Archive for March 2005

cerita puduraya

Thursday, March 31, 2005 · Posted in

CERITA PUDURAYA

Ini cerita daripada sekian banyak cerita Puduraya. Cerita beberapa tahun lepas.

Seorang lelaki separuh abad menghampiri aku yang sedang menunggu bas. Aku mengagak. Ni mesti nak pow aku. Aduh..., pasrah aje lah.

Dia duduk sebelah aku. Dia bercerita itu dan ini. Pasal politik, remaja terlampau dan diri aku.

Aku suka menyendiri dan memerhati. Bagus. Tenang. Orang sebegini selalu melihat sesuatu yang orang lain tak nampak. Dia yang kata. Bukan aku kata.

Dia nampak rokok. Dia minta. Aku bagi. Dia cerita lagi.

Dia seorang cikgu yang sedang bercuti tanpa gaji. Dia tunjuk surat cuti tanpa gajinya. Sebuah sekolah rendah di Melaka. Aku tengok. Tapi surat tu fotokopi. Cakapnya lagi, isterinya dibawa lari (syok kat orang lain). Ikut Indon yang juga kawan baik yang ditolongnya dulu. Tapi kawan baik dia khianat. Dia kecewa. Dia menangis.

Aku mula percaya sedikit demi sedikit.

Dia cakap dia sebatang kara sekarang. Anak-anaknya diserahkan kepada mentuanya. Dia menangis lagi. Aku sedikit segan.

Dia tak tahu mana nak tuju. Dia minta aku 15 ringgit. Nak beli tambang balik Melaka dan susu anaknya. Aku menipu. Aku cakap aku tak ada duit sebanyak tu.

Dia minta lagi. 5 ringgit pun jadilah habuan dia turun ke Klang, rumah mentuanya. Aku pecahkan duit beli air mineral. 5 ringgit aku bagi kat dia. Pemberian yang tanpa keikhlasan.

Dia mengambil masa sejam lebih untuk bercerita sebegitu kepada aku. Hanya untuk menagih sedikit duit yang belum tentu lagi dapat diberi orang yang mendengar ceritanya.

Diakah yang menipu atau aku yang berhati batu? Mungkin cerita dia benar.

Otak aku jawab, takkanlah seorang cikgu tak ada duit. Selekeh saja tengok. Betulkah 15 ringgit sudah cukup untuk balik ke Melaka dan beli susu? Susu apa dia nak beli? [logistik]

Hati aku jawab, takkanlah nak minta duit sanggup bercerita dekat sejam lebih. Baik minta terus. Busuk-busuk dapat seringgit. Kalau seorang seminit dia dapat minta seringgit maka dia hanya perlukan 15 minit untuk cukupkan 15 ringgit. [artistik]

Akhirnya aku bagi juga duit sebab terpaksa tapi hati aku tak ikhlas langsung. Aku cuma menghabiskan duit aku tanpa dapat apa-apa. Zero! Apakah hati aku sudah tak ada rasa belas lagi?

Perlahan-lahan aku kesal sebab sekeliling aku banyak mengajar aku menjadi manusia yang berhati batu.

-singgah sekejap di blog Hazman-

Kelambu: Berikan saja duit itu..

pelayaran

Tuesday, March 29, 2005 · Posted in

PELAYARAN

Aku memilihmu
Sebagai peta perjalanan
Untuk sebuah pelayaran
Yang bernama kehidupan

Aku bertaruh
Pada desah angin rasa
dan deruh ombak jiwa
untuk aku menilik
jauhnya sebuah lautan cinta
dan dekatnya sebuah pelabuhan setia

Ketika suara burung menghingar
Aku sering kali terdengar
Mereka memberitahuku tentang ribut
Lalu memaksaku menjadi takut
Pada simpanan dan muatan
Yang tak mampu aku bebankan

Ketika itulah
Di hujung muara aku sampai
Kaulah yang menunggu
Membawaku ke daerah sentosa paling permai
Dan resah jiwa pun menjadi usai
Kau tukarkan olak menjadi buih
Membaluti sedih dan pedih
Menambat penat dan tenat

Kekasih,
Sudah sekian lama aku memilih
sebuah peta perjalanan
Yang tertulis namamu.

0715 p.m.

tv dan monolog

Sunday, March 27, 2005 · Posted in

TV

Exam sudah habis.

Ya, sekarang aku bercuti. Tak lama cuma 2 minggu saja.

