Archive for January 2006

berbulu

Tuesday, January 31, 2006 · Posted in

BERBULU

Sempena raya cina ni aku bercuti di rumah saja. Bosan. Aku buka Astro. Channel Ria.

Ada tayang cerita Sembilu 2005. Aku layan tengok (apa, aku tengok Sembilu 2005!?)

Cerita pasal cinta monyet budak sekolah menengah.

Hetty Sarlene bercinta dengan Vince, seorang balak yang mix blood. Khai dan Zed Zaidi cemburu. "Dah tak ada lelaki Melayu ke dia nak kawan?" kata mereka saling berumpatan.

Tapi yang aku berbulu. Kalau ya pun Hetty sedang masyuk bercinta dengan Vince dalam suasana alam ria persekolahan menengah. Kenapa diorang mesti main kejar-kejar? Diorang main polis sentrikah?

Aku tutup tv. Blah.

monolog - bukan bunuh diri, iklan tahun baru

Monday, January 30, 2006 · Posted in

MONOLOG - BUKAN BUNUH DIRI

Lokasi: Dewan PKP B
Tarikh: 25/01/06 9.00 malam

"Jangan cakap aku murtad! Salahkah aku mati kalau niatku ingin mendengar suara Tuhan. Ingin bertemu Tuhan."

Teater kedua dipentaskan di kampus induk Universiti Kerajaan Swasta selepas teater Ramadhan tahun lepas.

Ahmad Fared buat penampilan istimewa bermonolog selama 1 jam 40 minit. Dijayakan oleh produksi Sanggar Bayu Enterprise. Sebuah produksi dari pelajar grup 1 yang mengambil subjek ko-kurikulum pada semester ini. Turut ditampilkan saudari Ellie Fazira dan Surayya sebagai pelakon tambahan sekaligus sebagai wakil pelajar. Yang comel.

Ahmad Fared merupakan kenalan seni En. Ijat. Kata En Ijat, Khalid Salleh dan Fauziah Nawi adalah antara kenalan-kenalan rapat Fared. Jadi kau mesti tengok. Kalau tak kau akan menyesal!

Aku hanya mampu melongo bersama Lalbi.

Persembahan dibuat di dewan PKP. Pentas di PKP bukannya pentas untuk teater. Pentas kosong. Tanpa kesan audio dan lighting. Dan kerana kekurangan itulah ruang dimanfaatkan sekreatif mungkin. Cahaya dilimpah dari api lilin dan lampu kalimantang. Keronyok surat khabar berserakan di lantai dan hadapan pentas. Seutas tali gantung disangkut di celahan kotak-kotak yang bertimbunan. Dinding pentas ada tampalan akhbar. Ada juga lukisan tangan sedang menadah. Doa. Elemen suram, kacau dan tertekan berjaya ditonjolkan.

Monolog bertemakan ketuhanan. Karya Dinsman. Karyanya agak berat dan sarat. Ungkapannya bercampur-campur. Antara tersurat dan tersirat. Antara kebenaran dan keraguan. Aku senang saja termenung, ketawa, terdiam, mengeluh dan segala macam perasaan diadun pada pemikiran yang sukar disebatikan. Aku perasan ada sedikit kekurangan dari segi gerak lakon Fared. Mungkin kerana kurang persediaan. Walau bagaimanapun, lontaran suara dan gerak tubuh yang mantap berjaya menutupi kelemahan-kelemahannya itu. Dan yang penting maksud karya berjaya disampai sejelasnya.

Tahniah saudara Fared. Tahniah Sanggar Bayu Enterprise. Tahniah En. Ijat. Buah tangan kalian mengenyangkan!



IKLAN TAHUN BARU

Nada dering mesej berbunyi. Tangan memicit butang mobil bimbit.

Happy New Year - kawan A

Wei, aku bukan Cinalah. Buat apa nak ucap Chinese New Year? - kawan B

Maksud aku, Selamat Tahun Baru Hijrah. Awal Muharramlah. - kawan A

Err.. Ye ke? Hehehe. Tq. :) - kawan B

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH & SELAMAT TAHUN BARU CINA :)

tesl nite

Wednesday, January 25, 2006 · Posted in

TESL NITE

Kawan baik ajak aku join untuk dinner TESL di fakulti dia.

