Rumah murah untuk dijual

Wednesday, June 22, 2011 · Posted in , ,

Van milik seorang peniaga pasar malam mungkin..
Di Malaya, purata harga rumah kos rendah adalah sekitar RM25,000 hingga RM35,000 yang kebanyakannya adalah rumah flat sempit lagi menyempitkan dengan material murah dan kualiti kemasan setanding kereta tempatan.

Isu wang mungkin jadi satu masalah, tetapi kemudahan pinjaman ditawarkan pihak kerajaan, pemaju dan bank sedikit sebanyak membantu golongan miskin memiliki rumah sendiri. Namun, masalah nombor wahid mereka sebenarnya bukanlah wang, tetapi ruang rumah yang sempit dan tidak selesa.

Kita semua tahu, golongan miskin terdiri daripada golongan peniaga kecil, nelayan, petani dan buruh. Di sini, kita akan nampak betapa tuntutan kerja mereka memerlukan ruang rumah yang luas, bukan di flat dan teres sempit.

Peniaga pasar malam perlukan ruang untuk menyimpan barang meniaga dan generator, nelayan mahu membaiki jala dan motor bot. Petani pula mahu simpan tajak, galah dan baja. Buruh mungkin saja mahu ada ruang untuk simpan simen dan alat tukang. Kalau kerja drebar bas, dia mahu ada lot parking khas supaya senang ambil budak pergi sekolah pagi-pagi.

Jadi, itu adalah alasan mudah kenapa penduduk setinggan atau penghuni di kawasan perumahan tidak terancang enggan berpindah ke projek perumahan murah yang disediakan kerajaan untuk mereka. Sebabnya ialah ruang, di mana ia benar-benar ada kaitan langsung dengan mata pencarian mereka.

Ironinya, jumlah bilik rumah orang kaya jauh lebih banyak dan luas. Misalnya, kau laki bini duduk satu bilik. Tiga anak kau dapat seorang satu bilik. Orang gaji mungkin satu bilik lagi. Tapi kenapa nak kena ada lebih 10 bilik? Kau bela gundik macam maharaja China ke?

Secara tipikalnya, rata-rata projek perumahan di negara membangun menumpukan kepada mekanisma kewangan iaitu membina rumah mahal hingga tak tercapai akalmu.

Ini bermakna, cuma sedikit saja pemaju yang menumpukan hala tuju syarikat mereka kepada projek membangunkan rumah yang benar-benar murah untuk dibina. Sebaliknya, projek rumah murah lebih kepada cukup syarat bagaikan melukut di tepi gantang atau kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga. Kalau kocek kau kering sentiasa, rumah yang agam mimpikan saja (amacam, ada rhyme tak?).

Dalam erti kata lain, kalau kau berduit, dapatlah kau merasa rumah yang selesa dengan tab mandi dalam bilik, kamar tidur luas berhawa dingin dan laman luar berlanskap cantik hingga terasa bagai di syurga adanya.

Tapi, kalau kau tak berduit, bilik kau jadi sempitlah dan terpaksa duduk atas mangkuk tandas dengan lutut berlaga pintu jamban. Laman luar usahlah diharap membina lanskap seakan syurga kerana semuanya neraka belaka (jangan baca secara harfiah). Persoalannya, apakah membina projek rumah murah itu begitu sukar dilakukan hingga ia bagaikan menunggu babi tumbuh sayapnya?

Aku tertarik dengan inisiatif rumah buluh yang diperkenalkan pertubuhan Habitat untuk Humaniti Antarabangsa (HFHI) cawangan Nepal dalam usaha membantu golongan miskin di negara itu memiliki rumah sendiri. Dalam projek itu, HFHI mensasarkan membina 20,000 rumah buluh menjelang tahun depan.

Kerja menampal simen atas dinding buluh.

Rumah buluh yang siap disimen. Steady!
Rumah buluh diperkenalkan di Nepal pada 2005, di mana HFHI menyedari penggunaan buluh sebagai material utama dapat menyelesaikan masalah kos pembinaan rumah, termasuk kekangan kewangan dan ruang oleh sasaran pemilik rumah, yakni golongan miskin.

Jadi, rumah buluh ini memberi ilham kepada HFHI untuk membangunkan teknologi rumah berasaskan buluh dengan mendapat bantuan suka rela daripada Dana Warisan Arkitek Kanada (CALF).

