Archive for August 2011

Mercun sana sini sinun

Saturday, August 20, 2011 · Posted in ,


Setakat entri ini ditulis, bermula awal Ramadan lepas, sudah ada tujuh budak jadi mangsa mercun (menurut sumber Utusan). Kawan aku hairan, sebab apa budak Melayu saja asyik putus jari setiap kali raya. Tak pernah pula dia dengar ada budak Cina putus jari masa Tahun Baru Cina. Aku angguk, tanda setuju dengan statistik berbaur rasis tersebut.

Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin, sebab teknologi mercun berasal dari tanah besar China sana dan sebab itulah orang Cina jarang putus jari bila main mercun. Dan sekarang aku risau Perkasa buat kenyataan pasal konspirasi mercun yang ada kaitan dengan teknologi orang Cina, walhal ia diseludupkan dari Thailand.

Apapun, sebenarnya di China sendiri ada kes mangsa mercun yang bukan setakat putus jari, tapi mati (baca). Cuma bezanya, kebanyakan kematian akibat mercun di sana disebabkan kemalangan di kilang mercun. Jarang yang jadi mangsa main mercun sempena musim perayaan.

Sepatutnya, kita kena ada buku panduan atau iklan pasal 'firecrackers for dummies'. Untuk kemaslahatan.

Info:
Remaja putus jari akibat mercun
Saluran darah terputus akibat mercun
Nyaris buta terkena mercun bola
Pemain bola cedera main mercun
Dua lagi cedera akibat bermain mercun bola
Remaja hancur 3 jari

Ulang Tayang #1 Pasar Ramadan dan Pasaran Bebas

Tuesday, August 16, 2011 · Posted in ,

**Aku tak ada idea sebenarnya. Aku ulang tayang balik entri tahun lepas (selepas di-edit itu ini) buat pedoman. Heh.

Jambang di muka Jobs dilihat sebagai simbolisme kepada antimonopoli.
Secara definisi, pasaran bebas atau free market bermaksud sesuatu pasaran yang bergerak bebas/terbuka/indie tanpa campur tangan ekonomi dan peraturan oleh kerajaan. Namun, mengharapkan pelaksanaan pasaran bebas secara total adalah sesuatu yang mustahil kerana kuasa dimiliki kerajaan juga diperlukan dalam beberapa perkara yang ada kaitan dengan pasaran itu sendiri seperti isu pemilikan, harta intelek dan kontrak.

Ada yang mendakwa musuh puak pasaran bebas adalah monopoli. Tetapi sebenarnya yang dimusuhi puak pasaran bebas ini bukanlah monopoli. Sebaliknya, monopoli yang mendapat campur tangan kerajaan hingga menyebabkan pasaran beku dan tak bergerak seadanya.

Contoh monopoli paling hampir dengan kita sekarang ialah produk Microsoft yang dikeluarkan syarikat milik taikun Amerika, Bill Gates. Dulu, Gates mungkin satu-satunya manusia yang boleh digelar raja komputer dengan aplikasi Windows.

Tetapi sekarang, beliau tidak boleh lagi mendabik dada kerana seteru utamanya, Steve Jobs mula perlahan-lahan menyaingi dominasinya dalam dunia komputer menerusi kultus Apple. Di Amerika, Jobs dianggap Jesus yang bangkit melawan syaitan Gates.

Malah, Gates hingga saat ini masih gagal meletakkan pengaruhnya dalam dunia gajet komunikasi. Jangankan menyaingi produk iPhone dan iPad, mahu berlari sama laju dengan gergasi dari Kanada, Research In Motion (RIM) dengan produk BlackBerry jauh sekali. Inikan pula berkick boxing dengan HTC (Taiwan) dan Samsung (Korea). Mahu mengejar Nokia pun masih tercungap-cungap.

Apa yang menakutkan Gates ialah ramalan pakar yang mendakwa trend masyarakat dunia akan datang dijangka banyak bergantung kepada gajet komunikasi bersaiz kompak yang memiliki kuasa sehebat komputer. Ketika ini, Gates pasti sedang pening kepala memikirkan saat perhitungan tersebut.

