Rebiu: Ombak Rinduuuuu...

Friday, December 23, 2011 · Posted in

Lama aku nak tulis pasal rebiu filem ni, tapi aku sibuk amat. Sebenarnya, aku dah jarang tengok wayang, tambah-tambah lagi filem Melayu sekarang banyak yang bercerita pasal hantu dan kelakar bodoh.

Masa terluang aku banyak diisi dengan menonton bola sepak Inggeris dan saluran History, rancangan masak-masak serta hiburan suka ramai rakyat Malaysia sebagai cara meraikan kehidupan kapitalisme.

Aku pernah beri rebiu yang agak bagus untuk filem Cun karya Osman Ali, iaitu mengenai pertembungan kapitalis dan sosialis yang disatukan dengan cinta.

Namun, Ombak Rindu bukanlah karya asal Osman, sebaliknya naskhah adaptasi daripada novel popular dengan judul sama. Dalam erti kata lain, Osman sudah terikat pada naratif novel berkenaan yang bersifat cinta popular.

Hasilnya, ada banyak perkara yang membuatkan cerita romantik melankolik itu tidak begitu meninggalkan kesan. Ditambah pula dengan rebiu negatif oleh beberapa blogger yang mana semuanya memainkan peranan menghilangkan fiil aku terhadap filem ni.

Lakonan Maya ok, tetapi wajah pan asian dengan cakap pelat dan kening bercukur semacam tak kena dengan watak Izzah, gadis kampung yang digambarkan sebagai naif gila sampai tak tahu diri akan dilacur di sebuah disko. Walhal, ada satu babak imbas semula menunjukkan dia pernah dirogol pakcik yang sama.

Memang tak logik, tapi kalau kau rasa ok untuk ikut orang yang rogol kau untuk cari kerja di disko, aku tak boleh cakap apa-apa.

Lagi satu, aku semacam tak dapat terima kenapa Izzah merayu Hariz (Aaron) mengahwininya sedangkan mamat tu seorang pelanggan pelacur dan juga pernah main dengan dia.

Dalam novel Salina karya Pak Samad, kita dapat merasakan masalah psikologi dan gangguan mental akibat perang yang dihidapi Siti Salina hingga memaksa dia merelakan tubuhnya dilacurkan suaminya, si Abdul Fakar.

Tapi dalam Ombak Rindu, apa masalah psikologi dan sebab-akibat yang dialami Izzah hingga membuatkan dia merayu Hariz supaya mereka berdua berkahwin? Apakah kerana Hariz hensem? Apakah kerana ada nur di wajah Hariz? Ataupun kerana Hariz berprestasi super di ranjang?

Oklah, anggap saja ini semua sekadar plot fiksi yang mahu menceritakan betapa hebatnya konflik cinta agung antara Izzah-Hariz.

Ada lagi kesilapan Ombak Rindu, iaitu terlalu banyak sangat adegan menangis. Ada satu situasi menunjukkan tiga babak menangis secara berturutan. Bagi aku, apabila sesebuah filem itu terlalu banyak sangat adegan menangis atau sedih secara rali, ia akan jadi potong stim.

Cuba tonton filem Hindustan, setakat aku tengok, belum ada lagi filem yang memaparkan adegan menangis secara berturutan, di mana ia biasanya diselang-seli dengan babak bertumbuk, marah, kena maki atau lawak sebelum kemuncak cerita ditamatkan dengan aksi si hero menangis dengan mata merah menyala sambil melontarkan ayat-ayat puitis di majlis perkahwinan pengantin perempuan.

Ingat lagi Titanic, jangan lupa adegan super sedih hanya berlaku di hujung cerita ketika kapal agam itu karam ditelan laut yang menyaksikan Jack dan Rose bertarung nyawa dengan berpaut di papan hanyut.

Dalam filem tempatan, Sembilu II adalah contoh terbaik sebuah filem yang berjaya memaparkan babak sedih paling emosional dalam sejarah filem tempatan (jika mengambil kira kategori filem cinta komersil dan pop Melayu dan cinta remaja).

Babak ketika Awie melihat Wati (Erra Fazira) bersanding di atas pelamin bersama lelaki lain (nama apa entah mamat ni) sebelum menunggang motor dengan diiringi lagu Ukiran Jiwa adalah babak paling sadis dan paling meracik-racik jiwa (DIULANGI: jika mengambil kira kategori filem cinta komersil dan pop Melayu dan cinta remaja).

Sorry Osman, Ombak Rindu gagal berikan aku sebarang emosi cinta selain kerja kamera yang cantik.

2 Responses to “Rebiu: Ombak Rinduuuuu...”

bella YOYO said...

belum tengok lagi cerita ni, tapi ramai plak kata sedih. semua org ade opinion masing2.

haizad said...

aku paksa diri untuk tengok sampai habis...

Powered by Blogger.