Berpuluh-puluh orang melonjak girang menyaksikan England dibantai Jerman tadi. Tak mungkin telinga aku yang tuli. Tapi, ketika Upson meledakkan gol pertama England, tidak ramai sangat pun penyokong negara Rooney itu menjerit. Rata-rata memilih untuk menikus.
Walaupun Liga Perdana Inggeris begitu intim di hati rakyat Malaysia, tetapi itu bukan bermakna England menjadi pasukan bertakhta di jiwa. Menurut tinjauan rambang aku, ramai lebih cenderung memilih negara-negara Eropah lain, Latin dan Asia walaupun langsung tak pernah ambil tahu pasal liga di Argentina atau di Korea Selatan sana. Aku sendiri memilih Jerman dan serius aku tak ambil peduli sangat pasal Bundesliga.
Pasukan England dilabelkan sebagai skuad pondan. Dengan rata-rata pemain berambut potong kedai mamak kasi cukur sideburn paras telinga, penampilan England kelihatan menjelikkan dan tidak macho. Bandingkan dengan pemain Argentina yang lagak bagai rockstar beraksi di atas padang. Pemain Jerman sendiri, walaupun tidak memiliki penampilan seperti rockstar, tetapi bertuah kerana mempunyai raut wajah garang dan hensem.
Kecuali Rooney, berwajah gasar, dan Heskey, berwajah kaki pukul, tiada pemain England lain yang mampu menandingi kegarangan skuad Jerman. Ini meninggalkan kesan psikologi kepada mereka, sekali gus menambahkan tekanan dan timbul perasaan rendah diri.
Wajah penuh suci lelaki-lelaki Inggeris mungkin senjata paling ampuh untuk meletakkan mereka sebagai penjajah Eropah nombor satu dunia. Malangnya, wajah sama tersebut langsung tidak membantu mereka dalam Piala Dunia.
Rebiu Lagenda Budak Setan (Habis) dan Aku Harap Ada Pengarah Adaptasi Novel Selangor vs Kedah (Joe Lerry) Sempena Semangat Piala Dunia
1. Sebenarnya, aku malas nak rebiu Lagenda Budak Setan (LBS). Pertama, sebab aku tak ingat apa-apa pun pasal novel tu. Kedua, secara peribadi, cerita tu tak best bagi aku. Dalam erti kata lain, ia produk gagal dan langsung tidak dapat diletakkan seiring dengan fenomena dicetuskan Ahadiat menerusi novel berhantunya itu.
2. Untuk mengangkat sesebuah karya bertulis kepada bentuk wayang gambar, penting bagi seseorang pengarah menghadam isi naskhah tersebut. Tanggungjawab ini sama berat terbeban kepada penulis lakon layar.
3. Ini penting supaya pengarah dapat menentukan sama ada adaptasi naskhah itu akan diterjemahkan berlandaskan 'terilham daripada..' ataupun sekadar salinan seratus peratus setiap plot dalam karya tersebut.
4. Penting juga bagi pengarah mengenal pasti momen-momen penting dalam novel dan semua ini patut diangkat dan divisualkan sebaik mungkin. Kegagalan melakukannya hanya akan mengecewakan pengikut dan peminat novel itu, tambahan lagi kalau ia naskhah besar dan memiliki kelompok pembaca ramai.
5. Momen-momen itu mungkin dalam bentuk lagu, suasana, perkataan atau apa saja yang digambarkan si penulis novel. Pengarah tidak perlu terperangkap dengan memaksa diri menyalin setiap perjalanan novel. Logiknya, mustahil novel beratus-ratus halaman dapat disumbatkan menjadi bentuk filem yang berdurasi sekitar dua jam.
6. Contohnya filem Laskar Pelangi (LP), situasi Ikal dan rakan sekelas dikenakan Mahar ketika beraksi Red Indian, aksi dramatik Lintang menjawab kuiz dan detik menyedihkan semasa Lintang gagal meneruskan pengajian adalah momen-momen penting yang begitu meninggalkan kesan mendalam kepada pembacanya. Naskhah LP menerusi kerja tangan Riri Riza berjaya diterjemahkan dengan begitu mengesankan.
7. Tapi LBS gagal melakukan semua itu. Menurut Jarul, yang menjadikan LBS sebagai novel terakhir pernah dibacanya, ada banyak momen penting dibiarkan begitu saja oleh Sharad Sharan.
8. Antaranya babak Kasyah jatuh cinta dengan Ayu menerusi namanya yang unik. Ke'setan'an Kasyah di kampus. Detik sedih Ayu pulih ingatan ketika sakit melahirkan anak dan rasa meluat melampau pembaca kepada Katerina.
9. Itu saja. Secara peribadi, LBS cuma cerita cinta biasa-biasa saja. Sebenarnya aku lebih suka novel komedi, Joget Cinta Pertama (Mat Romeo) difilemkan. Kalau mahu versi serius, aku pilih Cinta Hari-Hari Rusuhan (Faisal Tehrani).
10. Sempena Piala Dunia, aku harap ada pengarah sudi adaptasikan novel Selangor vs Kedah karya Joe Lerry. Satu-satunya novel pasal demam bola era semi pro pernah wujud di Malaysia.
Sedikit Tentang Piala Dunia 2010

Lagenda Budak Setan (Tak Sempat Siap Sebab Tengok Piala Dunia) Tunggu Nanti Aku Sambung
Lama tak rebiu filem. Agak kurang tengok wayang kebelakangan ni. Maklumlah, sibuk. Bila sibuk, lupa. Lupa tengok wayang. Nampak tak kaitan antara sibuk dan lupa. Jadi, tak hairan faktor kesibukan mampu menjejaskan sesuatu hubungan. Antara suami dan isteri. Anak dan ibu bapa. Pakwe dan makwe. Kerajaan dan rakyat. Semuanya kerana sibuk dan lupa. Eh, aku nak rebiu filem kan?
