Pasal Cerita Bola Sepak Malaysia


Halaman: 259 ms
Penyelenggara: Lucius Maximus
Terbitan: Dubook Press
Harga: RM25 (versi alternatif)

Buku terbitan Dubook Press (DP) ini memuatkan kompilasi tulisan beberapa penulis bebas mengenai 14 pasukan bola sepak negeri, termasuk Kuala Lumpur. Tentunya aku salah seorang yang menulis dalam buku ini, pasal detik Kedah menang final Piala Malaysia buat kali pertama pada 1990.

Dilancarkan sempena KL Alternative Bookfest 2012 (KLAB) di The Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 23 Jun lepas dalam versi alternatif, dan kalau tak silap aku versi mainstream dijangka keluar lepas raya nanti. Aku tak berapa pasti berapa banyak pihak DP cetak CMSB versi alternatif ni. Kalau mau beli, boleh tanya sendiri admin DP di Facebook.

Pasal CMSB, aku sebenarnya belum baca habis lagi. Jadi, tak banyak yang aku boleh komen pasal tulisan penulis lain. Namun, sepintas lalu, aku anggap kemunculan CMSB dalam arena buku tempatan sebagai satu dokumentasi sejarah berharga tentang perjalanan bola sepak tanah air yang penuh warna-warni walaupun penyelenggaranya, Lucius Maximus menerusi bukunya, 'Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia' membuktikan bahawa Harimau Malaya sebenarnya memang tidak akan pernah ke Piala Dunia.

Lebih menarik, ini satu-satunya buku bola sepak yang dihasilkan menerusi jemputan terbuka di Facebook/blog Sokernet kepada mereka yang berminat menulis tentang pasukan bola sepak pilihan mereka.

Penghasilan buku ini membuktikan betapa kita tak perlu pun menjadi pakar untuk menulis tentang sesuatu perkara kerana menjadi seorang profesor pun belum tentu mampu menulis buku atas kepakaran mereka. Sebaliknya, semua penulis CMSB tidak perlu pun memiliki sarjana dalam hal ehwal kebolaan untuk menulis tentang kegilaan dan emosional mereka tentang bola sepak.

CMSB patut ada dalam daftar buku kerana ia sebuah dokumentasi sejarah. Sekurang-kurangnya buku ini menjadi bukti bola sepak itu sukan nombor satu Malaya. Bukan Poco-Poco. K-Pop. Atau lompat bergalah.

Powered by Blogger.