Ibu, Jerusalem Membawamu Pergi!
Ibu,ini tanah tempat lahir
dan wafat para nabi
para rasul suci
Jerusalem ini jugalah yang membawaku pergi
pada dini subuh dingin
kita dihangati air mata dan darah
sehingga embun pun menjadi merah
Ibu,
ketika suamimu dipanggil pergi
dan anakanda sulungmu hilang tak ketemui
kau selalu kudengar
menyembunyikan derita dan sengsaramu
pada getar suci kalam Quran dan takwa iman
kau sering kulihat
menyelimutkan air mata dan deritamu
pada lusuh sejadah dan telekung yang basah.
Ibu,
ketika rumah kita bergemuruh
kau memeluk aku dan Adik Fatimah
tudung loyang yang berlubang kau tadahkan
kita diluruhi bertih peluru dan serpih batu
bersama laung Allah Maha Besar
kulihat kau menjadi wanita kekar
cuba melindungi anak-anakmu daripada dicalar.
Ibu,
ketika itu
tiada siapa mahu mendengar
jerit Adik Fatimah yang lapar
dan anak-anak jiran menghingar
dalam panas dakapmu aku berasa ini mimpi paling aman
Adik Fatimah kau lenakan dalam kenyang sedu susumu
Penuh sayang kau usapkan ubunku dan berbisik
Anakku, Jerusalem ini adalah tanah tumpah agama kita
Biar kita sahaja yang mati kerananya.
Ibu,
pada subuh dini itu
Jerusalem membawamu pergi
ketika selerak mangkuk-mangkuk roti
percik-percik darah di lembar al-Baqarah
susumu tertumpah memutih ke wajah Adik Fatimah
darah memekat bersama carik perut dan pucat muka
Jerusalem pun membawa Fatimah pergi
Jerusalem juga membawamu pergi
meninggalkan aku seorang diri.
Tunas Cipta, April 2005
Satu polemik yang dihalalkan oleh umat manusia. Al-Fatihah untuk ibu-ibu dan keluarga para mujahid. Amin..
Powered by Blogger.
Post a Comment