Bayangkan, Gates dilindungi Washington, mana mungkin pengguna dunia akan dapat merasai kebangkitan Jobs the Saviour. Kalau tidak kerana ancaman Jobs, mana mungkin Gates, yang dulu selesa dengan produk Windows-nya, kini sedang bersungguh mengalihkan pasaran komputer kepada pasaran konsol permainan video, Xbox selain mempertaruhkan Windows Phone untuk memasuki pasaran sistem operasi telefon pintar.

Berbalik kepada Ramadan, di pasar Ramadan itu hari, ada gerai menjual Tepung Pelita dalam pek polisterin dengan harga RM3 untuk dua pek polisterin (1 pek=5 Tepung Pelita).

Sebenarnya, aku tidak setuju dengan taktik mandatori harga ini dengan alasan kenapa orang bujang macam aku perlu beli dua pek Tepung Pelita sedangkan aku mau makan satu pek saja (harga satu pek=RM2).

Keputusannya, aku beralih ke gerai Tepung Pelita lain yang dijual dalam satu pek. Pasar Ramadan adalah contoh pasaran terbuka, di mana pengguna menentukan apa yang mereka mahu beli. Bukan pasaran yang membuatkan pengguna terpaksa membeli.

Bayangkan di pasar Ramadan seluruh Malaysia cuma ada satu saja pengeluar Tepung Pelita yang dipasarkan Tepung Pelita Bhd. Mungkin sampai sekarang aku tak mampu mencari Tepung Pelita berharga tiga seringgit atau satu 30 sen atau dua pek RM3.

Macam aku tulis tadi, dalam pasaran bebas, pengguna yang berkuasa menentukan pasaran. Walaupun berdepan risiko membeli Tepung Pelita yang rendah kualiti dan kasih sayang, tetapi sekurang-kurangnya aku sebagai pengguna diberikan pilihan.

Tapi, kalau semua penjual Tepung Pelita bersekongkol untuk menetapkan harga pasaran kuih itu pun susah juga. Sebab itu dalam Islam, bisnes adalah muamalah. Bukan sebab duit saja. Simple.

Mencari Ramadanisme yang hilang

Tuesday, August 09, 2011 · Posted in , ,

Tepung Pelita sedap tak ingat di Param Paya Jaras
Suatu petang, selepas dua tiga kali mundar mandir di sebuah Param, pinggir Kuala Lumpur, tangan aku masih kosong. Tidak tahu apa yang mahu dibeli, sedangkan sebelum itu bukan main banyak hologram menu makanan dalam kepala aku.

Semua makanan nampak sedap belaka, tetapi pepatah Inggeris klise yang satu itu juga yang aku ingat, don't judge a book by it's cover. Aku takut makanan yang 'nampak' sedap itu tidaklah sesedap mana. Tapi, rasanya tak kena pula kalau aku cari makanan yang cover-nya langsung nampak tak sedap. Tak mungkinlah aku beli tepung pelita yang rupanya macam tepung gomak.

Kata Prof Charles Spence, 'people's perception is typically dominated by what their eyes see' dan hukum ketika beli makanan begitulah. Segalanya berlaku tanpa sedar. Aku mafhum benar pasal erti dari mata turun ke hati, dari mata juga turun ke rasa.

Pasal bagaimana 'rasa' itulah yang buatkan aku dan kau kecur liur dan tiba-tiba jadi kurang waras dengan beli makanan melebihi keperluan. Sudahnya, aku bawa pulang sepaket bihun sup (RM3.50), sekeping murtabak utara (RM3) dan lima tepung pelita (RM2).

Apabila azan Maghrib berkumandang, selepas berdoa iftar tentunya, aku jamah ketiga-tiga juadah itu mengikut tertib dan seni makan. Dimulakan sepotong murtabak (yang dibelah empat), disusuli bihun sup dan ditutupi tepung pelita.

Hasilnya, kecuali murtabak dan tepung pelita, bihun sup yang aku beli rasanya agak cilaka. Bihunnya tidak cukup dicelur, rasa keras macam mengunyah snek rumpai laut dari Jepun yang direndam dalam kuah sup kayu manis.

Aku menyumpah (sebelum reda 15 minit kemudian) dan tiba-tiba sedih memikirkan hari-hari Ramadan mendatang kerana setakat entri ini ditulis, aku sesungguhnya masih gagal membeli set juadah berbuka yang sempurna 'rasanya'.