Rumah itu dibina dengan menganyam enam batang buluh yang ditampal dengan simen atau tanah liat sebagai dinding rumah. Fungsi enam batang buluh itu ialah sebagai tiang yang akan menyokong struktur bumbung dan ketahanan dinding rumah.

Teknik membina rumah menggunakan buluh bukan saja kerana ia nampak cantik atau murah, tetapi dilihat dari aspek faedah teknikal. Ini kerana buluh boleh didapati dengan banyak di kawasan selatan Nepal. Oleh kerana ia mudah diperoleh, tidak banyak kos diperlukan untuk mengumpul bahan mentah itu dan menggunakannya sebagai material utama rumah. Tambahan lagi, buluh mempunyai daya tahan yang cukup kuat untuk menahan gegaran gempa bumi dan tiupan angin kuat serta ribut, termasuk mesra alam.

Secara mudah, antara kriteria utama yang menyebabkan buluh dipilih sebagai material utama ialah ia mampu milik, mudah dikumpul, mudah alih, tahan lasak dan sesuai dengan budaya tempatan, termasuk pengalaman positif yang dikongsi mereka yang mendapat faedah daripada projek perumahan buluh terdahulu.

Jadi, takkan Malaya yang kaya dengan sumber tropika ini tak ada material murah untuk bina rumah selain batu-bata dan simen? Kenapa tak ada projek rumah kampung? Kenapa aku tak dengar kampung-kampung baru muncul selain pamflet flat sempit diselit celah wiper kereta dan peti surat rumah.

Semua arkitek tahu pasal prinsip asas seni bina, iaitu functionalism, di mana sesebuah bangunan itu mesti direka berdasarkan tujuan bangunan tersebut. Tolong faham, functionalism untuk rumah kos rendah bukanlah kos semata-mata, tetapi ruang.

6 Responses to “Rumah murah untuk dijual”

Anonymous said...

tahniah atas entri ni.perbualan yang sering dalam umahtangga kami ni.tapi maybe ko bleh join puak yang selamba pacak umah kat mana2 tanah, buat komuniti sendiri lepas bberapa tahun tuntut hakmilik

Anonymous said...

setuju sangat2 dengan isu ni.sekarang ni mana2 area pun nk buat rumah yg kosnye sangat mahal dan tk berpadanan dengan keperluan asas penduduk marhaen mcm saya.

Anonymous said...

Entri panjang menjela. Tapi aku baca habis sebab saya bersetuju. :)

Kemat said...

mereka sengaja bina sempit, supaya kita tiada ruang untuk berfikir.

Iya, akitek perlu diingatkan konsep ruang dalam rekaan mereka, bukan wang..

Entri yang sngt menarik

Hambali ® said...

perkara ni jadi bila rumah tak dianggap sebagai perkara asas kehidupan tapi lebih pada alat nak buat duit ....

cek P said...

Salam..

Sebagai org yg terlibat dlm bidang2 construction nih..aku nk jwb laa jugak sket kn..

Pada aku arkitek x slh pn..dh wat yg terbaik pn..
cuma salu kalu part housing2 nih..die punye client a.k.a developer..ade kehendak sndri..n salu kontrol..kdg2 bile dorg suh kecikkn design n saiz bilik sbb nk cut cost n etc..

arkitek ikut aje..sbb yuran konsultan dibayar oleh client..
tambh2 klu kos rendah..sume nk jimat n pk untung jer..mmg bole fight tp sanggup ke lwn bos..

Lgpun..klu kite present design..client x stuju..slagi tuh laa asik tukar design smpi dorg puas ati..n byk lg isu2 lain bkn design aje..susah maa mau cari mkn..

kalu ikut etika sbenar kt oversea tuh..org lantik konsultan tuk bg advice yg terbaik la..ni tak kt cni tbalik cket..client yg kontrol..patut nyer client laa ikut advice konsultan kn..

aku rs dlm hal2 rumah nih..government patut masuk cmpur terutama dlm kawalan harga bahan binaan....buat guideline ker..mcm yg wajib umah 3 bilik tuh bgus..x pn kerajaan buat syarikat projek housing..baru ade saingan ngn syarikat lain..

cume wat ms ni..aku x sure sjauh mane kerajaan take care pasal isu kos umah rendah n lain2..nti kalu aku terkeje bhgn Kementerian Perumahan mgkin aku leh komen lg..

Sekian, terbebel byk plak..hehe..daa

Powered by Blogger.