Situasi rumah tak ada yang baru. Kolam ikan kat laman masih kering macam dulu.

Kalau dulu tengok Astro kat tv 29 inci tapi sekarang tengok Astro kat tv14 inci saja. Biasalah tv cap ayam.

Dunia terasa kecil. Mungkin itulah perasaan bila dah biasa dapat yang sedap-sedap. Bila biasa naik Mercedes dan tiba-tiba kena naik Kancil mesti serba tak kenakan?

Baik tengok pc aku yang bersaiz 17 inci ini.


MONOLOG

Lokasi=>Taman Budaya, Alor Star, Pumpong
Tarikh=>Sabtu, 26/03/05, 9.10 mlm.

Tengok teater tajuk Monolog karya Katarsis di Taman Budaya Alor Star. Hasil persembahan grup Akrab.

Baru aku teringat yang aku pernah tengok persembahan diorang 4 tahun lepas di tempat yang sama. Masa tu masih tak tau apa-apa. Sekarang taulah sikit-sikit.

Grup dia orang menang Johan Pekan Teater Kedah 2001 dan Festival Teater Kebangsaan 2001.

Kisah kemelut seorang pemuda mencari kebenaran dan berbicara di bawah monolog antara Tuah dan Jebat.

Bendahara berpakaian Portugis dan Sultan berpakaian samurai Jepun.

Ada hakim berwajah badut, pendakwa raya berwajah syaitan dan peguam bela seperti wayang kulit dan berbicara slanga Melayu Siam. Mereka membicarakan kes pemuda yang didakwa menghasut khalayak yang mahu mengangkat Jebat sebagai Hero.

Lakonan yang berkarakter dan penyampaian yang jelas. Otak berputar-putar sepanjang sesi persembahan bermula.

Pendakwa Raya-"Mengangkat Jebat sebagai wira samalah seperti mengangkat Bush sebagai hero keamanan iaitu menyerang Iraq atas dasar keadilan dan keamanan sejagat. Saddam pula dituduh sebagai pengganas dan terrorists. Padahal Jebat itu pembunuh, kaki seks..."

Peguam Bela-"Saya bantah yang arif. Apa ni dok sebut seks seks seks. Gila seks ke apa...? Malu la sikit depan orang ramai. Mana pi budi bahasa budaya kita..?"

Hakim- "Kau bercakap dia bantah. Dia bantah kau bercakap. Sampai bila nak habis? Aku nak kes ni cepat-cepat-cepat selesai. Tak mau jadi macam mahkamah syariah! Faham!"

Jebat-"Mengapa derhaka aku kepada sultan dijadikan isu. Sedangkan manusia itu sendiri sudah sekian lama menderhaka. Hah tu.. satu, dua dan tiga. Nak buat cd cetak rompaklah tu. Mencuri hasil orang. Bukankah itu menderhaka namanya."

Memang patut grup ini menjadi johan kebangsaan pada 4 tahun lalu. Karya yang sarat dengan makna. Penguasaan pentas dengan gerak dan olah tubuh yang mantap. Susunan prop yang menarik. Berbicara dari bingkai dan pada akhir teater kanvas putih dilabuhkan pada setiap bingkai. Kata pemuda, "Cantik tak lukisan saya? Mahu beli? Kalau tak mahu beli saya balik dululah. Bosan!"

Persembahan tamat.

Kelambu: Tengok sorang-sorang ja... huhuhu...

bertapa

Tuesday, March 22, 2005 · Posted in

BERTAPA

Musim exam memang musim pertapaan.

Macam Hang Tuah di Gunung Ledang.
Macam Sami Buddha di Pergunungan Tibet.

Bukannya di tempat sendiri tak boleh belajar. Tapi barangkali bosan dengan hiruk pikuk mp3, take 5 yang menjadi take hours dan melayan movie-movie sambil minum berjam-jam lamanya di kedai mamak dan uptown. Biasalahkan. Itukan cobaannnnn....

Sepanjang musim exam Ayie bertapa di Seksyen 7. Di library dan rumah Edi. Maklumlah diakan sama kursus dengan Mrs D Miss D.

Sekarang dia mungkin sudah mencapai hikmat ke *46 Kuasa Ultra. Hikmat-hikmat aku masih begitu juga. Aku masih mencari tempat bertapa yang sesuai selain bantal jahat dan bilik-bilik yang dibaham suhu 38 darjah celcius!

