TEATER RAMADHAN
Teater pertama dipentaskan di Universiti Kerajaan Swasta sejak kami berpindah ke Batang Berjuntai ni.
Juga teater seumpamanya yang dipentaskan di bulan puasa. Nasib baik aku tak usulkan nama universiti di Malaysia's Book Record. Maklumlah zaman sekarang semua sibuk gilakan kuasakan dan nama.
Teater tersebut kelolaan En. Ijat dan dilakonkan oleh grup pelajar yang mengambil subjek kokurikulum. Diorang kena berlakon untuk dapatkan carry mark yang bagus dan cemerlang lagi terbilang. Chewwah..
Semuanya ada 6 grup dan dipentaskan secara rali. Persoalan ke semua teater dapat aku simpulkan sebagai Jiwa Kacau. Jiwa yang kacau dengan sekelilingnya.
Grup 1
Tema: Bencana alam
Props: Surat khabar bersepah
Seorang mamat masuk. Wajah jiwa kacau. Berjumpa akhbar bersepah. Dia baca berita bencana alam dalam akhbar yang bersepah tu.
Seorang menangis kehilangan ibubapanya.
Seorang lagi lagak sebagai pemimpi yang terpaksa memohon bantuan luar.
Kesimpulan:
Ada kiasan dengan bencana tsunami, taufan dan gempa yang menimpa dunia kebelakangan ini. Apabila Tuhan melonggokkan sebuah bencana yang besar kepada hambanya betapa manusia itu sebenarnya tersangat kerdil. Betapa negara yang amat kaya pun sebenarnya tersangat miskin.
Betapa perit kehilangan keluarga dan kepanikan pemimpin menagih bantuan luar. Nyawa manusia bagai kepingan-kepingan akhbar. Hanya berharga sehari. Dan kemudian dilupakan macam surat khabar lama. Mungkin?
Dan bila kita terbaca berita-berita dulu dalam surat khabar lama ketika makan nasi lemak maka memori kita akan terimbas. Sedih akan menyerkup. Apa ingat tak gunakah surat khabar lama!
Aku nampak skrip dilekat di belakang surat khabar yang mamat tu baca. Bagus! Aku suka cara tu.
Grup 2
Tema: Raya
Props: 3 buah pelita
Lama ye kita tak berjumpa?
- Tak tahu.
Tapi sebab apa kita jumpa?
- Entah.
Habis tu sebab apa kita balik raya?
- Entah.
Apa ni entah entah. Kalau macam tu tak payahlah kita jumpa.
- Janganlah macam tu. Kan kita baru jumpa? Entahlah. Tak tahulah aku.
Entah entah tak tahu, entah entah tak tahu. Tak tahulah aku.
Kesimpulan:
Melihat pementasan grup ni buat aku bertanya sendiri. Raya sebenarnya untuk apa. Benarkah kita benar-benar mahu berjumpa keluarga dan sahabat handai? Atau sekadar melengkapkan dogma raya?
Grup 3
Tema: Makna
Props: Tiada
Seorang bapa masuk. Ya bapa tu sibuk berbussiness. Kemudian seorang anak masuk menggigil. Ya, anak tu terabai. Dia jadi mat pit. Mereka berjumpa. Biasalah. Macam cerita Melayu. Anak tak guna. Aku suruh kau belajar pandai-pandai jadi macam aku. Bapa tampar anak. Tapi anak tak jatuh.
Woii, kalau tampar tu jatuhlah betul-betul! Berapa kali aku nak cakap. Tak reti-reti.
Jerit si director dari tepi.
Laa, lakonan dalam lakonan. Mati-mati aku kena tipu. Hah, satu lagi. Anak dia tak hisap dadah. Dia kena leukimia. Kemudian keduanya berbaik semula dan berpeluk.
Woii, kalau berpeluk tu peluklah betul-betul. Peluk seorang ayah dan anak. Bukan couple! Faham!!
Jerit director tu lagi sekali.