Pada mulanya memang aku tak nak join. Ye lah aku tak reti bergaya walaupun aku akui aku agak hensem ketika malam. Tup. Tup. Dia belanja. Aku terpaksa pasrah.

Dinner malam tu untuk meraikan senior tahun akhir TESL. Aku kenal diorang. Zacq dan Aida yang pernah join teater M 2 tahun lepas. Daus dan Cikgu yang tinggal satu blok. Kluster D. Semester ni diorang akan grad. Harap dapat result cemerlang dan jangan kecundang.

Makanan ok. Tapi sebab apa aku rasa macam makan kat kafeteria ja. Hehe. Jangan marah no. Yang penting persembahan gempak. Kan. Kan.

Tema malam tu 50-an. Tapi duduk bersama kawan baik aku dah rasa macam 'Beauty and The Beast'.

Terima kasih juga kepada Ayie selaku driver. Aku rasa dia lagi hensem. Dia pakai jaket Jackie Chan.

risiko

Monday, January 23, 2006 · Posted in

RISIKO

Fahmy mesej aku ajak join jadi stokis susu segera MLM. Dia cakap boleh buat duit.

Bukan aku tak nak join tapi sejarah penglibatan kawan-kawan aku yang banyak jadi Lebai Malang dan Pak Kadok gara-gara nak jadi jutawan segera dengan cara ni. Sedikit sebanyak nafsu aku terpadam.

Lagipun aku kurang senang dengan cara agen-agen jualan langsung ni yang meletakkan golongan mahasiswa sebagai market target.

Aku pun hairan kenapa dia orang cari mahasiswa. Carilah orang yang dah bekerja. Dia orang lagi banyak duit, banyak masa dan banyak pengalaman.

Apakah kerana mahasiswa kita kurang pengalaman maka bermakna mereka kurang berfikir atau bermentaliti boleh jadi kaya hanya dengan beberapa bulan. Lalu mereka mudah sangat menerima cara putar belit mata bonus yang mereka sendiri tak nampak nilai ringgit dan urusniaga produknya.

Azizi Ali cakap orang yang dapat jadi kaya tak sampai setahun ada 3 saja:
i) kau anak orang kaya juta-juta.
ii) kau kahwin anak orang kaya juta-juta
iii) kau berbakat dan beruntung - penyanyi, ahli sukan, penulis.

Lain pada tu kau kena berbisnes. Bisnes yang tulen. Ada JUAL dan BELI. Tapi kalau kau tak berbakat dalam bisnes kau kena berjimat. Sehabis jimat.

Tapi banyak mahasiswa kita kelam mata bila si agen tunjuk cek ribu-ribu masuk dalam akaun. Banyaklah yang kita labur ribu-ribu kat agen tu. Masa terbuang. Pengajian terbuang. Duit apatah lagi.

Ya, risiko penting dalam bisnes. Tapi bukan risiko sebegitu. Kenal pasti dahulu modal sendiri. Keupayaan masa, tenaga dan wang ringgit. Kita ada ke semua tu?

Banyak lagi cara nak berbisnes dengan modal yang sedikit bersesuaian dengan status kita sebagai mahasiswa yang bermodalkan PTPTN dan fama (baca: father & mother).

Kau boleh bisnes top-up, jual nasi lemak, upah tukar tiub motor kawan, buat laman web, jual air masa pesta konvo, printing, upah fotostat nota pensyarah, upah taip assignment. Tak pun kau turun screen test jadi pelakon tambahan Gerak Khas (ok apa?). Cubalah jadi oportunis sikit.

Kalau pun kau jenis malas tapi nak duit banyak. Cuma perlu ikat perut. Berjimat. Simpan dan jangan keluarkannya sebelum sampai sasaran ringgit yang kau nak.

Natijahnya, mahu ke mana kau menguruskan ringgit kau apabila sasaran kau sampai?

Terus melabur?
Buat modal berniaga lebih besar?
Bagi mak bapak?
Amal jariah?
Joli?
Kahwin lagi?
Kereta?

Ketika inilah risiko sebenarnya yang perlu kau hadapi. Sungguh!

poor, bintang

Friday, January 20, 2006 · Posted in

POOR

Tadi ada kuiz MIS. Soalan berbentuk True/False. 10 soalan.

