Bah oh Bah (3)

Wednesday, November 10, 2010 · Posted in ,

Selepas difikir-fikir, aku rasa tak ada fiil pula nak tulis pasal banjir itu hari. Jadi aku rasa mahu tamatkan siri Bah oh Bah dalam entri kali ini supaya aku dapat berfikir tentang perkara lain. Tentang benda-benda hepi misalnya untuk memulihkan mood aku yang masih dalam keadaan trauma (lah sangat).

Sebenarnya, apalah sangat banjir empat hari yang aku alami jika nak dibandingkan dengan letusan gunung berapi di Indonesia sana. Kecil saja ujian Tuhan bagi. Tapi, ketika hujan sedang melebat pada hari Isnin minggu lepas, aku memang tengah menaip pengalaman bercuti aku saat bangun pagi menuju ke Sintok. Tapi Selasa esok hari, elektrik terputus tidak sampai sejam air di rumah aku dipotong. Mood aku disentap.

Tambahan pula bateri laptop aku cuma berbaki 50 peratus saja. Jadi, aku ambil keputusan tutup laptop dan berhibernasi dalam rumah serta menjadi manusia antisosial. Aku kembali ke daerah 60-an yang tanpa teknologi.

Dan bermula Rabu hingga Sabtu, aku isikan kesunyian aku dengan menatap air bah yang mengelilingi keliling rumah. Saat itu, aku sudah tidak dapat lagi menuding mana air dalam longkang dan mana rumput hijau di padang kerana setiap garis satahnya sama saja, semuanya digenangi air.

Di jalan besar sana, air menaik paras peha dan pinggang. Banyak jalan utama di pekan dan tempat lain sekitar daerah Kota Setar terputus hubungan. Sederet taman perumahan yang berjajar sepanjang jalan Anak Bukit-Pantai Johor-Kepala Batas ditenggelami air. Lot-lot kedai turut mengalami nasib sama. Tiada sebarang urusan bisnes beroperasi. Kereta dan motosikal kelihatan berderetan diparkir di atas bahu jalan.

Walaupun hujan tidak turun lagi sepanjang empat hari itu dan cuma cuaca yang mendung, aku dapat lihat gelombang dan gelembung air di dalam parit, longkang, sungai dan di mana saja saling bertembung serta berpusar.

Abah kata, air sedang naik. Kombinasi air pasang di laut dan hujan lebat adalah punca banjir terburuk di Kedah dalam sejarah hidup aku. Sains cakap La Nina. Ini kerana lebihan air akibat hujan tidak dapat disalurkan ke laut yang mengalami air pasang. Di sini, berlaku fenomena pertembungan air di muara-muara sungai dan air ditolak masuk semula ke daratan. Inilah puncanya.

Apabila bah, semua manusia, miskin dan kaya turut merasa. Jauh di sebelah rumah sana, aku perhatikan padang landai dan berbukit yang menjadi tempat orang kenamaan bersenam dan berlatih menebas telur rona putih turut ditenggelami air.

Selain bekalan elektrik, air dan makanan yang menjadi masalah utama ketika banjir, masalah melangsaikan sisa kumuhan dan pepejal juga termasuk dalam perkara yang merisaukan orang ramai. Ini kerana sistem kumbahan bawah tanah dipenuhi air dan tak dapat berfungsi dengan baik. Jadi apabila kau pam jamban, air najis akan ditolak keluar mangkuk, sekali gus menyebarkan bau kurang enak dan mengotor halaman tandas.

Mahu tak mahu kau kena cari alternatif lain, iaitu mencari tandas awam di kawasan daratan yang tidak dilanda banjir. Bayangkan kalau satu bandar kena banjir? Mana kau nak berak? Tapi, jangan bimbang kerana satu-satunya cara penyelesaian masalah itu ialah kau terpaksa buang najis kau terus ke dalam air bah. Sebab itulah banjir kerap dikaitkan dengan penyakit yang berpunca daripada bawaan najis, sisa kotoran dan bangkai haiwan. Lagi lama banjir lagi sengsara.

Empat hari bercandle light dengan mak dan abah. Empat hari kami bercerita macam-macam di ruang beranda rumah sambil melantak mi segera. Dan aku teringatkan Momofuko Ando, bapa mi segera dunia. Lihatlah betapa hari ini makanan murahnya itulah yang mengamankan dunia yang berperang dan dilanda musibah.

Dan tiba-tiba aku perasan, warna dan gelembungnya banjir di hadapan mata aku. Bukankah itu tidak ubah seperti teh tarik yang cukup sempurna tarik, bancuhan, dan buih-buihnya. Aku terfikir, apakah teh tarik itu hasil inovasi orang Melayu yang begitu akrab dengan dunia banjir? Yang begitu mesra dengan musibah alamnya. Ah, betapa sentimental dan nostalgia banjir itu dirakamkan penuh makna dalam segelas teh tarik bergelembung.

Hari ini, ketika aku sedang menghirup teh tarik, senang saja aku terbayangkan erti sengsara, rezeki, harapan, mati, cinta, derita dan segala falsafah kemanusiaan di dalamnya.

