Kita dan air



Krisis air di Malaysia samalah seperti seorang gemuk bercerita pasal kebuluran dan tak cukup makan. Sekali lagi kau keliru sama ada kau patut cemas atau buat tidak tahu saja sambil berperilaku macam biasa.

Tanpa perlu mengulang kaji buku budak darjah 6, sesiapapun pasti tidak lupa bahawa Malaysia adalah negara beriklim tropika, merujuk kepada negara yang kedudukannya terletak di bahagian tengah peta. Istimewa tentang negara tropika adalah nikmat panas dan lembab sepanjang tahun yang tidak ada di negara lain. Ada waktu kita berdepan dengan kemarau panjang dan ada masa kita dilanda musim hujan berbulan lamanya.

Kita pernah hadapi kemarau teruk (jerebu juga), kita juga pernah dilanda banjir besar. Tetapi, tidak pernah pula segala cobaan musibah itu mengheret kita kepada krisis kemanusiaan meruncing. Semuanya sederhana saja, malah, sempat pula kita berkelahi pasal parti mana yang tidak hulur bantuan kepada mangsa bencana.

Ketika Ptolemy menggelarkan Tanah Semenanjung sebagai Golden Khersonese, Greek sebenarnya sudah cukup kaya. Mungkin emas yang dimaksudkan sarjana itu bukanlah semata-mata bijih emas, tetapi kata ambiguiti tentang nikmat limpahan cahaya matahari dan curahan hujan ke atas bumi yang satu ini.

Daripada cuaca panas itu, kau tidak perlu berbelanja membeli mafla, stokin, baju hud, kot labuh atau mencari kayu api untuk menyalakan pendiang api.

Airnya tawar dan sedap pula diminum. Ia tidak memerlukan kau mencipta loji pemprosesan serba sofistikated. Kau bukannya negara Arab yang perlu menawarkan air laut, ataupun Singapura yang terpaksa menyulingkan air kumbahan menjadi air mineral bebas toksin.

Ah, kau juga tidak perlu melancarkan ekspedisi cari gali air, seperti dilakukan ejen minyak tempatan dan antarabangsa yang dilengkapi kejuruteraan kapal tangki dan pelantar tercanggih, termasuk melalui prosedur pemeringkatan termaju.

Kau cuma perlu bina takungan air, loji rawatan (yang aku fikir tidaklah serumit membina pelantar minyak) dan saluran paip ke rumah.

Akhir sekali, kau perlukan kejujuran dan rasa rendah diri tentang nikmat Tuhan. Itu saja.

2 Responses to “Kita dan air”

Ellie Best said...

setuju!manusia perlu jujur

profnik said...

Aku suka pasal new water kt singapore tu. Tp ape nak buat. Politik politik politik

Powered by Blogger.