cinta si gembala lembu

Thursday, April 13, 2006

CINTA SI GEMBALA LEMBU

Akulah si gembala lembu
Yang menajak rumput hijau
Buat santapan enak saujana lembu
Lelahku pada menghitung dan membilang
Pulangnya lembu-lembuku ke pintu kandang

Kata ibu, inilah dunia aku dan adik-adik
Kita patut akur dan pasrah
Pada hamis najis dan tengik peluh
Kita patut syukur dan menyerah
Pada kuak dan kenyang lembu menderuh

Engkau si gadis manis,
Yang sering kulihat menyidai dan mengutip baju
Pujaku, wajahmu bagai dingin angin yang berpilin
Suaramu bagai jernih sungai yang riak mengocak
Dan ketika aku gundah mencari Nani
Kita pun bertemu
Bersama tali Nani yang putus disisi
Engkau hulurkan aku dengan persahabatan

Kemudian, kau selalu menggamitku
Meminta kuhantarkan sebotol susu paling segar
Dan engkau selalu kudengar
Berbicara padaku tentang hidup dan cita-cita
Sedarlah aku,
Bahawa engkau masih punya pilihan
Sedangkan aku tidak pernah diberi jawapan

Suatu petang damai,
Ketika aku dan lembu-lembuku menyeberang titi
Engkau mengejarku, memberitahu akan ke universiti
Mahu belajar tentang apa yang tidak pernah aku belajar
Dan tanpa ingatan panjang engkau pun menghilang
Lama dan terus lama
Dalam mimpi seorang pengembala

Akulah si gembala lembu
Hanya mampu memandang bayangmu
Yang sedang menyidai dan mengutip baju
Dan engkau kulihat melambai
Meninggalkan aku
Tersenyum bersama lembu-lembuku

Powered by Blogger.