Cukup masa. Tuan Haji tukar-tukarkan kertas sesama pelajar. Kami pun right bersama-sama.

"Ok. Tulis markah besar-besar kat depan. Kalau dia dapat 10 tulis excellent. Kalau 8 ke 9, very good. Kalau 5 ke 7, good. Kalau 4 ke bawah, not good."

Tuan Haji sempat bercerita. "Dulu masa saya sekolah, buku bahasa Inggeris saya mesti ada tulis poor, poor, poor, very poor, poor, poor, very poor, poor, poor. Saya kata dalam hati, cikgu-cikgu aku ni belajar kat univerisiti dulu memang tak boleh nak bagi good kat student ke? Sebab itulah pelajar-pelajar kita lemah dalam bahasa Inggeris."

"Jadi, untuk mengatasi masalah ni saya ada buka kelas intensif untuk siapa yang nak improve bahasa Inggeris. Jangan ragu-ragu untuk daftar di tadika saya ok."

Info: Tuan Haji ada bisnes tadika di Shah Alam.



BINTANG

Lepas dengar cerita, kami kena hantar semula kertas jawapan. Tuan Haji akan bacakan markah masing-masing. Dia tak baca nama. Cuma nombor dalam senarai kehadiran.

Sebab tak studi aku cuma dapat Good. 6/10

Tiba-tiba..

"NI SAPE YANG PANDAI-PANDAI LUKIS BINTANG NI!!" ujar Tuan Haji.

wifi, komplen, cantik

Wednesday, January 18, 2006 · Posted in

WIFI

Universiti Kerajaan Swasta sudah ada wifi atau dalam bahasa mudahnya ialah khidmat Internet tanpa wayar! Sudah boleh akses Internet terus dari dalam bilik.

Jadi, Sabtu lepas aku pun beli wifi usb. Pasang punya pasang tapi signal masih lemah. Sebabnya akses Internet guna transmission dari FITM (Fakulti Industri Teknologi Maklumat). Nanti (bila?) kalau pasang sekitar PKP atau cluster pelajar mesti signal kuat. Bolehlah semua warga kampus main Internet sampai lebam!

PC aku pun dah boleh akses. Cuma waktu-waktu tertentu. Jadi banyak kali jugalah aku akses laman web 'the page cannot be displayed'. Ceh..

Pensyarah aku bagitau, universiti dapat 33 juta untuk bangunkan fasiliti dalam kampus besar ni. Apa yang kamu nampak?

Hmm.. Buat masa sekarang universiti dah ada lanskap pokok palma, pagar berkawat sekitar PKP (supaya pelajar tak pijak rumput), makmal berkuasa tinggi dan yang terkini ialah teknologi wifi!

Sebab duit banyak. Aku nak tunggu pula litar lumba F1, shopping complex terbesar, dan menara tertinggi di dunia. Hehehe..

Selamat menguruskan kewangan wahai pihak universitiku. :)



KOMPLEN

Ada pelajar UIA hantar komplen dalam akhbar Kosmo. Via sms.

-Wifi konon. Akses macam ciput-

Kawan-kawan, bukan universiti kita saja yang berdepan masalah birokrasi ni. Tau.

Adalah seorang kawan aku tu asyik dok komplen pasal universiti. Serba tak kena. Macam universiti ni saja paling bermasalah dalam Malaysia ni. Dia tak tau universiti ni lah akan beri dia segulung ijazah nanti. Universiti nilah yang sudi terima pelajar-pelajar biasa yang mahu menjadi luarbiasa!

Aku rasa nak buat kempen SAYANGILAH UNIVERSITI KITA!

Mesti Dato' NC suka. Kan. :)



CANTIK

Lalbi dan Sabahan jaga kaunter PKKU (Persatuan Kesenian dan Kebudayaan U*****) di PKP. Nak rekrut ahli-ahli baru masuk persatuan.

Semalam Awie cakap, "Nanti kalau nak ambil junior join kelab, kita kena pilih yang cantik-cantik saja. Bakat letak tepi. Ye lah, bakat boleh di asah tapi muka mana boleh asah."

