai...

Masa makin suntuk... Cik Mohamad berlegar-legar sambil menatap jam tangannya... Ayie gelisah di barisan hadapan... Lalbi gelisah juga... Jarul lagi lagilah gelisahnya... Mereka silap kerana menjadi pemain barisan hadapan...

Dalam keadaan kesuntukan masa, Ijok nekad meminta lorongan dari Jef. Give me all you've! Kata Ijok dengan suara garaunya.

Ijok dapat lorongan dan membuat hantaran kepada aku.. Aku jeling malu-malu..

Ahh..., maaf.., aku tak boleh terlalu jujur... Aku pasrah... (kata diriku yang tidak dapat menjawab soalan JAVA cik Mohamad)

Wisel berbunyi. Cik Mohamad mengutip kertas. Jef menghantar dengan muka puas. Seperti tiada apa-apa berlaku. Pemain-pemain barisan belakang pun begitu juga. Semuanya puas termasuk aku... Terima kaseh Jef... Aku harap dia terbatuk-batuk ketika ucapan terima kasih secara telepatiku sampai sewaktu dia makan nasi nanti... :)

Kelambu: waa... exam makin dekat...

wang kertas atau wang syiling

Thursday, February 17, 2005 · Posted in

WANG KERTAS ATAU WANG SYILING!

(Ini adalah entri tertunda. Tak ada kena mengena dengan hari kekasih apatah lagi valentine. Entri ini ditujukan khas untuk sesiapa sahaja yang mahu mencari atau memburu cinta... Chewwah...)

Wang kertas ada rm1, rm2, rm5, rm10, rm50, rm100 dan rm500

Wang syiling ada 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Ya, sudah tentu banyak lelaki akan memilih wang kertas yang paling kiri kerana nilainya besar tetapi tahukah anda bahawa kedudukan wang syiling adalah ke kanan sekali dalam senarai angka wang=>rm500.51.

Orang kata kanan lebih afdal dan berkat. Mengambil/memulakan sesuatu kebaikan dari kanan adalah sunnah. Contohnya, masuk masjid dan masuk rumah. Pepatah mengatakan, langkah kanan bermaksud cukup bertuah manakala langkah kiri bermaksud kurang bernasib baik.. Lagi kanan lagi afdal!

Cuba tengok senarai wang paling kiri. Ya, wang kertas! Wang kertas tak tahan lama. Cepat koyak (wang polimer dikecualikan) dan boleh dikeronyok. Sedap tengok, berwarna-warni, bernilai tinggi tapi kalau tak diguna rugi atau digelar bakhil! Makin disimpan hati gundah kerana takut dicuri kerana nilainya tinggi.

Wang syiling pula tahan lasak, tahan lama, tak boleh dikeronyok, lama simpan makin kusam tapi boleh digilap, bernilai rendah dan digunakan untuk membeli barang kecil sahaja.

Apatah lagi syiling 1 sen yang hanya di simpan dalam ashtray kereta dan di mana saja. Syiling 1 sen selalunya tak diperlukan langsung kecuali untuk membayar bil dan ketika menerima pulangan baki bil ketika shopping. Kita juga tak pernah risau tentang syiling 1 sen sebab tiada siapa mahu mencurinya biarpun ada 10 balang akuarium diisi penuh wang 1 sen di dalamnya! Tak percaya try!

Banyak wang kertas palsu tapi amat sedikit wang syiling yang dipalsukan. Sebab apa? Nilai!

Pilihlah yang mana anda suka. Wang kertas atau wang syiling..?

Apa pun, perempuan dan wang tak dapat dipisahkan. Wang bermakna mempunyai nilai. Cuma ada nilai yang tak dipandang. Ada pula nilai yang tak terpandang.

Member aku pernah tanya, sebab apa perempuan tak pernah ada masalah tentang wang?

Jawapannya, sebab perempuan itu sendiri adalah wang! Masalah mereka ialah pada krisis nilai matawang yang mana mereka saling merosakkan nilai matawang yang lainnya!

Sekian, terima kasih.. :)

Kelambu: Ya, lelaki selalu diserabutkan dengan wang....

cuti

Friday, February 11, 2005

CUTI

Selamat Maal Hijrah...

Selamat Tahun Baru Cina...

Nasib baik Malaysia cuma ada 3 kaum yang besar. Kalau 10 kaum aku dah boleh cuti tiap-tiap bulan. Orang kerja mesti suka sebab gaji jalan walau pun kerja tak jalan.

