Archive for June 2012

Pasal Cerita Bola Sepak Malaysia


Halaman: 259 ms
Penyelenggara: Lucius Maximus
Terbitan: Dubook Press
Harga: RM25 (versi alternatif)

Buku terbitan Dubook Press (DP) ini memuatkan kompilasi tulisan beberapa penulis bebas mengenai 14 pasukan bola sepak negeri, termasuk Kuala Lumpur. Tentunya aku salah seorang yang menulis dalam buku ini, pasal detik Kedah menang final Piala Malaysia buat kali pertama pada 1990.

Dilancarkan sempena KL Alternative Bookfest 2012 (KLAB) di The Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 23 Jun lepas dalam versi alternatif, dan kalau tak silap aku versi mainstream dijangka keluar lepas raya nanti. Aku tak berapa pasti berapa banyak pihak DP cetak CMSB versi alternatif ni. Kalau mau beli, boleh tanya sendiri admin DP di Facebook.

Pasal CMSB, aku sebenarnya belum baca habis lagi. Jadi, tak banyak yang aku boleh komen pasal tulisan penulis lain. Namun, sepintas lalu, aku anggap kemunculan CMSB dalam arena buku tempatan sebagai satu dokumentasi sejarah berharga tentang perjalanan bola sepak tanah air yang penuh warna-warni walaupun penyelenggaranya, Lucius Maximus menerusi bukunya, 'Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia' membuktikan bahawa Harimau Malaya sebenarnya memang tidak akan pernah ke Piala Dunia.

Lebih menarik, ini satu-satunya buku bola sepak yang dihasilkan menerusi jemputan terbuka di Facebook/blog Sokernet kepada mereka yang berminat menulis tentang pasukan bola sepak pilihan mereka.

Penghasilan buku ini membuktikan betapa kita tak perlu pun menjadi pakar untuk menulis tentang sesuatu perkara kerana menjadi seorang profesor pun belum tentu mampu menulis buku atas kepakaran mereka. Sebaliknya, semua penulis CMSB tidak perlu pun memiliki sarjana dalam hal ehwal kebolaan untuk menulis tentang kegilaan dan emosional mereka tentang bola sepak.

CMSB patut ada dalam daftar buku kerana ia sebuah dokumentasi sejarah. Sekurang-kurangnya buku ini menjadi bukti bola sepak itu sukan nombor satu Malaya. Bukan Poco-Poco. K-Pop. Atau lompat bergalah.

Teruja entah ke mana

Friday, June 15, 2012 · Posted in , ,


There are three classes of men; lovers of wisdom, lovers of honor, and lovers of gain. - Plato
Walaupun tahu pangkat itu tidak mampu membeli tiket ke syurga, tapi ramai orang kita sukakan pangkat, memberi pangkat dan menggelarkan pangkat kepada orang lain.

Dalam seni linguistik dan psikologi Melayu, salah satu cara menawan jiwa Melayu adalah memberikan dia pangkat atau menggelarkannya dengan sesuatu nama yang merujuk kepada ketinggian harkat diri.

Sebab itulah kita ada (Da)Tok penghulu, Tok Siak, Tok Mudim, Tok Bilal, Tok Lebai, Tok Imam, Tok Bomoh, Tok Bidan, Datuk Bendahara, Datuk Bentara Sakti Angkasa (ini aku buat contoh saja). Asalkan dia ketua atau 'seseorang', kita cenderung gelarkan dia Tok.

Tapi sekurang-kurangnya, orang Melayu dulu berikan gelaran 'Tok' bersandarkan sesuatu kepakaran yang tidak ramai orang lain mampu atau sanggup buat. Jadi, mereka yang digelar Tok adalah 'the special one'.

Contohnya, tak ramai orang sanggup atau mampu jadi imam, bilal, mudim dan siak. Malangnya sekarang, kenapa ada orang jual gelang, yang juga mampu dibuat orang lain, tetapi dia boleh digelar Datuk?

Setakat ini, aku harap kau faham kenapa raja-raja kita suka berikan gelaran Datuk kepada menteri, kenamaan dan orang-orang 'besar' lain. Raja pun macam kita juga, teruja setiap kali berjaya mempangkatkan orang. Kau semacam dapat lihat terpancar cahaya gemilang keluar dari wajahnya.