Aku angguk. Kami pun gelak terangguk-angguk.

duit, bahagia, gila

Monday, January 16, 2006 · Posted in

DUIT

Selalunya aku beli dua buah buku. Satu buku bercorak fiksi (novel) dan satu lagi bukan fiksi (ilmiah). Buku bercorak bukan fiksi yang menjadi pilihan aku ialah dari jenis ensiklopedia sejarah. Ada cerita pasal sejarah Dinasti Rom, Dinasti Cina, Perkembangan Islam, Genghis Khan, wabak Black Death, Firaun dan macam-macam lagi. Aku suka.

Tapi sejak kebelakangan ni pilihan buku bukan fiksi aku berubah. Aku mula kumpul buku pasal DUIT.

Nik mengamput (mengata depan-depan) pada Edi pasal aku,"Edi, tengok kawan kita sorang tu. Tak habis-habis duit, duit, duit. Duit je tahu kerja dia! Huh.."

Aku malas layan. Aku diam.

Ayie cakap," Kau sekarang ni asyik dengan duit je. Kau memang gila duit eh?"

"Ha' ah, aku gila duit."

"Tapi orang miskin pun boleh bahagia," tutur Ayie.

"Ye la orang miskin bahagia. Tapi dia boleh buat apa?"

Ayie diam.


BAHAGIA

Betul ke orang miskin bahagia? Dan orang kaya tak bahagia? Sebenarnya bahagia atau tak bahagia bagi si miskin dan si kaya ni ada empat kategori.

1. Orang miskin dan tak bahagia
2. Orang miskin dan bahagia
3. Orang kaya dan tak bahagia
4. Orang kaya dan bahagia

Korang nak pilih yang mana? Kalau aku. Aku pilih nombor empat.


GILA

Mengapa bila orang tu baca buku pasal duit, mesti kata dia gila duit? Kalau macam tu bila dia baca buku pasal seks, dia gila seks. Bila dia baca buku pasal politik dia gila politik. Bila baca buku kartun. Dia gila kartun. Bila baca buku pasal perempuan, dia gila perempuan. Begitu?

Semester lepas, Lis ada bawa buku tajuk 'Babi', karya politikus Ibrahim Saad. Buku tu ditulisnya susulan buku tajuk 'Anjing' karya SN Shahnon Ahmad. Cerita buku tu dari mula sampai akhir memang pasal babi.

Kalau macam tu orang yang baca buku tu, GILA BABI la ye.

Susahnya berhadapan dengan persepsi manusia yang malas membaca ni.

maraliner, minta jangan tak minta, strength

Friday, January 13, 2006 · Posted in

MARA LINER

Aku balik semula ke kampus naik bas Mara Liner. Turun di Hentian Putra. Basnya cantik. Seat luas. Air-cond bagus. Ada 2 tv. Satu kat tengah dan satu kat depan. Dia tayang dua movie. Cerita 'Anak Mami Kembali' dan 'Stealth'.

Istimewanya bas Mara Liner ni ialah ada co-driver merangkap jurucakap bas. Sebelum bertolak dia akan bagi kata-kata aluan, "Perjalanan ini akan mengambil masa 7 jam dan akan berhenti rehat di Ipoh, Perak dan tiba di Hentian Putra, Kuala Lumpur. Terima kasih". Lepas tu dia akan baca doa naik kenderaan. Hmm.. Bagus. Macam naik kapal terbang. Rasa eksklusif sangat.

Masa nak sampai kat hentian Putra dia buat ucapan lagi.

"Kita hampir sampai di Hentian Putra, iaitu destinasi terakhir kita. Kami mengucapkan terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Mara Liner. Maaf Zahir Batin dan selamat menyambut Hari Raya aidilFITRI"

Hehehe. Aku rasa dia baru bangun tidur.



MINTA JANGAN TAK MINTA

Dari pekan BB (Batang Berjuntai) aku akan ambil teksi pula untuk ke kampus. RM8. Driver-nya India. Itu saja alternatifnya selain kereta sapu. RM10.