*rujuk komik Raja Rimba-Ma Wing Shing

Kelambu: Dan dewan pun bergegar.....

peperiksaan

Tuesday, March 15, 2005 · Posted in

PEPERIKSAAN

Kelambu menghadapi peperiksaan bermula 15/03/05 sehingga 25/03/05.
Dia mengikat kepala dengan baju. Dia sungguh garang seperti kucing!!

-Harap Maklum-

Jarule: Entri ini dipublish oleh aku atas pengawasan kel@mbu. Jadi tak boleh tulis lebih2..

Comments Off

matang n hari lahir

Friday, March 11, 2005 · Posted in

MATANG

Bagaimana mahu mengukur kematangan?

Umur? Ya betul. Makin berumur makin matang. Makin dihormati kerana lama hidup seseorang bermakna banyak dan lebih pengalaman.

Eii.., kau terjerit-jerit dan buat lawak bodoh. Macam budak-budak sekolah! Kau tak matang!

Memang kematangan diukur dari tingkah laku. Dan kita selalu menghukum seseorang kerana tingkah laku mereka.

Orang tua pun boleh jadi tidak matang (tengok politikus).

Budak-budak pun boleh jadi matang melebihi orang tua (baca cerita Hang Nadim).

Kau tahu tak, kesilapan kita menghukum seseorang adalah tanda ketidakmatangan kita.

Kematangan adalah pada pemikiran. Iaitu bagaimana pemikiran kita tentang hidup. Bukan saja tentang hidup sendiri tetapi tentang hidup manusia-manusia sekeliling kita.

Matang kita tentang bagaimana cara kita menghormati manusia. Bukannya menghormati bukan manusia!

Selamat menuju kematangan..:)



HARI LAHIR

Selamat Hari Lahir untuk Adie dan Ayie.
Adie lahir pada 10 Mac - Batu Pahat
Ayie pula pada 11 Mac - Segamat
Kedua-duanya Johorian
Kedua-duanya pandai main bola.
Kedua-duanya Jawa.
Kedua-duanya ambil kursus yang sama.
Ayie tidur sebelah Adie dan Adie tidur sebelah Ayie.
Almari Ayie sebelah Adie dan almari Adie sebelah Ayie
Adie boleh cakap Jawa language. Ayie tak boleh.
Tapi Ayie reti cakap M language. Aku yang ajar. Adie pula tak boleh.

Hari jadi mereka tahun ni tiada sakat-sakat lagi.
Tak ada tampal poster, jirus air, sorok dalam jamban apatah lagi serangan tepung di khalayak ramai.
Cuma ucap-ucapan dan nyanyi-nyanyian.

Kelambu: Selamat tambah umur...

filem - sepet

Wednesday, March 09, 2005 · Posted in

FILEM - SEPET

Pembikin filem sebenarnya menghasilkan filem untuk dua golongan iaitu pengkritik dan khalayak penonton biasa.

Pengkritik menonton filem untuk menilai dan memenuhi ruang pojok akhbar (A. Wahab Hamzah) atau blog mereka (aku). Sukar pembikin filem dapat memenuhi selera para pengkritik yang penuh dengan teori individu masing-masing. Tetapi rata-ratanya mahu sebuah filem yang dapat mengangkat nilai masyarakat setempatnya di samping nilai seni itu sendiri.

Khalayak ramai merupakan sasaran utama pembikin. Ramai menonton maka lumayanlah pendapatan pembikin filem. Bolehlah pembikin filem menghasilkan filem lagi dan lagi dan lagi (macam Razak Mohaideen). Dan dapat kereta dari bos (macam Razak Mohaideen). Tak ada duit macamana nak buat filem. Faham!!

Khalayak ramai banyak yang mahu menonton filem untuk berhibur dan terhibur (macam Ayie). Mereka mahu release tension, gelak-gelak, relaks sebelum sambung rutin harian (macam Ayie). Nak belajar bukan tengok filem tapi masuk kuliah (mungkin begitu kata Ayie).

Jadi mahu ke mana arah tuju pembikin filem? Bagi aku ialah memenuhi kehendak khalayak dan menyampai kehendak pengkritik. Tak susahkan?

Sepet memberi rasa dan jiwa yang secukupnya di dalam ceritanya.

Sepet ialah sebuah kisah cinta. Cinta antara lelaki Cina (Jason) dan perempuan Melayu (Orked).

Sepet sangat realistik. Mengangkat situasi Malaysia yang sebenar. Mewakili orang-orang kebanyakan dan membongkar kisah-kisah dan saling salah tanggapan antara bangsa yang saling berprasangka.

