Archive for February 2011

Sedikit pasal e-mel 'forward'

Friday, February 25, 2011 · Posted in ,

Ini ialah sebuah laman web yang diwujudkan oleh peminat siri novel Dragon Riders of Pern karya penulis Amerika, Anne McCaffrey.

Entri ni respon daripada entri keretamayat. Pasal tulis assalamualaikum sebagai 'akum/a'kum'. Pasal jangan sebut 'salam'. Jangan sebut 'bye bye'. Jangan itu dan jangan ini. Sumpah, aku dah dapat banyak e-mel forward pasal benda ni. Dan sumpah aku tak percaya pun. Lawaknya, ada ramai makhluk yang bila hantar mesej kat aku, diorang akan tulis as salam atau salam penuh. Cepat saja otak aku bagitau, ni mesti percaya e-mel forward.

Bagi aku, sebelum kau nak percaya apa saja e-mel yang di-forward, kau mesti ada menganut satu ideologi, iaitu 'trust nobody'. Ideologi ini perlu kau bawa ke mana-mana, apatah lagi kalau benda yang disampaikan itu bukan dalam ruang lingkup pengetahuan kau. Kau cuma perlu rileks dan bertanya kepada Lebai Google atau Prof Wiki atau sumber bertulis lain. Ideologi ini juga kau kena bawa ketika bertandang ke ceramah politik, tazkirah agama, sembang kencang kedai kopi, berdebat dengan cendekiawan, mat rempit, abang Perkasa, ultra liberalis, Muammar Gaddafi atau Decepticon.

Mereka yang suka menyebarkan dan percaya kepada e-mel seperti itu bolehlah dikategorikan sebagai religious/cultural paranoia atau dalam terma psikiatrik dipanggil psikosis atau bahasa mudahnya gangguan pemikiran. Individu yang berisiko mengalami masalah tersebut boleh dikesan melalui kecenderungan atau minat seseorang itu dalam membincangkan perkara mengenai konspirasi pihak luar terhadap dirinya atau orang lain. Untuk pengetahuan anda, ahli-ahli politik dan orang-orang agama yang hanya belajar dan taksub kepada satu sekolah pemikiran adalah antara kelompok manusia yang berisiko tinggi mengidap psikosis. Mereka ada satu perasaan bahawa diri mereka sentiasa diperhatikan dan berada dalam ancaman.

Dalam konteks Melayu Islam di Malaya, manusia yang berpotensi mengidap penyakit mental ini, ialah individu yang memuat turun dan khatam beberapa kali video The Arrivals, suka mengumpul buku tentang dunia akan kiamat, Yahudi mahu menakluk dunia (tetapi hairannya, diorang ada akaun Facebook!), Dajjal mata satu bakal turun dan seumpamanya. Bagi mereka, buku-buku itu lagi penting berbanding buku pasal cintai sungai kita, kaitan petroleum dan ekonomi dunia, konflik Timur-Barat dan pemikiran al-Farabi atau puisi Maulana Rumi. Bagi aku, mereka semua ini aku kategorikan sebagai psikosis gred 2 (gred 3 paling teruk).

Menjawab atau berfikir sebentar tentang isu salam penuh dan salam 'Akum' sebenarnya tak susah pun. Kau cuma perlu faham bahasa! Aku cuma bagi dua contoh mudah:

Satu.
Ada satu dinasti Islam pernah menguasai daerah Junagadh dalam negeri Gujarat di India pada abad ke-18 hingga 19. Tahu tak apa nama pengasas dinasti tu? Namanya Muhammed Sher Khan Babi dan dalam sejarah India, empayar tersebut dikenali sebagai Dinasti Babi!

Dua.
Dalam bahasa Indonesia, butuh membawa maksud 'perlu', tetapi dalam bahasa Melayu ia membawa maksud kemaluan lelaki.

Persoalan:
1. Apakah kata 'babi' di Malaysia sama dengan 'babi' Islam di India?
2. Apakah ada orang Indonesia menghantar e-mel forward meminta jangan menggunakan perkataan butuh kerana ia membawa maksud 'batang lelaki' dalam bahasa Melayu?