Kesimpulan:
Kita sebenarnya pelakon. Dan kita sendiri tak sedar bahawa kita sememangnya dah berpuluh-puluh kali mengulang cerita skrip-skrip kehidupan yang kita sendiri dan bosan dan tahu kesudahannya. Kita tahu tapi kita buat. Kita buat tapi kita tahu. Pelikkan?
Grup 4
Tema: Sungai
Props: Baldi. Kostum 'sungai', keli, angsa, rumpai=>pakai kad manila
Seorang jadi sungai. Seorang jadi angsa. Seorang jadi ikan keli. Seorang jadi rumpai. Keli benci sungai. Angsa pun pujuk. Rumpai datang mengadu sakit. Kemudian semua freeze. Tinggal sungai bermonolog. Manusia jahat! Manusia jahat! Datang seorang manusia dan mati keracunan sebab minum air sungai.
Sekian dahulu Kavita Singh Kaulia melaporkan! Cakap seorang pelakon perempuan sambil mengangkat tangannya.
Kesimpulan:
Aku suka tema sungai diambil biarpun ramai yang mungkin anggap ia soal kecil. Sungai sebenarnya perlambangan tentang hidup. Tentang ketamadunan dan kebudayaan. Sungai yang kotor dan terbiar adalah lambang masyarakatnya yang lesu dan hampeh. Lihat Sungai Nil dan Tigris yang membina sejarah dunia. Kau ingat suka-suka sajakah sungai di dunia ini diciptakan Tuhan?
Jadi, sungai tanggungjawab siapa? Ya, Karam Singh Walia saja. :)
Grup 5
Tema: Pelayaran
Props: Tiada
Guruh dentam dentum. Dua orang membaca puisi tentang pelayaran. Ahli lain membentuk beberapa formasi seni. Sebuah formasi yang penuh unsur metafora dan perlu ditafsirkan oleh khalayak dengan pemikiran yang halus dan teliti. Aku tau ini gaya favourite Cik Ijat!
Kesimpulan:
Personafikasi hidup. Bagai pelayaran. Kau perlu ada layar dan kemudi. Kadang-kadang layar kau koyak. Kemudi kau patah. Identifikasi kehidupan diadaptasi pada formasi pelakon yang berlari, menuding jari, mendongak, melutut dan akhirnya rebah. Hidup kita pun memang begitukan?
Grup 6
Tema: Cacat
Props: Tiada
Bermula dengan suasana semua pelakon berjalan mundar mandir. Seorang pengemis sedang mengengsot. Semua tak layan pengemis cacat tu. Yang bagi duit ialah seorang pelajar yang sedang pegang borang PTPTN. Tu pun ikhlas tak ikhlas.
Kemudian semua pejalan kutuk pengemis tu cacat, cacat, cacat. AKhirnya pengemis tu bangun dan ke semua pejalan tu rebah. Dia pula jerit kuat-kuat kat semua orang, CACATTT!!
Kesimpulan:
Kita terlalu laju berjalan sehingga meninggalkan beberapa manusia yang kadang kala tak mampu berjalan selaju kita. Ada yang hanya mampu merangkak, mengengsot atau pun meniarap. Dunia hari ni ini terlalu memaksa kita untuk berjalan terlalu laju tanpa menghiraukan manusia lainnya. Ada kritikan tentang bahana kapitalis dan kelupusan nilai moraliti masyarakat!
Tahniah untuk En. Ijat! Teater Ramadhannya buat otak aku berguling memikir tentang sungai, hari raya, kehidupan, surat khabar lama, mama dan abah serta manusia-manusia lain sekelilingku.
Tahniah juga buat pelajar-pelajar kokurikulum! Harap kalian bukan sahaja berjaya mementaskan rupa tetapi jiwa dan rasa sesebuah teater. Moga dapat A!!
TAKZIAH
Takziah untuk Datuk Seri PM kita di atas kembalinya isterinya ke rahmatullah. Sama-samalah kita sedekah al-Fatihah untuk allahyarhamah.
Post a Comment