Realistik!
-Jason tak mengejar Orked dengan menunggang motor besar (macam Awie) tapi menunggang Honda kapcai dan menyelit di antara sesak jalan raya.
-Orang Melayu banyak tengok cerita Cina masa maghrib. Betul!
-Orang Melayu kalau dah suka satu-satu genre cerita boleh hafal lagu cerita tu walaupun tak faham makna. Ayie boleh hafal lagu Hindustan. Aku pun boleh! Sabahan boleh hafal lagu Jepun sebab suka tengok cerita Jepun!
-Tak semua Cina kaya. Yang kaya ialah Taiko Cina VCD cetak rompak. Orang Cina pun ditindas orang Cina sendiri.
-Yang beli VCD cetak rompak ialah orang Melayu tak kira miskin dan kaya. Cantik dan tak cantik.
-Perempuan kalau tidur kat rumah, MasyaAllah... Tengok Ida Nerina.

Romantis!
-First date Orked dan Jason. Jason malu-malu dan segan-segan. Cakap sebutir sebutir. Real!
-Babak berteduh di hentian bas dengan plastik menyerkup kepala.
-Pandangan belakang Jason dan Orked berbual mengadap tasik.
-Jason membaca puisi kepada ibunya.

Touching!
-Babak Jason menangis di ribaan ibunya. Dia tak menjerit di celahan gunung pun dan berkata Aku Cinta Padamuuuuuuuu.....
-Orked membaca surat di dalam kereta. Dia dan ibunya menangis tanpa melihat muka masing-masing.

Kasih sayang dan kekeluargaan
-Seisi keluarga menyikat rambut di atas tangga. Teringat mama menyisir rambut menggunakan sikat kutu masa kecil dulu.
-Suami isteri (Harith dan Ida) menari bersama dan si isteri menarik kain suami. Hahaha...
-Ibu bapa yang menyokong seadanya. Lihat ibu Jason dan keluarga Orked.

Penamat yang bijak. Membuatkan penonton berfikir. Macam-macam teori muncul. Adie cakap Keong yang tolong jawab tapi masa bila? Aku pula jawab dengan nada serius, "Kuatnya cinta Jason memaksa dia menjawab panggilan Orked." Semua orang diam. Chewwah...!!

Sepet memberi perasa yang secukupnya untuk khalayak Malaysia. Sebuah filem mesti tonton untuk rakyat Malaysia. Tapi Ayie tetap tak mahu tengok. Sebab dia tak suka filem Melayu. Dia lebih suka cerita Hollywood dan Bollywood yang ada gadis cantik dan nyam nyam..! Ayie.., Sharifah Amani pun orait apa..?

Keterangan lanjut, lawatlah:
Mat Jan
Sultan Muzaffar (entri 26 Februari 2005)

Kelambu: Kredit yang tinggi jika Ayie tengok filem Melayu..

maaf

Friday, March 04, 2005 · Posted in

MAAF

Tahu tak siapa Wahsyi?

Wahsyi ialah seorang tentera musyrikin yang berjaya merejam lembing sekali gus membunuh panglima agung Islam, Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib, bapa saudara Rasulullah S.A.W. yang juga dikenali sebagai Singa Allah ketika Perang Uhud. Kemudian jasad Saidina Hamzah dilapah oleh seorang wanita bernama Hindun yang amat membencinya.

Rasulullah S.A.W. amat berdukacita melihat kematian bapa saudaranya yang dibunuh sebegitu kejam. Jantung dan hati dilapah. Lidah dipotong dan mata dikorek. Rasulullah S.A.W. menitiskan air mata. Kalau tak kerana Wahsyi barangkali Saidina Hamzah tidak dibunuh.

Beberapa tahun kemudian, cahaya Islam menyuluhi Wahsyi. Dia menganut Islam dan apa yang penting baginya ialah memohon keampunan dari baginda Rasulullah S.A.W. sendiri.

Rasulullah S.A.W. memaafkan Wahsyi tetapi baginda S.A.W. menyuruh Wahsyi agar menjauhkan diri dari baginda S.A.W. Ini adalah kerana apabila setiap kali menatap muka Wahsyi baginda S.A.W. akan menangis terkenangkan bapa saudaranya itu.

Wahsyi menanggung beban tidak dipandang Rasulullah S.A.W. sepanjang hayatnya.



Memaafkan seseorang memang mudah. Hanya dengan kata-kata...