Antara faham, tahu dan buta seni

Tuesday, February 22, 2011 · Posted in , , ,

zebra crossing n eiffel tower adalah warisan bangsa dari bangsa itu sendiri,memang wajar diagungkan oleh mereka.. tapi a-famosa adalah warisan penjajah yg dijadikan warisan bangsa.. tiada kewajaran pun untuk diagungkan.. biarlah ia tersepit antara hutan batu kerana berbangga dengan menara taming sari adalah lebih bererti bg pewaris bangsa yg punya identiti. - anonymous

Komen di atas aku dapat untuk entri ni. Ikutkan, memang aku nak jawab terus. Tapi, bila difikir-fikir, sedap pula buat entri ketika idea tengah kontang mau tulis blog.

Bagi aku, sesuatu monumen atau apa-apa binaan tidak boleh ditafsir secara satu hala atau satu lapis makna saja. Tambahan lagi kalau monumen itu ada unsur sejarah yang kuat, tidak kira sama ada sejarah itu menyimpan catatan kemenangan atau kekalahan dalam pembentukan sesebuah negara moden hari ini.

Selepas era Perang Dunia Kedua, semua sejarawan dunia, tanpa mengira Muslim, Kristian, Buddha, Hindu dan atheis yang bergabung di bawah Unesco bersepakat bahawa apa saja monumen sejarah perlu dipulihara kerana ia adalah dokumentasi tentang perilaku umat manusia sebelum kita.

Namun, dalam usaha memulihara monumen bersejarah itu, ada dua kelompok penentang yang tak ambil pusing langsung tentang makna semiotik yang tersimpan dalam sesebuah binaan lama itu. Pertama, kelompok kapitalis yang menghalalkan apa saja upacara pecah tanah atas dasar 'kemakmuran' ekonomi. Dan kedua, kelompok buta seni yang salah seorang adalah anonymous di atas.

Antara kelompok buta seni terkenal lain ialah Taliban yang berfatwa mengebom patung Buddha Bamyan di barat laut Kabul dalam wilayah Hazarajat, Afghanistan yang dibina pada 507 Masihi pada 1999.

Ok, untuk memudahkan pemahaman kita, jom kita ikuti penerangan bergambar di bawah:

Piramid Khufu di Giza adalah antara 138 piramid yang dibongkar setakat 2008 di Mesir. Ya, semua sedia maklum bahawa piramid di Mesir adalah kubur Firaun. Cilake orang Mesir, sungguh khurafat dan syirik korang memulihara kubur dan menyimpan mumia di dalam muzium!

Ziggurat adalah kuil atau tempat sembahyang bagi penduduk Sumeria, Babylonia, Elamite, Akkadia dan Assyria yang kini menjadi sebahagian daripada Iran dan Iraq. Antara ziggurat terkenal ialah Great Ziggurat of Ur dan Aqaf Nur di Iraq; dan Chogha Zanbil dan Sialk di Iran. Matilah korang orang Iraq dan Iran, sampai begitu sekali korang menjaga kuil yang syirik lagi mensyirikkan itu!

Hagia Sophia adalah basilica, tempat berhimpunnya paderi atau bishop pada era Empayar Rom Timur. Ia pernah berfungsi sebagai gereja Katolik sebelum ditukar fungsinya kepada masjid selepas kerajaan Constantinople tumbang kepada askar Sultan Mehmed II. Sekarang, Hagia Sophia dijadikan muzium oleh kerajaan Turki. Woi, Islam apa korang ni. Bekas gereja buat muzium. Sultan Mehmed tu mesti Islam nama saja sebab sampai hati dia guna gereja untuk buat masjid!


Ya, inilah yang kita mahu. Menara jam terbesar dunia. Overshadow Kaabah pun tak apa, asalkan kita dapat buktikan kepada dunia keunggulan Islammmm!! Takbirrrrr!!! Nanti ada duit lebih, kita bina lagi jambatan kasi cross atas Kaabah. Ada duit lagi kita taruk pulak bumbung supaya jemaah tak kena hujan. Ini kerja amalll.. Takbirrrr!!!!!