Cuti di Malaysia banyak melemahkan produktiviti. Pelajar macam aku akan kena sleepy syndrom sebab boleh tidur bila-bila masa aku suka di samping bersuka ria menghabiskan duit mak bapak. Tak ada siapa nak marah-marah.

Shah Alam lengang. Bukankah Shah Alam bandar Melayu? Wei, Shah Alam bandar studentlah. Student banyak balik kampung meraikan Gong Xi Gong Xi. Jalan lengang. Kompleks PKNS kosong. Alam Sentral senyap. Tak ada awek-awek cantik dan tak ada pemandangan indah. Macam dilanda Tsunami.

Pelajar Melayu cukup suka cuti. India cuti, Melayu pun cuti. Cina cuti, Melayu lagilah. Aku pun hairan. Apakah rakyat Malaysia terlalu tertekan kehidupannya sehingga memerlukan cuti yang banyak dan lebih.

Cuti sikit balik. Sanggup berebut beli tiket. Tak kuasa I peluh-peluh ni tau...

Aku cuti di Shah Alam saja. Mana berbaloi cuti 5 hari! (kata aku yang terlepas membeli tiket ke Alor Star). Tinggallah aku bersama Jarul, Wan dan Aslam. Rumah sewa kami sudah diselubungi aura-aura misteri nusantara. Jeng! Jeng! Jeng!

Kelambu: Nasib baik motor tak pancit, kedai pomen tak buka lagi maa...

mahu kaya

Wednesday, February 09, 2005

MAHU KAYA

Lokasi=>Kem Motivasi Usahawan Mahasiswa, De Palma Inn, Shah Alam
Tarikh=>4-6/02/2005

Aku dikuarantinkan di sini selama 3 hari 2 malam untuk belajar bagaimana mahu menjadi kaya. Kaya bukan hanya RM50, 000 sebulan tetapi RM50, 000 sehari! Seminar diberi oleh Dr A dan Mr D, En. Sheikh dan Tuan Haji.

Aku teringat zaman kecil aku. Aku cemburukan sepupu yang dibayar RM2 setiap kali membasuh kereta abahnya. Tapi aku tidak dibayar. Kata abah, upahnya ialah dapat makan nasi. Aku marah dan tension. Abah kedekut. Kata hatiku...

Pengemis adalah hina tanpa pemberinya. Pekerja pula dibayar untuk setiap usahanya. Kalau tak dibayar dia akan berhenti kerja atau lapor ke jabatan buruh. Ya, aku diajar untuk menjadi pengemis dan bukannya pekerja kepada kedua ibu bapaku.

Rata-rata usahawan hari ini memberitahu tentang betapa susah menjadi usahawan pada suatu masa dulu tanpa bantuan dan kem-kem motivasi seperti hari ini. Tapi mengikut pemerhatian aku rata-rata mereka datang dari latar keluarga yang pernah berbisnes. Paling tidak, pasti ada ahli keluarganya pernah berbisnes biarpun kecil.

Tapi aku tidak. Tok dan Wan hanya menanam padi. Moyang hanya seorang pendekar Kedah yang hanya tertulis namanya dalam sejarah Kedah. Abah seorang penulis yang tewas dengan kerenah dunianya dan memilih untuk menjadi guru. Mama pula seorang pegawai kerajaan yang terpaksa melupakan cita-citanya menjadi doktor.

Aku selak majalah seminar, kata Dr A, if you want to be rich, change your mind set, change your friends, change your environment.

Barangkali aku mampu menukar set minda aku tapi bagaimana dengan kawan dan persekitaran. Apakah aku harus menukar mereka. Berhenti berbual tentang perempuan, cinta, seks, filem-filem melayu, politik busuk dan hanya berbicara tentang wang dan wang. Aduh, aku tak mampu.

Dr A memberitahu, ketika di universiti dia mempunyai 9 orang awek. Katanya, dia seorang yang malas tetapi smart. Dia membayar untuk satu nota yang ditulis oleh awek-aweknya sebanyak RM15 dan menjual kepada lebih 400 pelajar-pelajar yang malas di universitinya dengan harga RM10. Hasilnya ialah sebuah kereta Honda Accord ketika konvokesyen sedangkan rakan-rakan lainnya masih berhutang pinjaman. Dia memang usahawan oportunis!