Dia cerita macam-macam. Pasal asal usul Batang Berjuntai. Pasal migrasi penduduk tempatan keluar daerah dan lambakan pekerja Indon masuk. Juga pasal tranformasi tanah yang sebelumnya dipenuhi estet dan lombong kepada kawasan 'lombong emas' yang sibuk. Semuanya selepas tertubuhnya Universiti Kerajaan Swasta.

Dia kata lagi, student boleh minta bas dari pekan BB ke kampus. Dulu ada bas ulang alik sepanjang jalan hadapan kampus. Baru 2-3 tahun lepas ditamatkan perkhidmatannya sebab tak untung. Itu dulu sekarang lain. Sekarang kawasan tu dah jadi lubuk duit. Student mesti kena minta. Dia dulu sanggup berpiket kat kementerian masa kes Syarikat Naeila bankrap dan tak mampu bayar gaji pekerja. Jadi, student pun mesti berani mahu buat dan minta. Teksi banyak mahal (dia pun bawa teksi!). Minta jangan tak minta!

Dia cakap sungguh-sungguh. Kat aku. Di sebelahnya. Aku rasa dia boleh jadi YB. Di kawasan BB ni.

Balik rumah aku sms surat khabar Kosmo. Minta perkhidmatan bas dari dalam kampus. Ke pekan BB dan KL. Aku sms elok-elok ja. Tak ada kutuk-kutuk pun. Tau.



STRENGTH

Tuan Haji cakap, sebelum kita nak menjayakan sesebuah bisnes kena kaji 'strength' syarikat. Abaikankan tentang 'weakness'.

"Jadi apa 'strength' Universiti Kerajaan Swasta?"

Semua diam.

"Hish kamu ni. 'Strength' universiti sendiri pun tak tau. Kalau kamu nak tahu universiti kita ni unik sebenarnya. Lebih unik dan hebat dari universiti Oxford dan Cambridge."

Semua diam.

"Nak tahu apa?"

Semua diam lagi. Aku bisik kat Ayie. Universiti kami warna warni.

Tuan Haji jawab, "Kalau belajar kat sana kamu tak boleh dapat nombor satu tapi kat sini boleh!"

castello

Tuesday, January 10, 2006 · Posted in

CASTELLO


imej dari blog mya

Tengok Castello. Di panggung wayang yang tak ada air-cond. Cuma kipas. Seumpamanya. Di Malaysia. Cathay. Alor Star.

Hampir-hampir mood aku spoil sebab ada mamat mana entah nak pau Twisties perasa keju aku. Aku tak layan. Aku cakap kat dia, rileks la beb. Tak start lagi ni. Mungkin sebab kebosanan menunggu aku yang tak buka-buka Twisties maka dia ambil keputusan BLAH! Pau orang lain pula kot.

Tayangan dimulakan dengan kata-kata nasihat, jangan tiru aksi filem ini! Dan juga kata-kata, filem ini mempunyai adegan merokok yang keterlaluan. AMARAN KERAJAAN MALAYSIA: MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN. Tapi aku tak nampak pula adegan merokok yang dikatakan keterlaluan tu. Tak ada pun merokok melalui hidung atau pun melalui punggung?

SINOPSIS

Aku malas nak cerita. Baca FilemKita.

BEST KE?

1. Ada peningkatan dalam filem Bade kali ni. Kau akan rasa ketegangan yang sememangnya perlu untuk sebuah filem aksi. Durasi jam 40 minit dimampatkan secukupnya. Gerak kamera lancar pada setiap babak. Cuma babak kejar mengejar bot di Sungai Golok nampak seakan dipaksa-paksa kelajuannya. Ya, aku masih nampak bot-bot itu bergerak perlahan. Cuma kamera yang laju.

2. Babak gaduh-gaduhan dan kejar-kejaran bagi aku berjaya. Aku dapat rasakan Castello (Rosyam) cukup 'otai'. Muka serius. Cakap serius. Tumbuk pun serius. Semasa menuntut bela kematian isterinya dia gaduh pakai sarung tangan. Wow. Cukup profesional. Ini baru penjenayah pandai! Tengok kepala botak Rosyam dan sarung tangannya aku mula terbayang game Hitman. Hitman versi cokelat!

