Archive for September 2012

Kita yang bersaing

Monday, September 24, 2012 · Posted in , , , ,


Atas nama persaingan, mana mungkin kita sebagai umat Islam benarkan diri ini ketinggalan dalam banyak perkara dunia kepada mereka yang bukan Islam, terutamanya dalam ekonomi dan kuasa. Kalau orang bukan Islam boleh, orang Islam pun boleh. Kalau kita tidak mengejar, kita pasti ditinggalkan jauh, terpinggir dan tertindas.

Justeru, kita curahkan segala intelektual, kita berfatwa dan berijtihad, kita gubal segala macam sistem dan undang-undang. Semuanya supaya nampak dan dilihat Islamik, meskipun roh dan spiritualnya kosong, cuma jasadnya cantik dan halalan toyyiban.

Kita tanamkan isme dalam nubari anak-anak kita betapa umat Islam mesti bersaing dengan orang bukan Islam. Sudahnya, kita menjadi muslim yang diciptakan Allah yang Esa untuk bersaing semata-mata.

Dan kita lupa, Islam itu datang bukan untuk bersaing. Habis tu untuk apa?

Tuk Wan dan falsafah syiling

Tuesday, September 11, 2012 · Posted in , ,


Tidak ramai yang sempat melihat datuk nenek sendiri dan ramai juga yang tidak ada banyak pengalaman dan memori pasal mereka. Sama macam aku juga.

Ini cerita pasal tukwan sebelah mak aku yang kami panggil Wan Mat. Sepanjang hayat dia, seingat aku tak pernah dia tak bagi duit raya kat cucu-cucunya meski kami menginjak remaja. Tapi, itu bukanlah apa yang istimewa tentang dia.

Apa yang istimewa, duit raya yang diberikan itu adalah duit syiling yang jumlahnya tidak pernah konsisten dan dihulur terus tanpa apa-apa sampul pun. Nasiblah kalau aku dapat syiling seringgit, ada juga aku dapat 50sen, 80sen, 1.20 atau 1.50.

Syiling itu akan dikira bersama duit raya lain. Sudahnya, jumlah duit raya aku tidak pernah cukup genap kerana nilai sen di hujungnya. Perkara itu berlarutan hingga aku besar panjang dan bergelar budak kampus, yang mengikut fahaman Melayu kau sudah tidak layak lagi terima duit raya. Tapi, Wan Mat masih dengan syilingnya sebagai duit raya.

Entah falsafah dan mesej apa yang mahu Wan Mat sampaikan. Aku betul-betul tak tahu hingga sampai masa dia pergi jauh dari hidup aku, meninggalkan aku kenangan yang sedikit. Dan menjelang Aidilfitri selepas setahun dia tiada, aku akhirnya temui falsafah syilingnya.

Ketika dunia menjadi bertambah material. Ketika duit raya dilihat sebagai beban. Ketika anak kecil kian pandai meraikan nilai wang. Ketika kita yang dewasa mula merasakan raya sudah tidak membawa erti apa-apa. Syiling Wan Mat datang sebagai tanda ingatan. Ya, cuma tanda ingatan yang tidak pernah padam.


"Besaq ka kecik ka. Raya wan bagi duit raya."

Pasal bendera dan subliminal

Thursday, September 06, 2012 · Posted in , , , ,


Asalnya, bendera cuma kepingan fabrik yang digunakan sebagai simbol, medium isyarat atau dekorasi. Tapi sejak manusia pandai memindahkan simbolisme bendera menjadi makna tertentu selain hanya sekadar alat koordinasi di medan perang, kewujudan sesuatu bendera itu mula membentuk bahagian-bahagian tertentu dalam sejarah peradaban manusia.

Kini, fabrik dengan jalur dan logo berwarna tersebut senang saja menjadi medium mencetuskan permusuhan sesama manusia dan negara.

Isu bendera kali ini aku melihat lebih kepada counterculture yang resam kemunculannya membentuk trend atau nilai yang cuba menyimpang daripada norma masyarakat arus perdana.