Tuan hamba. Lihatlah menara ini betul-betul. Bukankah rekabentuknya penuh kehalusan kesenian nusantara? Gila agaknya kalau tuan hamba semua tidak nampak kesenian tamadun Melayu di menara itu. Kalau arwah Hang Tuah masih hidup, nescaya menangis gembiralah laksamana itu sampai tujuh hari tujuh malam adanya. Lagipun, ia juga boleh memuatkan 66 penumpang untuk ditembak naik ke langit. Tidakkah teknologinya begitu berfalsafah sekali? Biarpun teknologinya dari Switzerland, itu usahlah dikisahkan. Apa yang penting seni! Faham tak, apa itu seni!

p/s: Aku lupa, ada satu lagi kelompok yang asyik kondem mana-mana monumen atau binaan. Yang ini tak kira bersejarah atau tak? Yang dicari dan dikaji ialah bangunan tu ada bentuk salib tak? Atau ada bentuk mata dajjal? Ini kumpulan memang kena duduk dalam khemah atau reban ayam.

Resepi Coca-Cola kini dibongkar

Thursday, February 17, 2011 · Posted in ,

Menggemparkan.

Beberapa jam lalu, ada 2-3 portal berita antarabangsa melaporkan kenyataan laman web, thisamericanlife.org yang mendakwa membongkar resepi air sedap, Coca-Cola.

Thisamericanlife.org mendakwa menemui senarai yang diambil daripada sebuah akhbar yang mendedahkan resepi ciptaan ahli farmasi, John Pemberton (1886).

Foto resepi itu diperoleh daripada artikel dalam akhbar Atlanta Journal-Constitution edisi 8 yang bertarikh Februari 1979. Dalam foto itu juga merakamkan aksi seorang hamba Allah memegang buku dengan resepi yang didakwa sama dengan resepi digunakan Pemberton.

Senarai resepi itu dikatakan lengkap dengan bahan dan dos untuk menghasilkan Coca-Cola. Kini, resepi asli Coca-Cola tersebut dikatakan disimpan dalam bilik bertutup di Atlanta, Georgia dan dikawal 24 jam.

Mari saksikan resepi Coca-Cola kita. Sila tukar sendiri metrik:

1. Ekstrak cair coca - 3 dram (unit)
2. Asam Sitrat - 3 aun
3. Kafein - 1 aun
4. Gula - 30 (tak berapa jelas metrik)
5. Air - 2.5 gelen
6. Jus jeruk limau - 2.25 liter
7. Vanila - 1 aun
8. Karamel - 1.5 aun atau lebih untuk warna.

7 jenis penambah perasa (2 aun+ 5 titik sirap)
1. Alkohol - 8 aun
2. Minyak jeruk - 20 titik
3. Minyak lemon - 30 titik
4. Minyak nutmeg - 10 titik
5. Coriander (ketumbar) - 5 titik
6. Neroli - 10 titik
7. Cinnamon (kayu manis) - 10 titik

Sekarang tak payah susah nak ekstrak. Saintis makanan atau chef-chef kita boleh cuba buat ujikaji. Abang-abang penguat kuasa kita macamana? Takkan serbu kedai mapley saja kot? Rasa-rasa akhbar Malaya keluar tak berita ni?

Cerita lain pada 14 Februari

Monday, February 14, 2011 · Posted in ,

1915-14 Februari 1942



Kalau tak silap, aku pernah tulis pasal peristiwa penting 14 Februari di Malaya dalam blog aku dua tahun lepas.

Masalah orang kita ialah hanya tahu melarang dan anti sana sini. Tambah-tambah lagi kalau sesuatu perkara itu ada kena mengena dengan orang muda. Ada saja setan dan Yahudinya. Tapi, di segi counterculture kita tak ada.

Cakap mulut berbuih-buih. Melarang dan menguat kuasa memang senang. Tapi mengajak dan mengajar manusia memahami falsafah dan makna sesuatu budaya itu kita kontang. Kita tak mahu mencipta origaniliti. Kita juga tak faham bahawa akar kepada pokok masalah itu sebenarnya berangkai. Ia menjalar, membesar dan subur atas nama air ekonomi, bajanya politik. Hasilnya, kita jadi manusia yang tahu menyalah-nyalahkan.

Kita kadang-kadang tak sedar tindakan kita, buatkan anak muda semakin jauh hati dengan kebenaran. Sebab kita sendiri tak ada kejujuran.

Kenapa saya patut suka KL?

