Archive for March 2012

Keseronokan ibu kota

Wednesday, March 28, 2012 · Posted in ,

Satu hari lama dulu, aku bawa famili dan seorang pak menakan aku pergi tengok pokok lampu di ICT, Shah Alam. Itupun selepas jenuh aku berfikir macam mana nak buatkan trip diaorang ke KL begitu bermakna.

Sampai di sana, kebetulan pula hari minggu dan kelihatan orang ramai melimpah ke segenap pelusuk dataran berlampu hingga memaksa kau bergesel bahu dengan orang sebelah, tak ubah seperti berwukuf adanya.

Pak menakan yang lama diam sepanjang berjalan dengan aku tiba-tiba bersuara.

"Astaghfirullahalazimmm.. Tengok pokok plastik macam ni pun sikit punya ramai orang? Depa seronok tang mana?"

Teh o ais dan keamanan

Wednesday, March 14, 2012 · Posted in , , ,


Satu hari, selepas balik kerja, saja aku singgah di sebuah restoran untuk pekena minum.  Sambil meletakkan kereta buatan tempatan di dalam kotak parkir, aku terbayangkan segunung ombak teh o ais menderu laju membasahi rongga tekak aku yang sedang kontang dan keletihan.

Sungguh, itulah nikmat tak terungkap, ia nikmat yang lebih nikmat daripada nikmat mendapat sejuta ringgit dalam bank!

Begini, kalau kau ada duit sejuta, kau akan risau pasal macam-macam. Kau akan risau pasal mau beli rumah apa, mau naik kereta apa, mau simpan duit di bank mana, mau tambah bini berapa dan macam-macam kerisauan lain.

Tapi bila kau pekena air ais, teh o ais misalnya, kau tak perlu fikir semua kerisauan itupun. Ah, kenapa nikmat semudah ini pun manusia senang lupakan?

Apabila aku amati gelembung air di sekeliling kaca gelas, aku terbayangkan butir peluh si pembacuh teh o ais ini. Dan aku mula keliru kenapa sebutir padi disamakan dengan peluh petani, walhal segelembung air ais di kaca gelas itu lebih realistik jika disamakan dengan peluh si pembacuhnya. Peluh ini mungkinkah datang sejauh Dhaka atau Mumbai?

Aku rapatkan penyedut minuman ke muncung mulut. Jingga teh nampak begitu sekata dan sempurna bersama wap sejuk menerpa-nerpa wajah. Aku sedut perlahan air berais dari perut gelas sambil mata terpejam-pejam. Dan belum sempat aku sambung sedutan kedua, tiba-tiba saja aku bangun dan berlari-lari anak ke kereta.

"Dey, minum tarak bayar ka?" laung abang mapley penuh curiga.

"Kejap kejap.. Tertinggal laptop.." Aku sambung berlari sambil terbayangkan Malaysia sebagai negara nombor 19 paling selamat di dunia.

Cerita kolar biru

Monday, March 05, 2012 · Posted in , , , , ,


Setiap kali aku keluar dari perut lif mahu pergi ke tempat kerja, aku pasti ternampak seorang pakcik tua sedang menyapu sampah yang dibuang dari manusia berbangsa monyet dari tingkat atas.

Begitulah rutin hariannya yang mana persekitaran di sini akan bersih pada sebelah pagi, sebaliknya bertukar kotor pada petang hari. Dan aku terfikir, berapakah gaji yang dibayar kepada pakcik itu? RM15 seharikah? RM350 sebulankah? Ada caruman pekerja tak? Kalau dia sakit dapat faedah perubatan tak? Berapa bonus dia dapat?

Baru beberapa langkah aku menuju ke kereta, berderum-derum pula sebuah lori sampah melintas sambil menyebarkan aroma yang membuatkan ramai menutup hidung, seolah-olah kebusukan itu begitu asing dalam hidup mereka.

Dan aku terfikir, berapakah gaji yang dibayar brader-brader kutip sampah itu? Berapa jamkah mereka bekerja? Berapa orang anakkah yang perlu disara mereka? Apakah hiburan mereka hujung minggu? Mereka bercuti ke mana?

Kalau mereka dibayar gaji minimum RM3,000 sebulan (kalaulah), siapakah yang akan melenting? Pegawai bank? Profesor? Majistret? Menteri? Dr Mahathir?

Malangnya, tiada seorang pun kalangan mereka yang melenting itu sanggup bergelut dengan sampah walaupun ditawarkan gaji besar berbanding apa yang dinikmati mereka sekarang.

Begitulah aneh makhluk bernama manusia ini. Ketika mereka sendiri tidak sanggup melakukan sesuatu pekerjaan, mereka senang saja mempertikaikan apa yang patut dinikmati orang lain.

Sudahnya, inilah wajah sosio ekonomi kita, tidak lebih macam sampah juga.

Pasal demo Hijau Kuning

Thursday, March 01, 2012 · Posted in , , ,

Dengar kata nanti ada demo Hijau Kuning, gabungan dua gerakan yang mana warna kuning mahu pilihan raya bersih dan satu lagi mahu tutup kilang Lynas di Pahang sana.

Memandangkan demo mengambil tema Hijau Kuning, aku cadangkan pihak sekretariat tetapkan tarikh demo serentak dengan perlawanan Liga Super membabitkan pasukan Kedah di KL. Dalam erti kata lain, polis akan keliru dengan modus operandi ini.

"Mana ada saya join demo encik. Saya nak pi tengok game Kedah ni," ujar seorang kutu yang siap sedia memakai jersi Hijau Kuning, tetapi dalam kocek tersimpan kain ikat kepala bertulis 'Pergi Jahanam Lynas'.

Tapi, aku rasa, mesti Sultan Bola tangguh punya game Kedah hari Sabtu tu.

Ceh..

Powered by Blogger.