Apabila kau faham pasal isu counterculture ni pula, kau akan sedar mengenai sebab kenapa sekelompok anak muda mengibarkan 'Sang Saka Malaya' pada malam merdeka tempoh hari-walaupun ia sebenarnya adalah bendera baru yang mengambil semangat 'Bendera Rakyat' ciptaan AMCJA-PUTERA (menurut makluman Fahmi Reza).

Aku tak nampak ia sebagai satu pengkhianatan, sebaliknya lebih kepada luahan etos, aspirasi dan impian sekelompok manusia mengenai masyarakat mereka hari ini. Ia mungkin juga protes atas kegagalan majoriti penduduk Malaya dulu yang memilih membentuk sebuah masyarakat integrasi dan bukan sebuah negara bangsa tanpa ras.

Walaupun 'Sang Saka Malaya' (atau sebenarnya Bendera Rakyat) kini tinggal menjadi sebahagian sejarah lampau tanah air, mengingati dan meraikannya bukanlah satu dosa. Ia samalah seperti memakai t-shirt matahari bersinar ketika Jepun menjadi kuasa imperialis dunia dulu, sedangkan bangsa itulah yang pernah menyembelih nenek moyang mereka. Tapi kenapa kini menjadi budaya hip anak muda? Kerana 'Asia untuk Asia' atau semangat 'Kamikaze' atau simbolik kuasa Barat dimalukan orang Asia? Trend counterculture itu tidak muncul tiba-tiba melainkan akibat pengaruh sosial masyarakat itu sendiri.

Dalam filem Gila-Gila Remaja (1986), si Roy dan rakan-rakanya tidak lekang dengan t-shirt Jepun, Great Britain dan USA. Aku tak tahu sama ada arwah pengarah, Hussein Abu Hassan mahu menyindir sikap anak mudah yang sentiasa dijajah, ataupun arwah mahu menghantar mesej subliminal tentang perihal hipokrit orang dewasa yang melihat anak muda sebagai sekelompok manusia yang senang terjajah menerusi imej harfiah mereka (t-shirt, jeans, rambut gondrong, kibar 'Sang Saka Malaya'?). Walhal orang dewasa itu sendiri yang terjajah dan ini dapat dilihat melalui perihal bapa Suzi (lakonan Hussein sendiri) yang begitu mudah diapi-apikan antagonis Farouk.

Kebetulan pula 'Dasar Pandang ke Timur' diumumkan Mahathir pada 1982 selepas pemimpin sebelumnya cenderung memandang ke Barat. Sama ada ia kepentingan politik ataupun tidak, kita sebenarnya tidak pernah berhenti melihat dan mengambil semangat daripada sejarah lampau kita, meski pahit.

'Sang Saka Malaya' adalah mesej subliminal anak muda kepada sang politikus mengenai negara mereka yang sakit dan 'plastik' serba serbi. Lain daripada itu, ia cuma cubaan mencetuskan trend counterculture yang belum tentu disambut anak muda teramai. Sekurang-kurangnya mereka berani mencuba.

Dan aku teringatkan P Ramlee dan M Zain.

"Labi, ini kepala bapak kau, ini pulak kepala bapak aku. Kalau kau anak jantan, kau pijaklah kepala bapak aku," kata Labu (M Zain) kepada Labi (P Ramlee).

Dan kepala bapak masing-masing dalam filem itu cuma dimaknakan dalam gumpalan kertas yang asalnya memang tak ada makna apa-apa pun. Tetapi memanaskan hati pelakunya dan mereka yang patriotik tiba-tiba, tetapi entah ke mana.

Paloh - filem patriotik terbaik

Sunday, September 02, 2012 · Posted in , ,

Orang Jepun pun keliru diorang berjuang untuk siapa

Antara sekian banyak filem genre sejarah buatan Malaysia, Paloh arahan Adman Salleh adalah yang terbaik dalam penilaian aku setakat ini. Mujurlah filem itu dirilis pada 2003. Kalau sekarang aku syak mungkin ia akan terperap dalam kabinet Finas dan dicincang sana sini.

Berbanding Bukit Kepong yang bersifat propaganda (tapi berjaya dari segi mengundang simpati), Leftenan Adnan yang terlalu lurus dan Embun yang feminisme, Paloh nyata berbeza.

