Pasaraya Jaya: Tujuh mati cuma RM5,000 saja

Thursday, February 02, 2012 · Posted in , , ,


Masih ingat lagi skandal susu tercemar di China yang menyebabkan enam kanak-kanak mati dan beratus-ratus ribu budak lagi maut?

Kes itu berlaku sekitar November 2008 dan hukuman dijatuhkan pada 24 November 2009, lebih kurang setahun kemudian membabitkan lapan individu didapati bersalah.

Daripada lapan individu berkenaan, cuma seorang menerima hukuman paling ringan. Itupun kena penjara lima tahun kerana membantu dan bersubahat dengan suaminya yang bertanggungjawab membuat dan membekalkan tepung protein dicampur melamin. Si suami pula menerima hukuman mati ditangguhkan dan masih dalam proses rayuan.

Hukuman pesalah lain ialah dua lelaki dihukum mati, tiga dipenjara seumur hidup dan seorang lagi dihukum penjara 15 tahun, manakala syarikat penjual utama susu tercemar itu, Sanlu Group diisytiharkan bangkrap sama sekali.

Mari kita lihat kes di Malaya.

Pasaraya Jaya runtuh di Petaling Jaya pada 28 Mei 2009 sebelum sempat bangunan berusia lebih 30 tahun itu dirobohkan. Mangsa yang terbunuh ialah tujuh buruh Indonesia, manakala tiga lagi cedera dan ada sumber mengatakan jumlah kecederaan tidak dikenal pasti.

Namun, kes ini hanya selesai pada 1 Februari lalu, yakni selepas hampir tiga tahun runtuhan berlaku dengan pengarah syarikat pembinaan yang bertanggungjawab dalam operasi merobohkan pasaraya itu dihukum bayar RM5,000. Ya, RM5,000 sahaja!

Syarikatnya pula masih dibenarkan beroperasi dengan hanya dikenakan penalti RM20,000 dan sebuah lagi rakan syarikat pembinaan pula didenda bayar RM12,000 sahaja!

Bagaimana pula dengan kes Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2 Jun 2009? Mungkin sebab tiada kematian, maka tiada individu didapati bersalah hingga sekarang. Tapi jangan lupa, seminggu selepas kejadian, SPRM dalam satu kenyataan akhbar mendakwa memiliki nama individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah.

Kes itu kemudian berakhir dengan laporan JKR pada 7 Oktober 2009, yang turut dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen, dengan punca runtuhan disebabkan bahan dan kualiti hasil kerja tidak memenuhi spesifikasi dan beberapa faktor lain.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada 11 Mac 2010 berkata, tiada pihak yang benar-benar bersalah kerana semua pihak yang dilantik membina stadium itu menyumbang kepada runtuhan bangunan berkenaan.

Begitulah serba sedikit beberapa kes aneh di tanah Malaya ini yang begitu membenci Yahudi dan komunis.

Powered by Blogger.