Aku terhimbau kenangan lebih 15 tahun ketika zaman remaja dulu. Betapa pasar Ramadan ketika itu tidak pernah gagal memberikan makanan yang cukup rasa untuk aku nikmati setiap kali berbuka. Berhentilah di mana-mana gerai dan aku cuma perlu tudingkan jari, pasti saja aku tidak pernah menyesal menjamahnya. Nasinya banyak, cukup sukat air, lauknya ada rasa, jauh sekali kedekut dan kuihnya gemuk gedempol belaka. Sudahlah sedap, murah pula.

Namun, zaman berubah dan ekonomi menukar segala-galanya. Terdesak dengan keuntungan dan makna persaingan, aku menyaksikan orientasi masyarakat Melayu hari ini sudah berubah, yang mana wang ringgit menjadi tujuan dan bukan alat lagi. Ratib Melayu hari ini sudah menjadi, Alhamduringgittt..

Begitu senang kita petik hadis Nabi SAW mengenai punca utama rezeki daripada jual beli, tetapi jarang pula kita mahu bicara perihal asas jual beli itu sendiri, yakni muamalah yang diikat kata jujur dan percaya.

Sudahnya, kaum niaga Melayu yang kita lahirkan hari ini akarnya rapuh, tiada lagi dalam hatinya niat mahu berkongsi rasa dan rezeki, sifat individualistiknya tinggi dan akal menipunya boleh tahan. Kalau tidak banyak, sedikit pun boleh juga.

Ketika aku habiskan tepung pelita kelima ini (dalam masa tidak sampai 10 minit sebab sedap), aku terfikir-fikir tentang hari esok. Ah, gerai mana pula harus aku beradu nasib mencari 'Ramadanisme' yang hilang.

Seni murtabak di pasar Ramadan

Tuesday, August 02, 2011 · Posted in , ,

Kedai murtabak sedikit kucar kacir diserbu pelanggan.
Untuk meraikan semangat Ramadan, hari pertama lagi aku sudah turun Pasar Ramadan (Param). Sekali turun dua Param, satu di lorong Persiaran Utarid dan satu lagi di Jalan Nova. Dua-dua di Seksyen U5, Shah Alam.

Peniaga tak berapa ramai. Jadi, aku tak ada banyak pilihan makanan. Sepatutnya aku turun Param Paya Jaras sebab sana mesti ada tepung pelita dan murtabak tersedap di dunia. Tapi, mengenangkan betapa tak berbaloi dan malasnya aku hidupkan enjin kereta ke sana, aku nekadkan pencarian aku di Param Jalan Nova saja.

Ada dua gerai murtabak di sini. Satu ramai orang dan satu lagi separuh ramai. Aku jenguk kepala tengok murtabak di dua gerai tu dan aku faham kenapa murtabak separuh ramai tu tak berapa nak ramai orang kerumun.

Sebabnya, murtabak dia bikin warna putih, walhal seni warna murtabak tu sepatutnya kuning dan digoreng garing dengan minyak pekat beraroma meleleh-leleh. Baru pelanggan ada rasa berahi dan teruja mahu beli. Dia tak belajar daripada orang Jepun bahawa manusia makan guna mata dulu. Dan dalam bab makan ni, aku tak berani nak 'don't judge a book by its cover'.

Tapi, aku tak beli murtabak pun sebab tiba-tiba aku rasa malas nak beratur. Orang ramai sangat dan aku tak sedap hati nak potong queue. Lagi-lagi aku perasan ada ramai orang sedang muka bengis, satu isyarat tanpa suara kepada sesiapa yang berani potong queue diorang. Itu belum tengok muka kasihan tengah telan air liur sambil tengok brader murtabak canai roti. Jadi, aku surrender.

Sudahnya, selepas dua tiga kali ulang alik Param, aku berbuka kat kedai Siam, pekena nasi putih, ikan kembung masak pedas bersaiz sedang dan jus oren. Harga RM10.80. Mahal! Silap aku juga tak tau harga pasaran ikan kembung dan limau Sunkist. Ceh.

Powered by Blogger.