Tetapi luka kerana sebuah kemaafan itu sampai bila pun apakah mampu dihilangkan? Barangkali tidak...

Sebabnya ialah kita manusia biasa...

Sebelum melakukan kesalahan kita tak pernah memikirkan apa kesan kepada penerimanya. Kita mementingkan diri...

Kita akan menangis memohon ampun kepada seseorang tapi sebelum ini apakah kita pernah mahu menangis tentang apa yang mahu kita buat... Ya, sikit pun tak pernah...

Air mata mampu mencairkan sesiapa sahaja tetapi luka dan sakit barangkali sampai mati pun tak mampu dicairkan...

Kelambu: Maafkanlah... Sabarlah...

creme de la creme

Wednesday, March 02, 2005 · Posted in

CREME DE LA CREME, FITM, U*****, SHAH ALAM

Lokasi=> Creme de La Creme, Hotel Blue Wave, Shah Alam
Tarikh=> 27/02/05, 8.30 mlm

Ini adalah kali pertama fakulti aku anjurkan makan malam. Dekat hotel lagi. Banyak junior-junior, pensyarah-pensyarah dan kawan-kawan yang turun makan.

Aku bukannya turun makan tapi terlibat untuk satu persembahan sketsa lawak. Aku tulis skrip untuk bahagian pertama dan Bob tulis untuk bahagian kedua. Panjangnya 30 minit.

Ceritanya mengenai Amin (Ojai) yang gagal di universiti di oversea. Dia balik dan dimarahi oleh mak ayahnya. Maknya (Erni) mahu Amin ke universiti tempatan dan menyalahkan bapanya (Awie) yang terlalu manjakan dia. Amin pula hanya mahu ke Institut Kemahiran. Dia kemudiannya di marahi oleh mak dan ayahnya pula kerana 'apa kelas institut kemahiran!'. Amin berasa bengang dan memarahi mak ayahnya pula.

Kemudian muncul watak syaitan (Bob) yang menghasut Amin ke arah kejahatan dan muncul pula watak Nur (Myza) yang cuba memujuk Amin ke arah kebaikan melalui nasihat dan nyanyian nasyid. Dan yang bestnya mestilah sebab ada watak Pak Mud, orang gaji yang latah dan suka menumpah air serta menyampuk. Orang gaji itu ialah aku. Hahaha....

Sketsa ini disuntik elemen lawak slapstik yang masih terkawal. Ada juga paparan slide show dan nyanyian lagu nasyid (Saujana-Keluara Bahagia) dan lagu evergreen (P.Ramlee-Anakku Sazali). Pendek kata semua puas hati. TNC pun puas hati. Dia cakap Ojai bolah ganti Senario. Hahaha...

Lalbi buat drama muzikal. Dia menyanyikan lagu Dewa dan berduet bersama Zacq menyanyikan lagu Francesca Peter dan Roy.

Hamazrul baca puisi yang aku tulis, Saya Budak It. Dia buat gaya ala-ala Khalid Salleh. Baca sambil buang kertas. Sepatutnya dia kena buat gaya baru. Buang kertas dulu kemudian ambil dan baca. Bolehkan... :)

Kami semua rasa puas hati dan berbaloi. Yang tak puas hati ialah Ayie. Dia diberitahu untuk jaga lighting untuk sketsa saja. Tapi kena jaga seluruh event tu sampai habis. Sudahlah letih jaga lampu, makan pula tak dapat. Dia marah sangat. Dia cakap dia tak nak melibatkan diri dalam apa-apa event lagi selepas ni (kata Ayie sambil berlalu membaca novel Tombiruo Terakhir)

Aku sokong Ayie. Tak guna menjaga hati orang lain kalau tak pandai menjaga hati orang sendiri. Tun Dr. Mahathir takkan ke mana kalau dia tak tahu jaga orang-orang bawahannya. Begitu juga dengan Genghis Khan apatah lagi Hitler mahu pun Pol Pot. Hargailah orang-orang bawah kita.

Cakaplah terima kasih atau maaf. Kot ada nama kat slide show oklah juga tapi tak ada langsung. Ayie menjadi sukarela yang pasrah pada malam tu. Dia sukarelawan letih saja.

(Masa entri ini ditulis Ayie sudah pulih dari marahnya. Tapi bila disebut pasal event tu marah Ayie tiba-tiba boleh naik. Hati-hati tau...)

Kelambu: Marah-marah sayang...

Powered by Blogger.