Beberapa hari lalu, aku tengok Lagenda Budak Setan (LBS). Filem adaptasi daripada novel pop agung karya Ahadiat Akashah.
Istimewa tentang novel ini ialah tercetus fenomena baca novel pop kalangan remaja Malaysia sekitar 90-an. LBS berjaya menyelinap menjadi bentuk budaya popular remaja tempatan ketika itu, seiring dengan trend kasut penguin dan seluar straight cut tempah kedai taruk buckle tepi pinggang (poket belakang kasi keluar, kaki seluar lipat, poket kecik tepi).
Memang sudah ada banyak novel pop sebelum LBS. Tetapi, belum ada satu pun novel yang mampu mencetuskan kegilaan seperti LBS. Ahadiat, menerusi LBS berjaya mencipta peraturan baru tentang apa itu novel pop dalam erti kata sebenar.
Malangnya, disebabkan sikap anti-establishment dan anti-popular yang kuat, aku hanya membaca episod pertama LBS (berjudul Budak Setan) walaupun bersungguh-sungguh direkemenkan oleh rakan sekelas.
Sebaliknya, aku memilih membaca novel pop lain keluaran syarikat Ahadiat (Melati Production kalau tak silap).
Selain Budak Setan, seingat aku hanya tiga saja novel pop syarikat Ahadiat yang aku baca.
Pertama, Yo, It's Me (Aznil Nawawi) - Pernah dibuat drama tivi di TV3, lakonan Nico. Mengisahkan seorang mamat skema berubah menjadi hensem selepas di-make over oleh rakan-rakan. Tapi, Nico dalam drama selepas di-make over tak adalah hensem sangat pun.
Kedua, Prince Cinderella (penulis tak ingat) - Langsung tak ingat jalan cerita. Tapi, uniknya tentang novel ini ialah pembaca perlu hantar surat kepada syarikat penerbit untuk dapatkan 'warkah si hero' (kalau tak silap). Warkah tersebut adalah kesimpulan bagi penamat cerita novel itu.
Ketiga, Di Bibirmu Ada Lagu (Shai) - Aku cuma ingat tajuk saja sebab aku anggap penulis tu berjaya mencipta ayat jiwang paling king sepanjang zaman.
Kembali semula mengenai LBS, sebenarnya, aku langsung tak ingat plot dalam novel pertama itu selain nama heronya, Kasyah. Justeru, aku gagal mengingati momen-momen penting yang patut diangkat dalam filem.
Eh, tadi tulis nak rebiu filem kan?
Sabar sabar. Nak tengok Korea Utara lawan Brazil dulu.
Kesan Sibuk di Ibu Kota
Lebih seminggu aku tak update blog. Serius punya sibuk dengan kerja baru. Kesan daripada sibuk adalah lupa. Lupa update blog.
Empat Sebab Mesti Beli Ini Transisi
Jun yang Entahkan Panas Entahkan Sejuk
Masuk bulan Jun, tukar akaun bank lagi. Untuk sesiapa yang slow, tukar akaun bank bermaksud tukar kerja. Ya, aku tukar kerja. Lagi.
Entah sumpahan apa kerja aku kali ni tercampak ke tengah ibu kota. Lokasi kerja yang cuba aku hindarkan sejak berkelana ke wilayah tengah dosa pahala bercampur-campur ini. Tapi mungkin Tuhan mendengar doa-doa ketika kecil dulu yang diucap dengan niat penuh suci: aku mau kerja KL nanti.
Keluarga di kampung sana sudah risau. Tapi itu biasalah. Aku sendiri cemas dan risau dengan diri sendiri, apatah lagi dengan orang-orang terdekat. Tapi, memang begitulah kita. Saling merisaukan.
Manusia sejak menjengah dunia sudah dikurniakan tiga rasa risau. Rasa risau pertama adalah apabila mulut tidak dinenenkan setiap kali perut lapar. Rasa risau kedua ialah semasa kencing dan berak kerana timbul fill kurang enak setiap kali melakukan aktiviti mengeluarkan tahi dan kencing itu. Rasa risau ketiga pula ialah ketika berada dengan orang-orang tidak dikenali.
Peliknya, reaksi kita ketika itu cuma satu saja, menangis, bahasa paling difahami umat manusia. Tapi sekarang apabila sudah dewasa, menangis bukanlah dapat menyelesaikan apa-apa masalah pun. Menurut filem Ibu Mertuaku, kekerapan menangis mampu membuat seseorang itu menjadi buta. Bukan saja buta mata, tapi juga buta hati, buta akal dan buta nafsu.
Di KL, berhenti kerja itu biasa. Kalau kau tetap satu kerja saja, itu pun perkara biasa. Dan kalau kau tak ada kerja, itu pun biasa juga. Hidup di ibu kota, tiada apa yang boleh kau panggil luar biasa. Sungguh.
Jika kau renung, hidup di ibu kota sudah lama mengajar kita bahawa tiada apa pun yang menjamin hidup kita. Menjerit Ketuanan Melayu sekuat-kuatnya di tengah jalan sana belum tentu mengubah semenanjung emas ini menjadi negara demokrat cinta.
Dan perlahan-lahan kau sedar hidup ini, inna lillah wa inna 'ilayhi raji'un.