Filem ini membawa aku membaca sejarah dari kaca mata pelakunya tanpa perlu mengajak aku bersetuju dengan sesiapa. Adman mengajar, ketika perang, apa yang ada dalam diri manusia adalah curiga dan syak wasangka, selain rasa percaya bahawa kebenaran itu milik kita. Sedangkan kita tidak sedar kita sebenarnya adalah mangsa siasah perang, dan kita terperangkap.

Macam kau baca novel Salina dan tak faham kenapa Salina sanggup jadi hamba dan pelacur kepada Abdul Fakar. Logik kau, Salina patut lari jauh ke Semenanjung dan mulakan hidup baru. Atau bunuh saja Abdul Fakar awal-awal. Tapi itulah kesan siasah perang dan melalui Salina, Pak Samad berjaya menyampaikan pengalaman perit zaman perang dilaluinya sebaik mungkin. Itupun kalau kau fahamlah.

Menerusi Paloh pula, kau akan sedar betapa keretakan hubungan kaum di Malaysia sebenarnya bukan bermula akibat insiden 13 Mei 1969, tetapi ketika fasa pendek penjajahan Jepun (awal 40-an).

Seperti dialog bapa Siew Lan, si ketua Komunis, ketika berunding dengan Ahmad (Namron) supaya tak kacau orang Melayu, "Kita tak bunuh Melayu, kita bunuh Melayu sebab Melayu masuk Jepun bunuh Cina. Masa British, lu ada dengar Cina kacau Melayu?"

Ya, ketika Jepun datang, orang Melayu sendiri berpecah kepada dua, antara puak yang mahu bekerjasama (macam zaman British) dan puak penentang radikal (info: Kesatuan Melayu Muda (KMM) asalnya meraikan kedatangan Jepun menentang British sebelum gerakan itu sendiri diharamkan.)

Malah sebelum Mat Sabu bangkitkan cerita pasal Mat Indera, Adman sudah terlebih dulu menulis tentang golongan radikal Melayu (bapa Fatimah) yang digambarkan sebagai nasionalis tulen yang enggan bekerjasama dengan mana-mana penjajah dan pada masa sama seorang warak serta kental jiwa Melayunya (bermain ghazal meski dalam seragam Komunis).

Kalau kau masih keliru mengenai kenapa orang Melayu masuk Komunis, tetapi malas baca buku, Paloh setidak-tidaknya mampu memberikan sedikit gambaran ringkas mengenai perkara itu.

Dalam History Channel pasal penjajahan Jepun ke atas Malaya, ada satu insiden orang Jepun serbu satu kampung dan asingkan Melayu dan Cina. Kemudian, orang Cina dibunuh beramai-ramai dan orang Melayu hanya duduk diam saja.

Ya, pada fikir orang Melayu, orang Cina dibawa British untuk bekerja dan  mereka bukan sebahagian penduduk Malaya. Lagipun, sebagai rakyat biasa, siapa yang tidak goyang bila tengok senapang dan pedang Samurai?

Sebaliknya, dalam fikir orang Cina, orang Melayu memang mahu mereka dibunuh. Ini diburukkan lagi dengan hakikat ada orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Kesannya dapat dilihat melalui pemberontakan Komunis selepas Jepun berundur dengan menyerang kepentingan British yang kebetulan pula dijaga orang Melayu.

Turut dikupas adalah perbezaan dan perpecahan yang juga berlaku dalam parti Komunis antara puak rasional dan puak yang cenderung berpaksi kepada parti Kuomintang China.

Apa yang menarik mengenai Paloh adalah beberapa dialog kontroversi yang aku jamin tak akan lepas jika filem itu dibikin selepas fasa tsunami PRU-12 (siapa kata kita makin terbuka?), misalnya dialog, "British, Jepun dan Komunis semua sama. Tapi, sekurang-kurangnya Komunis lawan untuk bebaskan kita." dan "Tak payahlah nak memuji sangat komunis tu."

Gambaran siasah perang terbaik oleh Adman dan lima bintang untuk Paloh!

Powered by Blogger.