Tentang Tanah dan Manusia

Saturday, July 24, 2010 · Posted in

1. Sumpah aku ingat lagi. Dalam buku Alam dan Manusia, ada tiga perkara utama yang ditakrifkan sebagai keperluan hidup manusia. Makanan, tempat tinggal dan pakaian. Namun, modenisasi yang tidak terkawal sejak Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka memaksa manusia-manusia di Malaysia menambah dua lagi keperluan hidup mereka, duit dan kereta. Tapi ini bukan cerita tentang duit dan kereta, tetapi tentang harga rumah sewa.

2. Di Lembah Klang, harga sewa RM480 untuk sebuah apartment tingkat bawah adalah murah. Buktinya apabila aku cerita sama penduduk kota lain, mereka akan jawab, eh eh murahlah tu. Sepatutnya harga macam tu kau kena duduk tingkat 4 atau 5. Kalau nak murah lagi, kau cari rumah kat Rawang atau Batang Berjuntai. Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini?

3. Ini realiti. Harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana, ujar Sameon, seorang tokoh jutawan hartanah (yang bangga memiliki 35 buah rumah sekitar KL dan bercadang menambah dua lagi tahun ini). Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini? Siapakah yang menentukan harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana?

4. Realiti apapun yang dicakap, tanah adalah tanah. Apakah kualiti tanah di KL tidak sama dengan kualiti tanah di Changloon? Kalau kau pergi di Shah Alam Darul Student, sewa flat merpati di Seksyen 7 ada yang mencecah RM800. Apakah flat itu dibuat daripada emas? Apakah ada askar Gurkha mengawal keselamatan penghuni flat tersebut? Tidak, semua benda itu tidak ada pun di sana. Sebaliknya, flat itu dihuni 13 pelajar yang memutuskan meminimumkan duit poket untuk pergi berhibur dan membeli iPhone atau Blackberry.

5. Hukum kapitalis bersabda, harga tanah bergantung dengan nilai ekonomi sesebuah kawasan itu. Dalam bahasa mudah, jika tempat itu memiliki potensi ekonomi (boleh buat duit), maka naiklah harga tanah berkenaan. Persoalannya (berapa banyak persoalan daa), potensi ekonomi itu untuk siapa? Apakah untuk Budiarto, buruh binaan dari Indonesia, Jamal, jaga syarikat percetakan dari Pakistan atau Sulaiman, peon dari Mentakab?

6. Tempat tinggal (rumah/tanah), makanan dan pakaian adalah keperluan hidup. Kegagalan mengawal tiga keperluan utama manusia itu menyebabkan ketidakstabilan sosio ekonomi dan memarakkan protes dalam hati rakyat. Siapakah yang terkesan dengan protes-protes ini? Ya, mereka adalah manusia yang dikutuk tujuh keturunan hanya kerana mereka memilih untuk bekerja sebagai peniaga warung, si tukang kasut dan pengutip sampah di lorong-lorong kota. Ibu kota hanya layak untuk mereka yang berjaya di segi memakai kasut kilat dan berkot di tengah hari dan meletak Mercedes di bahu jalan.

7. Sampai sekarang aku tidak pernah percaya yang merampas tanah hanya orang Cina. Dan aku menipu juga kalau aku ini Melayu tanpa rasis. Hakikatnya, Melayu dipaksa menjadi teknokrat dan si kaya bodoh sejak sekolah, dipaksa membenci kaum lain dan bukan membenci penindas atau menjadi manusia mengasihani, dipaksa bekerja selesa dengan kerajaan untuk mengundi mereka ketika pilihan raya dan dipaksa lari meninggalkan tanah yang dilabelkan dengan kemiskinan. Kita semua dipaksa dan bukan terpaksa.

8. Jadi, Melayu tinggalan moyang-moyang dulu yang mahsyur dan bangga kerana menguasai dan mengerjakan tanah dan air dipaksa menukar kecintaan mereka kepada wang, memiliki 35 buah rumah untuk dijual kepada pelajar, memanipulasi pasaran dan menaikkan nilai tanah-tanah atas nama ekonomi. Ekonomi taik kucing!

9. Arab di Palestin mengamuk bukan kerana Zionis Yahudi mengutuk Tuhan Allah? Tetapi mereka mengamuk kerana tanah mereka dirampas dan hak mereka bertanah dinafikan. Ia sama saja dengan Islam di selatan Thai dan Islam di Mindanao. Dan bersedia sajalah, apabila segenap Semenanjung Emas ini diangkat menjadi tanah ekonomi, orang-orang pinggiran macam kau akan dihambat berumah di celah longkang.

10. Minta maaf kepada kawan-kawan yang kita sama-sama pernah merancang membeli banyak rumah untuk disewakan kepada manusia-manusia yang juga tidak ada pilihan seperti kita. Kerana, aku tidak pernah berhenti menyumpah diri sendiri dan orang lain setiap kali aku melihat seorang gila di lorong sampah yang cuma berbumbung bangunan tempat aku kerja.

4 Responses to “Tentang Tanah dan Manusia”

rinz raime said...

betul, tepat nak jelas..
patut dijadikan topik forum ptg2..

A t i Q a h said...

jom pakat balik kampung tanam jagung. heh.

Hambali ® said...

itulah yang jadi bila barang keperluan dijadikan alat pembuat duit

jarul said...

jauh sgt ko terpong ni kel@mbu...xpe, kita bicara later...

Powered by Blogger.