Makam Mahsuri atau Pasar Mahsuri?

Thursday, February 16, 2012 · Posted in , , ,



Cuti raya Cina lepas, aku pergi melancong ke Langkawi selepas lebih kurang lima tahun tidak ke sana.

Pelancong sudah semakin ramai dan suasana agak kalut, terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti di makam Mahsuri dan kereta kabel hingga buatkan aku insaf dan bertekad untuk tidak lagi ke pulau lagenda ini melainkan cuti hari biasa.

Tipikal negara dunia ketiga, apabila tiba musim perayaan, maka harga barang dan sewa pun meroket berkali ganda. Aku hairan, apakah sudah menjadi budaya kita untuk naikkan harga barang pada hari-hari tertentu seperti musim cuti sekolah, hari raya dan cuti umum lain. Tidak bolehkah harga hari biasa dikekalkan untuk musim perayaan kerana bukankah volum pelancong bertambah? Kenapa nak 'kapur' orang ramai masa ni?

Tapi, bukan pasal harga yang mahu aku tuliskan. Aku sebenarnya mahu sentuh pasal makam Mahsuri dari segi apresiasi dan semiotik sejarah.

Aku pernah tulis pasal kebodohan kerajaan Melaka membangunkan kawasan sekitar A Famosa hingga membuatkan kota bersejarah itu dikepit hutan batu yang tak ada nilai sejarah langsung.

Bagi aku, Melaka harus kekal sebagai negeri yang 'menjual' nilai sejarahnya dan memang itulah tujuan orang datang ke Melaka pun. Orang pergi Mekah untuk melihat tinggalan Nabi dan para sahabat. Orang pergi Paris untuk Eiffel Tower dan kesan Revolusi Eropah. Orang pergi Rom untuk Colosseum. Orang pergi Phuket untuk bersantai di pantai indah dan orang ke Melaka untuk apa? Naik menara Taming Sari?

Berbalik pasal Langkawi dan Mahsuri, semua tahu pasal legenda Mahsuri yang difitnah dan ditikam mati hingga terpancut darah putih daripada tubuhnya. Cerita ini cukup mahsyur di kalangan rakyat Malaysia, terutama orang Kedah. Dan jangan terkejut kalau aku katakan Mahsuri akan tetap mahsyur untuk 1000 tahun lagi berbanding filem Ombak Rindu atau Neelofa.

Di Langkawi, makam Mahsuri, yang dipercayai menjadi tempat Mahsuri dikuburkan, menjadi antara destinasi pelancongan yang jarang sunyi dengan pengunjung. Ada saja pengunjung datang walaupun cuti hari biasa. Mahsuri sudah lama menjadi ikon Langkawi, semahsyur William Wallace di kalangan warga Scotland.

Malangnya, makam Mahsuri yang dibina semula dan dilengkapi muzium, teater tradisional dan rumah Kedah kini bertukar menjadi seakan tapak pasar yang langsung memusnahkan nilai semiotik tempat tersebut.

Gerai makan dan cenderamata dibina dalam kawasan tapak makam, malah air telaga Mahsuri diproses dan dijual sebagai air minuman kepada pengunjung? Jika dulu ada sebuah rumah Kedah yang dibina atas tapak rumah Mahsuri, tetapi kini ditambah pula rumah Panglima Hitam dan zoo mini.

Malah, kawasan makam dan ruang jalan kaki yang dulu luas, kini menjadi sangat sempit. Pengunjung perlu beratur dan terjenguk-jenguk melihat plak makam. Tiada langsung ruang pengunjung duduk tenang, bertafakur dalam diam sambil menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah.

Makam Mahsuri yang sepatutnya menjadi dataran sunyi dan pilu, kini menjadi pasar yang bising. Kau boleh saja bayangkan kau pergi ziarah kubur orang tersayang yang di sebelahnya tapak pasar malam.


Cuba lihat Taj Mahal. Makam itu menjadi tanda cinta Shah Jahan buat isterinya, Mumtaz Mahal yang dibina pada 1632-1653. Cuba tunjukkan aku gambar gerai makan dan cenderamata di sepanjang laluan ke Taj Mahal.

Kenapa kerajaan India tak benarkan orang berniaga sepanjang laluan itu? Ini kerana Taj Mahal ialah tempat orang merasai fiil tentang betapa hebatnya cinta seorang lelaki kepada seorang wanita. Ia makam cinta. Dan fiil tersebut takkan dapat kau rasai jika Taj Mahal menjadi kawasan seakan pasar yang bising, sempit, kotor atau dikepit bangunan tinggi lain.

Semua simbol/monumen budaya adalah tanda kerana kita memang hidup di dunia yang penuh dengan tanda. Diri kitapun sebahagian daripada tanda itu sendiri dan semua tanda tersebut kemudian diberikan makna sebagai 'ada' supaya kita memahami kehidupan ini. Lalu, manusia melalui kemampuan akalnya berupaya berinteraksi dengan tanda itu sebagai alat untuk mencapai makna yang mahu disampaikan.

Jadi, apa semiotik makam Mahsuri? Ia adalah tanda kepada kita mengenai malapetaka dan kesucian. Ia kawasan kesedihan dan air mata. Mahsuri sudah lama mati, tapi makamnya menjadi tanda dan memberi makna supaya kita memahami kisah tragis tersebut. Jangan cuba hapuskan tanda ini.

Kalau mahu jual makan, beli cenderamata atau air minuman telaga Mahsuri, pergi Pekan Kuah. Atau buat satu kawasan yang jauh dari makam. Kawasan sekitar makam biarkan lapang, tanamkan bunga kemboja, sediakan bangku dan haramkan sebarang binaan tinggi untuk pengunjung berteleku.

Jangan jadi bodoh. Menghargai semiotik ini bukan syirik. Jangan jadi Arab Saudi yang punggah habis tinggalan Nabi dan bina jam besar sebelah Kaabah!

5 Responses to “Makam Mahsuri atau Pasar Mahsuri?”

Amirul Idham said...

Yup. Gua pun tak setuju dengan pembinaan benda-benda macam ni kat keliling tempat bersejarah.

Sama la macam menara jam tepi Kaabah tu. Kaabah dah tenggelam dengan menara jam.

patutnya, Arab tonjolkan Kaabah, bukannya menara jam tu.

Tengok macam vatican City. Italy siap bagi Vatican City tu dijadikan dalam sebuah bandar tak disentuh dan diangkat martabatnya

Amyz! said...

1. Sedih.
2. Kecewa.
3. Lama-lama hilang semua nilai sejarah. Semua akan jadi tempat membeli belah.

Kecewa sangat2.

ayobkelubi said...

eh. kalau tak macam mana nak tolong peniaga Melayu? kah kah kah!

Nik Zulkhairi said...

bagus. ciri-ciri kapitalis semakin dijiwai di negara 1malaysia.

Anonymous said...

kalau tidak ada permintaan, X kan ada yg berjualan.. Jika X ade permintaan, X kan ada kontraktor & designer yg buat bangunan & gerai2 skeliling benda sejarah.. mentaliti kita utk 'mguasai' dan berada di atas, tanpa berfikir utk berbagi.. kalau kita yg tidak menjaga benda2 bersejarah, ini akan hilang suatu hari nanti.. yg ada hanyalah gambar2 dan buku.. pernah kah kita terfikir generasi mendatang 'menyalahkan' kita kerana telah meremehkan tinggalan sejarah..

Powered by Blogger.