Thursday, February 10, 2011 · Posted in ,

Serius, tak dak apa pun KL ni.. Tapi, hang akan jumpa something.. - orang gila KL, Chow Kit

Apa yang best KL? Serius cakap, soalan mudah tu cukup untuk buatkan aku termenung dan berfikir lama. Sumpah, sejak aku berkelana di ibu kota sejak 2001 dan kini genap 11 tahun aku di sini, tidak pernah sekejap pun aku beri ruang untuk menjawab soalan macam tu tentang apa yang best sangat KL?

Sebenarnya, aku tak ada jawapan konkrit tentang 'apa yang best sangat KL?' Dan aku sendiri hairan kenapa hingga saat ini, aku dan mungkin warga KL lain, terutama migran yang cari rezeki di ibu kota ini, masih terus tabah bergelut hidup di bandar megapolitan serba menyerabutkan ini?

Secara rasionalnya, KL hari ini bukanlah tempat untuk kau mengecap apa yang Pak Lah pernah sebut, damai abadi. Dengan kos hidup dan harga rumah meroket tinggi, jerangkap tol di mana-mana, kesesakan trafik yang tidak ada noktah, koleksi saman DBKL yang menimbun, pemandu yang macam cilake, peniaga menipu, perangai pengotor dan pembusuk merata-rata, gangsterisme dan jenayah (tambah lagi jika ada), apa sebenarnya yang best tentang KL?

Apakah aku suka pergi gedung membeli belah bertaraf dunia? Tak juga. Baju dan jeans aku masih bundle. Kadang-kadang aku turun The Store Sungai Buloh yang saling tak tumpah macam City Plaza dan Hankyu Jaya, pusat lepak remaja Alor Setar masa aku sekolah dulu. Aku juga bukan mamat yang sanggup berlekit-lekitan turun konsert atau Jom Heboh atau Juara Lagu atau Raja Lawak. Semua riang ria tu aku dah tinggalkan sejak habis belajar dulu.

Apakah aku ke KL untuk membawa pulang kereta mewah atau memiliki banglo agam di atas puncak bukit? Itupun tak juga. Aku sendiri hairan, dan kadang-kadang sedih, kenapa aku tak ada nafsu atau bercita-cita mahu naik kereta mewah atau memiliki banglo agam. Kesimpulannya, hidup aku biasa saja dan orang macam aku ni sepatutnya berkebun atau bercucuk tanam di daerah damai seperti di Baling atau Kuala Nerang. Sebaliknya, apa yang kau dapat di KL hanyalah belajar untuk menjadi manusia biadap, lucah, menipu, menindas, kedekut dan segala perangai jahat lain. Ya, tak ada alasan pun untuk aku sukakan KL.

Cuma.. Apa yang buatkan aku sukakan KL ialah kerana ia sebahagian daripada serpihan mimpi aku yang Tuhan makbulkan.

Kira-kira 20 tahun dulu, KL dalam mimpi kanak-kanak seperti aku, yang bukan orang KL, adalah syurga. Aku ingat lagi, abang sepupu aku yang kerja di KL akan beri duit raya RM50 hingga RM100 kat sepupu-sepupu lain. Satu jumlah wang yang super mewah bagi kami masa tu. Aku tak lupa juga pengalaman ikut rombongan sekolah abah melawat KL sekitar 1990-an. Betapa mesranya orang KL melayan orang luar dan seronok benar aku tengok diorang melayan orang-orang macam kami yang melongo menyaksikan bangunan tinggi mencakar awan.

Ketika itu, jauh sekali aku dengar orang KL mengeluh. Apatah lagi orang luar yang mencari rezeki di kota metropolitan itu. Semuanya, apabila pulang ke kampung, ada saja berita gembira yang dibawa balik. Ada saja kemewahan yang dikongsi sama. KL adalah kota peradaban. Kota budaya. Kota ilmu. Kota kemanusiaan.

Hebatnya KL ketika itu hingga buatkan aku berdoa, kalaulah Allah tak mahu jadikan aku penyelamat bumi seperti Suria Perkasa Hitam, cukuplah Dia berikan aku peluang hidup di syurga bernama KL. Sejujurnya, KL adalah impian dan doa aku ketika kanak-kanak yang termakbulkan. Jadi, aku rasa bertanggungjawab untuk sukakan KL walau apa cara sekalipun. Itu saja. Simple. :)

Powered by Blogger.