MAHU KAYA
Lokasi=>Kem Motivasi Usahawan Mahasiswa, De Palma Inn, Shah Alam
Tarikh=>4-6/02/2005
Aku dikuarantinkan di sini selama 3 hari 2 malam untuk belajar bagaimana mahu menjadi kaya. Kaya bukan hanya RM50, 000 sebulan tetapi RM50, 000 sehari! Seminar diberi oleh Dr A dan Mr D, En. Sheikh dan Tuan Haji.
Aku teringat zaman kecil aku. Aku cemburukan sepupu yang dibayar RM2 setiap kali membasuh kereta abahnya. Tapi aku tidak dibayar. Kata abah, upahnya ialah dapat makan nasi. Aku marah dan tension. Abah kedekut. Kata hatiku...
Pengemis adalah hina tanpa pemberinya. Pekerja pula dibayar untuk setiap usahanya. Kalau tak dibayar dia akan berhenti kerja atau lapor ke jabatan buruh. Ya, aku diajar untuk menjadi pengemis dan bukannya pekerja kepada kedua ibu bapaku.
Rata-rata usahawan hari ini memberitahu tentang betapa susah menjadi usahawan pada suatu masa dulu tanpa bantuan dan kem-kem motivasi seperti hari ini. Tapi mengikut pemerhatian aku rata-rata mereka datang dari latar keluarga yang pernah berbisnes. Paling tidak, pasti ada ahli keluarganya pernah berbisnes biarpun kecil.
Tapi aku tidak. Tok dan Wan hanya menanam padi. Moyang hanya seorang pendekar Kedah yang hanya tertulis namanya dalam sejarah Kedah. Abah seorang penulis yang tewas dengan kerenah dunianya dan memilih untuk menjadi guru. Mama pula seorang pegawai kerajaan yang terpaksa melupakan cita-citanya menjadi doktor.
Aku selak majalah seminar, kata Dr A, if you want to be rich, change your mind set, change your friends, change your environment.
Barangkali aku mampu menukar set minda aku tapi bagaimana dengan kawan dan persekitaran. Apakah aku harus menukar mereka. Berhenti berbual tentang perempuan, cinta, seks, filem-filem melayu, politik busuk dan hanya berbicara tentang wang dan wang. Aduh, aku tak mampu.
Dr A memberitahu, ketika di universiti dia mempunyai 9 orang awek. Katanya, dia seorang yang malas tetapi smart. Dia membayar untuk satu nota yang ditulis oleh awek-aweknya sebanyak RM15 dan menjual kepada lebih 400 pelajar-pelajar yang malas di universitinya dengan harga RM10. Hasilnya ialah sebuah kereta Honda Accord ketika konvokesyen sedangkan rakan-rakan lainnya masih berhutang pinjaman. Dia memang usahawan oportunis!
Aku juga boleh jadi sepertinya. Mengenakan bayaran untuk PC aku di rumah sewa dan juga motosikal Suzuki rongak untuk sesiapa yang mahu meminjam walaupun ke kedai auntie yang jauhnya hanya 50m dari rumah. Aku boleh pakai Honda VTEC di hari konvokesyen ku nanti! Tapi aku memilih untuk menjadi dermawan dengan mewakafkan semuanya tanpa bayaran untuk rakan-rakan bermain game, mendengar mp3, menyimpan gambar peribadi masing-masing, menyimpan fail-fail kerja dan bersiar-siar membonceng awek masing-masing ketika aku sendiri tidak pernah membonceng mana-mana awek.
Tolong, aku bukan mengungkit. Cuma aku nak beritahu yang aku tak mampu mengubah persekitaran dan kawan-kawan aku. Kawan-kawan adalah harta dan persekitaranku adalah nyawa yang akan aku bawa untuk pelbagai pengalaman tentang manusia dan jiwa. Aku bukan kapitalis! Aku hanya sosialis yang malang...
Kaya itu subjektif. Budak sekolah seperti aku dulu dapat RM100 sudah cukup kaya. Ada yang dibayar RM1, 200 sudah memadai untuk menanggung hidupnya. Ada pula yang beritahu, mana cukup RM10, 000 sebulan? Terpulang kepada individu. Yang penting ialah bagaimana mahu menguruskan kekayaan. Tapi sayang, kita selalu diajar bagaimana mahu menjadi kaya sahaja.
Aku selak buku seminar lagi, seorang pensyarah sanggup berhenti dari kerjayanya untuk menjadi usahawan yang berpendapatan 5 angka sebulan. Negara sudah kehilangan seorang pensyarah yang boleh melahirkan ribuan manusia-manusia berjiwa.
Jangan memandang sinis mereka yang berkehidupan biasa. Allah lebih menyayangi hambanya yang kaya sekiranya kekayaan itu dapat digunakan untuk memakmurkan agamanya. Tetapi berapa banyak manusia-manusia seperti itu?
Imam Abu Hanifah menolak jawatan kadi yang lumayan dari khalifah. Siddharta Gautama sanggup berkelana dengan melilit jubah lusuh ketika lenanya enak di istana emas. Mereka ialah orang-orang kaya yang mahu menjadi miskin!
Sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Auf memberi beribu-ribu unta untuk digadaikan nyawa sebagai kenderaan medan perang tanpa sebarang percentage!
Aku sungguh takjub dengan manusia-manusia seperti itu...
Tapi kita hidup di zaman yang tiada manusia-manusia seperti itu. Ini zaman Machiavelli. Kata pepatah Inggeris, cinta itu perlu tapi wang amat perlu untuk menjaga cinta..
Aku dipaksa mempercayainya.
Kelambu: Bila aku kaya, aku mahu membeli cinta dan menjualnya...
Powered by Blogger.
Post a Comment