![]() |
Van milik seorang peniaga pasar malam mungkin.. |
Isu wang mungkin jadi satu masalah, tetapi kemudahan pinjaman ditawarkan pihak kerajaan, pemaju dan bank sedikit sebanyak membantu golongan miskin memiliki rumah sendiri. Namun, masalah nombor wahid mereka sebenarnya bukanlah wang, tetapi ruang rumah yang sempit dan tidak selesa.
Kita semua tahu, golongan miskin terdiri daripada golongan peniaga kecil, nelayan, petani dan buruh. Di sini, kita akan nampak betapa tuntutan kerja mereka memerlukan ruang rumah yang luas, bukan di flat dan teres sempit.
Peniaga pasar malam perlukan ruang untuk menyimpan barang meniaga dan generator, nelayan mahu membaiki jala dan motor bot. Petani pula mahu simpan tajak, galah dan baja. Buruh mungkin saja mahu ada ruang untuk simpan simen dan alat tukang. Kalau kerja drebar bas, dia mahu ada lot parking khas supaya senang ambil budak pergi sekolah pagi-pagi.
Jadi, itu adalah alasan mudah kenapa penduduk setinggan atau penghuni di kawasan perumahan tidak terancang enggan berpindah ke projek perumahan murah yang disediakan kerajaan untuk mereka. Sebabnya ialah ruang, di mana ia benar-benar ada kaitan langsung dengan mata pencarian mereka.
Ironinya, jumlah bilik rumah orang kaya jauh lebih banyak dan luas. Misalnya, kau laki bini duduk satu bilik. Tiga anak kau dapat seorang satu bilik. Orang gaji mungkin satu bilik lagi. Tapi kenapa nak kena ada lebih 10 bilik? Kau bela gundik macam maharaja China ke?
Secara tipikalnya, rata-rata projek perumahan di negara membangun menumpukan kepada mekanisma kewangan iaitu membina rumah mahal hingga tak tercapai akalmu.
Ini bermakna, cuma sedikit saja pemaju yang menumpukan hala tuju syarikat mereka kepada projek membangunkan rumah yang benar-benar murah untuk dibina. Sebaliknya, projek rumah murah lebih kepada cukup syarat bagaikan melukut di tepi gantang atau kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga. Kalau kocek kau kering sentiasa, rumah yang agam mimpikan saja (amacam, ada rhyme tak?).
Dalam erti kata lain, kalau kau berduit, dapatlah kau merasa rumah yang selesa dengan tab mandi dalam bilik, kamar tidur luas berhawa dingin dan laman luar berlanskap cantik hingga terasa bagai di syurga adanya.
Tapi, kalau kau tak berduit, bilik kau jadi sempitlah dan terpaksa duduk atas mangkuk tandas dengan lutut berlaga pintu jamban. Laman luar usahlah diharap membina lanskap seakan syurga kerana semuanya neraka belaka (jangan baca secara harfiah). Persoalannya, apakah membina projek rumah murah itu begitu sukar dilakukan hingga ia bagaikan menunggu babi tumbuh sayapnya?
Aku tertarik dengan inisiatif rumah buluh yang diperkenalkan pertubuhan Habitat untuk Humaniti Antarabangsa (HFHI) cawangan Nepal dalam usaha membantu golongan miskin di negara itu memiliki rumah sendiri. Dalam projek itu, HFHI mensasarkan membina 20,000 rumah buluh menjelang tahun depan.
![]() |
Kerja menampal simen atas dinding buluh. |
![]() |
Rumah buluh yang siap disimen. Steady! |
Jadi, rumah buluh ini memberi ilham kepada HFHI untuk membangunkan teknologi rumah berasaskan buluh dengan mendapat bantuan suka rela daripada Dana Warisan Arkitek Kanada (CALF).
Rumah itu dibina dengan menganyam enam batang buluh yang ditampal dengan simen atau tanah liat sebagai dinding rumah. Fungsi enam batang buluh itu ialah sebagai tiang yang akan menyokong struktur bumbung dan ketahanan dinding rumah.
Teknik membina rumah menggunakan buluh bukan saja kerana ia nampak cantik atau murah, tetapi dilihat dari aspek faedah teknikal. Ini kerana buluh boleh didapati dengan banyak di kawasan selatan Nepal. Oleh kerana ia mudah diperoleh, tidak banyak kos diperlukan untuk mengumpul bahan mentah itu dan menggunakannya sebagai material utama rumah. Tambahan lagi, buluh mempunyai daya tahan yang cukup kuat untuk menahan gegaran gempa bumi dan tiupan angin kuat serta ribut, termasuk mesra alam.
Secara mudah, antara kriteria utama yang menyebabkan buluh dipilih sebagai material utama ialah ia mampu milik, mudah dikumpul, mudah alih, tahan lasak dan sesuai dengan budaya tempatan, termasuk pengalaman positif yang dikongsi mereka yang mendapat faedah daripada projek perumahan buluh terdahulu.
Jadi, takkan Malaya yang kaya dengan sumber tropika ini tak ada material murah untuk bina rumah selain batu-bata dan simen? Kenapa tak ada projek rumah kampung? Kenapa aku tak dengar kampung-kampung baru muncul selain pamflet flat sempit diselit celah wiper kereta dan peti surat rumah.
Semua arkitek tahu pasal prinsip asas seni bina, iaitu functionalism, di mana sesebuah bangunan itu mesti direka berdasarkan tujuan bangunan tersebut. Tolong faham, functionalism untuk rumah kos rendah bukanlah kos semata-mata, tetapi ruang.