tiada aku lupa

Sunday, April 30, 2006 · Posted in

TIADA AKU LUPA

(dedikasi untuk teman IDE)

Silau kalimantang hijau berkelkatu itu
Senang sahaja mengingatkan aku
Pada hari-hari kita yang lalu
Dan masa-masa kita yang rindu
Teman,
Apa lagi yang mampu kuimbau?
Selain menyelak potret-potret lama
Yang menceritakan laman kenangan kita

Tiada aku lupa
Bingit jukebox Cromox dan gusti The Rock,
Sedih lagu raya Raihan dan bicara Melayu Shah Rukh Khan
Sabar memancing udang kolam
Dan menyanyi girang di atas buaian taman permainan
Teringat pada prebet sapu yang berbicara lucah
Lalu aku dipaksa pasrah
Sepanjang deret kedai dan jirat-jirat mati
Dan kalian mendesah resah
Menanti tiba ke pintu rumah

Di bangku ABC
Kita enak dengan teh tarik dan roti canai
Mencecap lazat nasi ayam dan asap rokok
Kita bebas membicarakan apa sahaja
Tentang cerita-cerita kemanusiaan dan kecintaan
Selalu kita terleka pada gadis-gadis cantik
Dan kita pun nakal mengusik
Dan tumpah panas teh dihujung kaki
Membuatkan aku kepanasan menari
Gelak tawa kita pun berseri

Kita kerap terlena
Di sofa jerami menyudahkan kertas kerja
Dipaksa menjadi wartawan, tukang kayu dan pengutip sampah
Kita dilalikan dengan pujian dan cacian pensyarah
Diserabut dengan idea tak tercurah
Memudiki stationery dan kilang besi
Risau pada wang ringgit
Dan terima kasih
Kerana kalian selalu menghulurkan
Apa yang tidak mampu aku bayarkan

Teman,
Ketika kalian berlabuh di hentian Masai
Dengan hati menahan derai
Apa lagi mampu ku tahan
Selain keterharuan
Dan benang air mata dan rasa
Dan kita pun hilang
Tanpa ketemukan...

21 Julai 2002

. . . .

Dunia ni kecil saja. Pusing-pusing kita jumpa orang yang tak disangka-sangka.

Aku jumpa junior aku. Semasa belajar di Institusi Teknikal Johor. 5 tahun dulu. Dia antara blogger yang aku kagum. Yang aku tak lepas singgah ke blognya. Dia Zuril.

Kami terserempak di YM beberapa hari lalu. Meski pun sudah lama namanya berbaki di senarai YM. Baru kini tergerak mahu menegur. Dan kami bercerita tentang pengalaman-pengalaman di sana meskipun dulu tidak pernah bersua muka. Tapi situasi dan pengalamannya sama.

Aku teringat pada kawan-kawan. Pada Pasir Gudang. Pekan Masai. Air Puteh. Pasaraya Senyum. Pasaraya Tenang. Prebet Sapu. Pasar Malam. Dan macam-macam.

Bercerita mengenai kenangan lalu memang terasa seperti memori lama terkuak kembali. Dan semua itulah yang akan mendewasakan. Mematangkan. Selagi kita mahu terus merenung. Menginsafi diri. Memahami sebetulnya apa itu erti cinta dan perpisahan itu sendiri.

Dan kenangan-kenangan itu buat aku tersenyum. Tersenyum sendiri pada potret diri.

Hari ini akan menjadi kelmarin. Kelmarin itulah yang menjadi kenangan yang takkan mampu kita ulang-ulang. Melainkan kita kenang-kenangkannya. Jadi janganlah kita sakiti segala yang ada hari ini kerana kita pasti sakit apabila mengenang segala yang dulu. Bukankah elok kau terima saja. Dan berserah.

Wei. Kelambu. Cukup. Aku rasa kau terlalu sentimental sangat.

Maaf.

Powered by Blogger.