Kasut dan fungsinalisme

Friday, April 06, 2012 · Posted in , ,

Di atas rak rumah di sudut pintu, ada sepasang kasut Timberland hi-cut yang sudah 6 bulan aku pakai. Aku beli di Midvalley selepas dua kali aku datang jenguk ke butik kasut buatan Amerika itu sambil berkali-kali berfikir apakah aku patut beli kasut yang mencecah harga RM500 itu.

Dan akhirnya kasut kulit lembu itu bertemu jodoh juga di kaki ini dalam satu urusniaga tidak diduga ketika berlakunya pesta jualan murah beberapa bulan sebelum 2011 mengucapkan selamat tinggal.

"Perghh.. Sosialis pakai Timberland."

Aku tak tahu sinikal apa yang kau cuba sampaikan kepada aku. Tapi aku faham dan aku dapat baca fikiran kau. Fikir kau, aku yang dulu tidak pernah peduli langsung pasal perihal jenama berjenama ni kini sudah jadi fashion victim.

Tapi, macamlah aku pernah berjanji kepada kau bahawa aku mahu jadi pengganti Gandhi. Aku bukan fashion victim dan aku mahu engkau faham perihal manusia fungsinalisme macam aku (mungkin kata functionalisme akan buat kau lebih faham) yang berkadar arus dengan duit poket. Apakah pernah kau tahu tentang falsafah ini?

Aku lahir dalam kelas menengah dan aku bukan kelas pekerja macam kau yang membesar dalam kelompok penuh benci. Seolah-olah apa saja erti keseronokan dan kegembiraan itu satu dosa. Sosialis ataupun kapitalis itu tidak penting sebab aku manusia fungsinalisme dan bukan strukturalisme. Aku tidak mahu hidup aku dibelenggu dalam satu kerangka atau kepompong tertentu. Aku merdeka.

Aku belajar tentang rekabentuk, aku belajar tentang kejuruteraan dan aku juga belajar tentang kewartawanan (walaupun hal yang satu ini tiada kena mengena dengan perihal aku beli kasut pun).

Tetapi, membeli kasut cikai yang kemudian jahanam selepas dua tiga kali terkena hujan adalah satu penghinaan ke atas isme aku. Jangan cerita pasal buruh tertindas sebab kau sendiri tak tahu berapa banyak peluh buruh menitik untuk membuat kasut cikai kau tu.

Cuba faham, aku beli bukan atas nama kapitalisme, tapi fungsinalisme.

Amerika? Suruh Arab Saudi tutup dahulu Starbucks di Kota Mekah.

Powered by Blogger.