Dan aku percaya, mana-mana bangsa yang berjaya adalah kalangan mereka yang berjaya membuang gelar pangkat pada namanya. Cuma Melayu yang belum bersedia kerana mereka sentiasa mahu rasa teruja.

Kita yang tak relevan

Thursday, June 14, 2012 · Posted in , ,


Tengok kepada 'Rizab Blog' di kolum kanan, entri aku paling banyak adalah pada 2008, iaitu sebanyak 123. Malangnya, 2010 merosot kepada 80 entri dan 2011 (56). Lebih menyedihkan, untuk separuh penggal tahun ini, entri blog aku baru mencecah 24.

Aku tak tahu, apakah blog akan terus relevan dalam beberapa tahun mendatang? Dan aku tertanya-tanya juga, apakah semakin meningkat umur seseorang blogger, dia jadi semakin malas mahu menulis? Dalam erti kata lain, blogger itu jadi malas berfikir atau kontang idea. Bahasa mudahnya, semakin tua, semakin lemau.

Sekarang aku harap kau dapat faham kenapa politikus kita makin tua bukan makin bagus, tapi makin merepek, meraban dan tak relevan. Macam aku juga.

Budak derma dan sekolah agama

Monday, June 11, 2012 · Posted in ,


Aku perasan antara sekian banyak budak sekolah agama yang direkrut mengutip derma datang dari daerah Kulim, Kedah. Peliknya, daerah yang sama jugalah yang menghantar budak sekolahnya mengutip derma lebih 6-7 tahun dulu, masa aku masih bergelar siswa.

Peliknya, duit kutip derma sekolah itu masih tak cukup-cukup. Dan lebih pelik lagi, aku tak ingat pula nama sekolah tu walaupun aku pernah bertekad mahu periksa status sekolah tersebut dalam internet sebelum buat laporan kepada jabatan agama dan Yang Berhormat kawasan dan Menteri Besar dan Perdana Menteri dan Unesco dan Unicef.

Apabila Melayu berniaga

Friday, June 01, 2012 · Posted in , ,



'Skim Pinjaman Kewangan Khas untuk Bumiputera Sahaja.'

Tulis satu pamflet bersaiz A4 di dalam peti surat. Aku tak baca sangat pun, sebaliknya terus renyuk dan simpan dalam poket untuk dibuang dalam plastik sampah di rumah. Sekarang kau boleh bayangkan betapa aku cintakan alam sekitar.

Hari ini jika kau buka peti surat, kau akan lihat berlambak-lambak pamflet berniaga yang menggunakan kata Bumiputera sebagai pelaris, promo dan propaganda perniagaan. Tidaklah pula aku pernah terbaca sebarang statistik yang mendakwa penggunaan kata Bumiputera mampu mempengaruhi tahap sukses sesebuah perniagaan di Malaysia.

Malah, kalau aku orang Cina, sumpah aku takkan masuk kedai yang ada notis 'Bumiputera'. Ini samalah seperti kau (Melayu) baca papan tanda McDonald's, 'Ciptaan Yahudi untuk Kegembiraan Dunia' atau iklan Genting Highlands, 'Taman Tema milik penuh orang Cina'.

Dalam real bines, setiap orang adalah pelanggan tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit kerana semua mereka berpotensi memberikan kau untung. Ini konsep mudah bisnes yang kau perlu faham dan hadam dan diamalkan oleh banyak bangsa dunia yang punya reputasi hebat dalam perniagaan (Arab, Yahudi, Cina). Malah, kata Bumiputera tidak membawa makna apa-apa jika produk/servis yang dijual itu berstatus sampah.

Atau mungkin juga aku perlu bersangka baik. Sekarang aku cuba fikirkan, mungkin skim pinjaman Bumiputera itu adalah kempen sebuah syarikat bukan Bumiputera (maklumlah, Bumiputerakan banyak berhutang).

Namun, sedang jenuh aku berfikir, aku ternampak sebuah warung kampung yang kelilingnya dipacak penuh bendera Barisan Nasional dan UMNO.

Dan aku putus asa tiba-tiba...

Powered by Blogger.