Aku juga boleh jadi sepertinya. Mengenakan bayaran untuk PC aku di rumah sewa dan juga motosikal Suzuki rongak untuk sesiapa yang mahu meminjam walaupun ke kedai auntie yang jauhnya hanya 50m dari rumah. Aku boleh pakai Honda VTEC di hari konvokesyen ku nanti! Tapi aku memilih untuk menjadi dermawan dengan mewakafkan semuanya tanpa bayaran untuk rakan-rakan bermain game, mendengar mp3, menyimpan gambar peribadi masing-masing, menyimpan fail-fail kerja dan bersiar-siar membonceng awek masing-masing ketika aku sendiri tidak pernah membonceng mana-mana awek.

Tolong, aku bukan mengungkit. Cuma aku nak beritahu yang aku tak mampu mengubah persekitaran dan kawan-kawan aku. Kawan-kawan adalah harta dan persekitaranku adalah nyawa yang akan aku bawa untuk pelbagai pengalaman tentang manusia dan jiwa. Aku bukan kapitalis! Aku hanya sosialis yang malang...

Kaya itu subjektif. Budak sekolah seperti aku dulu dapat RM100 sudah cukup kaya. Ada yang dibayar RM1, 200 sudah memadai untuk menanggung hidupnya. Ada pula yang beritahu, mana cukup RM10, 000 sebulan? Terpulang kepada individu. Yang penting ialah bagaimana mahu menguruskan kekayaan. Tapi sayang, kita selalu diajar bagaimana mahu menjadi kaya sahaja.

Aku selak buku seminar lagi, seorang pensyarah sanggup berhenti dari kerjayanya untuk menjadi usahawan yang berpendapatan 5 angka sebulan. Negara sudah kehilangan seorang pensyarah yang boleh melahirkan ribuan manusia-manusia berjiwa.

Jangan memandang sinis mereka yang berkehidupan biasa. Allah lebih menyayangi hambanya yang kaya sekiranya kekayaan itu dapat digunakan untuk memakmurkan agamanya. Tetapi berapa banyak manusia-manusia seperti itu?

Imam Abu Hanifah menolak jawatan kadi yang lumayan dari khalifah. Siddharta Gautama sanggup berkelana dengan melilit jubah lusuh ketika lenanya enak di istana emas. Mereka ialah orang-orang kaya yang mahu menjadi miskin!

Sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Auf memberi beribu-ribu unta untuk digadaikan nyawa sebagai kenderaan medan perang tanpa sebarang percentage!

Aku sungguh takjub dengan manusia-manusia seperti itu...

Tapi kita hidup di zaman yang tiada manusia-manusia seperti itu. Ini zaman Machiavelli. Kata pepatah Inggeris, cinta itu perlu tapi wang amat perlu untuk menjaga cinta..

Aku dipaksa mempercayainya.

Kelambu: Bila aku kaya, aku mahu membeli cinta dan menjualnya...

subjek dan predikat

Thursday, February 03, 2005

SUBJEK DAN PREDIKAT

Manusia adalah subjek. Hidup adalah predikat

Dalam Bahasa Melayu ada kata subjek dan predikat.

Contohnya, Saya adalah seorang yang malang. Saya adalah subjek dan malang adalah predikat.

Dalam Matematik, kata subjek dan predikat adalah pembolehubah yang boleh ditukar-tukar.

Dalam kehidupan pula, apabila kita dalam kesedihan, kesengsaraan, kesakitan atau apa saja kita selalu beranggapan bahawa kitalah manusia yang paling malang di dunia walhal malang itu adalah predikat. Tak kekal dan boleh diubah-ubah. Percayalah..!!

Cuba gantikan perkatan malang dengan bertuah, maka akan jadilah Saya seorang yang bertuah.

Ya, Saya juga boleh bertuah. Malang boleh diubah.

Begitu juga dengan kata subjek. Cuba gantikan Saya dengan Kau, maka akan jadilah Kau seorang yang malang.

Ya, bukan kita seorang saja yang malang di dunia ni. Orang lain juga ada yang malang seperti kita iaitu dia, mereka, engkau, kami dan macam-macam lagi.

Kata pensyarah aku, apabila kita susah makan maggi jangan tengok orang yang makan nasi tapi tengok orang yang makan pasir.

Bukan kita saja yang malang. Banyak lagi manusia yang sama dan lebih malang dari kita.

Hidup kita tidak statik dan boleh diubah. Malang menjadi tuah. Tuah pun boleh menjadi malang. Jangan menyalahkan takdir.

Kelambu: Redha.. Percaya.. Sabar..

Powered by Blogger.