Sedikit Tentang Piala Dunia 2010

Friday, June 18, 2010 · Posted in

Rasa tak kena pula rebiu filem ketika demam Piala Dunia. Aku tangguhlah lagi ikut sedap mood aku.

Satu-satunya jasa (itupun kalau kau setuju) ditinggalkan Inggeris di tanah Malaya adalah memperkenalkan bola sepak, permainan 20 orang (tolak penjaga gol) berebut sebiji bola.

Barat adalah pencetus kepada banyak sukan dunia. Sukan Olimpik sendiri adalah legasi ditinggalkan kerajaan Greek kuno, di mana beberapa negeri ketika itu menghantar wakil masing-masing untuk bertarung beberapa acara tanpa menumpahkan darah. Ia juga dikaitkan sebagai persembahan kepada dewa dewi Yunani. Malah, kebanyakan acara Olimpik sekarang adalah berasal dari zaman itu seperti merejam lembing, lumba lari, lompat jauh, bergusti dan lain-lain.

Ia kemudian diteruskan pula oleh kerajaan Rom yang mengimprovisasi beberapa acara sukan Yunani menjadi lebih ekstrem. Buktinya, Colosseum (di Rom, Itali) diwujudkan khas untuk orang ramai menyaksikan perlawanan gladiator (terdiri daripada tawanan perang, hamba, banduan) yang jelas menjurus kepada pertumpahan darah.

Dalam situasi hari ini, harus diakui Barat memang ada kaitan dengan pertumpahan darah. Cuma gladiator-gladiatornya adalah orang Asia seperti di Timur Tengah. Aksi-aksi berdarah seakan menjadi keterujaan di Barat.

Tetapi, Asia adalah sebaliknya. Orang Asia, walaupun lebih lama membina tamadun (seperti Babylon, Mesir, China dan India) bukanlah spesies bersaing dalam erti kata menentukan kalah menang dalam satu acara khas gilang gemilang. Kalau adapun, ia lebih menjurus kepada unsur pertaruhan seperti laga kerbau dan laga ayam (sila rujuk cerita rakyat Pak Kaduk).

Pasar Kerbau di Toraja, Sulawesi Selatan.

Sekitar 30-an di Kedah, laga kerbau adalah pesta popular di kalangan rakyat. Berduyun-duyun orang akan memenuhi gelanggang khas dipanggil 'Hang'. Ia sama seperti stadium dengan tempat duduk penonton dibina bertingkat-tingkat menggunakan kayu dan buluh. Ruang menonton Hang juga memiliki level tersendiri. Tempat duduk bertaraf grandstand adalah berbumbung, daripada atap nipah, dengan penonton dikenakan bayaran tertentu. Bagi golongan yang tak berapa berduit, mereka boleh saja duduk di tempat duduk biasa, berketinggian lebih kurang 4 kaki.

Di sini, kita dapat lihat perbezaan antara Barat dan Asia. Ketika Rom mahsyur dengan liga pertumpahan darah, tamadun Asia pula sudah lama tersohor dengan liga-liga pertaruhan.

Sukan-sukan di Asia lebih bercorak riadah atau suka-suka. Tidak ada struktur perlawanan teratur, disokong dan didanai kerajaan bagi mengiktiraf terhebat antara terhebat. Hang Tuah sendiri dipilih menjadi hulubalang kerana menewaskan seorang lelaki amuk di pekan Melaka yang kebetulan disaksikan Bendahara dan direkemenkan kepada Sultan.

Hanya ada dua bukti menunjukkan kehebatan Hang Tuah, iaitu kitab Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tiada artifak atau medal membuktikan Hang Tuah pernah memenangi perlawanan juara silat nusantara atau seluruh Asia. Kalau adapun cuma keris yang dirampas daripada pendekar Majapahit bernama Taming Sari. Itupun kerisnya tidak ditemui (walaupun ada pendapat mengatakan ia dimiliki kerajaan Perak).

Kembali kepada Inggeris dan bola. Selepas Kerajaan Melayu di Semenanjung perlahan-lahan mengharamkan sukan laga melaga atas dasar kemanusiaan, sukan Inggeris itu dengan pantas mengisi kekosongan ditinggalkan sukan rakyat tersebut. Wira-wira bola diraikan dan rakyat boleh berkumpul melepaskan penat lelah bertani dan berniaga di pekan untuk menyaksikan 20 orang berebut sebiji bola tanpa perlu menumpahkan darah (kerbau dan ayam) dan berjudi.

Namun, bagi tahi judi, permainan baru itu menjadi alternatif baru untuk mereka menghilangkan ketagihan berjudi. Lebih malang, ia turut mendapat campur tangan pihak berkuasa selepas sukan rakyat itu mula popular dan menjadi lubuk emas kepada mereka yang terbabit.

Kini, unsur-unsur asal Asia (berjudi) kembali mempengaruhi sukan tersebut dan ia adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan.

Ketika Barat berjaya mengelak pertumpahan darah dengan mengalihkannya menjadi perang menentang keganasan di Asia (bagi melindungi reputasi suci mereka sebagai penyelamat dunia), manusia-manusia di Asia pula kekal terperangkap dalam permainan lama ciptaan mereka.

Tapi, sebenarnya, ini bukan apa yang nak aku cerita. Apa yang aku fikir sudah tak sinkronais apa yang aku tulis. Haih..

6 Responses to “Sedikit Tentang Piala Dunia 2010”

Anonymous said...

itulah...takde cerita pasal world cup pun?haih.kes berat ni kelambu

Anonymous said...

aku plak yg pening. hahhahaha

Anonymous said...

panjang btul intro....hehhe...byk btul fakta dulu2 yg terkeluar...hehhe
dr x tau jd tau...tq..4 de info...

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

jauh sungguh pandangan kamu

prof nik said...

ni citer pasal perbezaan barat n timur ni. huhuhuhu

Anonymous said...

jauh menyimpang antara intro n conclusion..

Powered by Blogger.