14 Responses to “Bah oh Bah (3)”

Amyz! said...

manusia bila senang, jarang bersyukur. bila kena musibah baru rasa insaf.

aku tak pernah alami pengalaman banjir. aku rasa simpati pada mangsa banjir.

kadang2 bila panas sangat atau hujan tak berhenti kat kl ni pun nak merungut2.

tak tahu bersyukur. huhu.

Syuqri Talhah Mustaqim said...

Terbaiklah penyampaian entri ni...

prof nik said...

mak n abah nko ok je yer. nko kawin la. nnt ada la org leh tlg mak nko masak megi time banjir. heeee

Anonymous said...

"Hari ini, ketika aku sedang menghirup teh tarik, senang saja aku terbayangkan erti sengsara, rezeki, harapan, mati, cinta, derita dan segala falsafah kemanusiaan di dalamnya."

ternyata bukan susah sebenarnya untuk kembali ke asas makna segala perkara. namun kata berfikir, mengenangkan, mengalami itu tetap ada beza...

apa pun manusia itu berbeza. hari ini dia merungut. esok dia bermuhasabah. lusa entah apa lagi yang berlaku..

note: entri ini aku suka. haha!

rinz raime said...

aku pun suka entry kali ini...

Semarak Api said...

tp ade org ckp bnjir tu umpama pesta.sume org kua main air bah.cam seronok pon ade..aku pon x pnh rs pnglmn bnjir.jd x dpt nk bygkn sengsara nye org yg dlnda musibah ni.xpe ah.ujian akn mdktkn lg kite pd DIA.insyaAllah..

bab berak dlm air tuh..aiyakk..

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

salam
lanzo lu dah tepengaruh astro bersambung sambung..ceretalu retro...kesah keperitan pertiwi dalam menagani isu banjir..lu tidak mempolitikan banjir seberti orang besar di johor datang ke utara..

Unknown said...

amyz;
sebenarnya, musibah dan bala ni ada di mana-mana. ada yang kecil. ada yang besar. terpulang kita mau tafsir macamana.

kringet;
tenkiu! :)

prof nik;
masak megi tak payah minta tolong orang. sendiri-sendiri pun boleh.

anony;
tenkiu anony baik!

rinz;
tenkiu! :)

semarak;
pesta memang pesta. orang ramai keluar bersidai di bahu jalan. undang-undang jalan raya pun sudah tak ada. tapi itu cuma siang saja, bila malam datang, hari jadi sunyi, kelam dan menakutkan.

brutal;
nak main politik, mainlah. nak tuding kau aku, buatlah. tapi, hidup jadi lebih aman ke kalau kita hidup saling benci dan fikirkan diri sendiri. balik kepada akar. semuanya tentang cinta beb..

Anonymous said...

kelambu:

semuanya tentang cinta? sangat pujangga!

apa apa pun hati ini sangat gundah tatkala memikir jika air makin naik ditempat aku malam ini...makan megi pun tak sempat nak rasa ni! haha!

Unknown said...

anony;
dok selatan ke? kena standby makanan, air dan lilin. selamat berbanjir! :)

Anonymous said...

selatan la jugak..nasib b4 raya dia main pasang surut...alhamdulillah la..

nota: ucapan selamat tu aku terima jugak la..haha!

Unknown said...

anony;
haha!!

..::jane doe::.. said...

da lama x drop cini,gaya penulisan ko makin mantap ah.keep up a gud job dude!

btw, kg aku every year banjir,dan disambut meriah oleh kanak2,yg sibuk dan pening kepalanya org2 dewasa lah.nk kena angkat tu lah ini lah,then bile banjir da surut nk kne cuci dinding,lantai bagai lah pulak.tp sume tu da lali dah bg kami.walau efek banjir tu memenatkan,bila skali skala banjir cam malu dah nk naik,rindu pulak jadinya,huhu..rindukan suasana banjir tu sebenarnya.. bila musim banjir,menu utama kami adalah ubi rebus,nasik putih,ikan bakar & ulam cecah budu. haha..maveles ah! even kau bagi piza ke kfc ke ayam kenirojes ke gedebuk, menu tu tetap the best! hurm..sgt nostalgic..

...err,tiba² je rase mau bukak entri pasal banjir~

Unknown said...

jane;
tenkiu. aku tak nak angkat bakul lebih sebab hanya pembaca yang boleh judge gaya penulisan aku bagus ke tak. sebenarnya, aku sendiri tak perasan pun. aku menulis macam selalu jugak. ikut mood yang kadang-kadang dipaksa. tapi, aku percaya manusia itu berkembang dan dia berpotensi terpengaruh dan dipengaruhi. macam aku.

pasal banjir. bagi orang pantai timur, fenomena banjir itu mungkin biasa saja. orang kedah cakap, sudah mangli (tegal). tapi bagi aku yang pertama kali melalui sendiri pengalaman ni, ia beri impak yang bukan kecil. dan aku memang betul-betul bernostalgia. :)

Powered by Blogger.