2. Seperti kata Mat Jan, filem Melayu kita masih mengekalkan babak rogol berjemaah. Cuma babak Phim (Liyana Jasmay), anak Castello yang dirogol ketika khayal tidak disensasikan seperti filem Embun. Nampaknya Bade betul-betul mahu mengetengahkan filem aksi. Bukannya filem aksi plus erotik.

3. Selalunya perlambangan dara ditebuk tupai dalam filem Melayu ialah bunga yang layu di pasu madu, kaca yang terhempas ke batu atau guruh berdentam dentum serta awan berarak mega. Tapi dalam Castello ada frame gambar bumi (syorgaaa!!!), gitar di atas sofa (hoorayyy!!), longgokan baju dan spender (ehem ehem!!) serta akhir sekali Phim menarik coli di celahan badan Que Haidar (Tipah tertipu bang!!!).

4. Ada aksi mat rempit skuter! Siap boleh racing dengan Evo tu. Aku rasa skuter diorang pakai NOS. Ingat nak belasah Castello tapi sekali dia bawa pistol daa..

5. Gaya Sepet (Que Haidar) bercakap macam gaya Adlin dalam PGL. Gaya bercakap Chalita remaja (Nur Emy Nadia) macam Fasha Sandha dalam filem Berlari Ke Langit.

Tn. director Bade: "Que, sebab hang pelakon baru dan tak ada karakter. Aku nak hang tiru sebiji gaya Adlin. Faham! Hang pun sama Nur Emy Nadia. Aku nak hang tiru gaya Fasha. Cakap sebutir-sebutir. Faham!"

Que & Emy: "Faham tuan director Bade!"

Seperti juga penyanyi yang cuba meniru Siti menyanyi. Ya, aku rasa cukup mual. Dibuat-buat.

6. Que Haidar kurus keding. 'Tokan' dadah. Rambut kaler. Banyak duit. Berkarakter. Bermimik muka. Bertindik bibir.

Persoalan:
Kurus pun boleh jadi 'taiko' eh?

Jawapan:
Wei, dia duit banyak. Dia 'tokan' dadah. Bila kita duit banyak semua orang akan ikut kita. Tau.

Apa pun aku akui aksi Que Haidar bagus. Betul-betul macam ketua gangster. Tara tatut punya sama itu Castello! Kasi bunuh sama dia!

7. Castello terbabas. Kereta tak ada. Dia nampak ada lori tunda bawa jet ski. Tiba-tiba terus ke babak Castello berlumba dengan Que Haidar di Sungai Kelang. Que Haidar naik teksi di tepi sungai dan sudah tentu Castello naik jet ski di atas sungai.

Persoalan:
Bagaimana Castello menolak jet ski masuk ke Sungai Kelang?

Jawapan:
i. Dia tahan dan paksa orang ramai tolak jet ski ke Sungai Kelang.
ii. Dia ugut driver lori tunda suruh kejar teksi Que Haidar. Kebetulan sampai Sungai Kelang minyak pula habis. Jadi dia suruh driver lori tunda turunkan jet ski ke Sungai Kelang. "Wang atau nyawa?" Ugut Castello kepada si driver lori tunda.

8. Chalita remaja cantik. Tembam. Comel. Mungil. Genit. Chalita dewasa pun cantik. Tinggi. Putih. Lawa. Bini orang.

Persoalan:
Kenapa hidung Chalita (Nur Emy Nadia) semasa remaja kelihatan pesek. Tapi hidung Chalita semasa dewasa (Erra Fazira) kelihatan agak mancung?

Jawapan:
Chalita ialah bini seorang 'tokan' dadah. Sebelum kena tangkap Castello dah tinggalkan banyak duit. Sudah tentu dia ambil duit tu pi buat plastic surgery. Untuk siapa lagi kalau bukan untuk suami sendiri. Kan. Lihatlah hidung ku. Mancung yaa!!

9. Latar di sekitar Pekan Golok. Sungai Golok. Ada bot sapu. Ada sungai. Ada pekan. Ada warung. Ada orang ramai.

Persoalan:
Kenapa Chalita (remaja) tak cakap loghat Siam@Kelantan langsung? Dia cakap KL. Tapi abang dia pandai pula. Peliknya Castello (remaja) (Zain Ruffedge) yang dibesarkan di Sungai Golok pun tak reti cakap Kelantan. Nasrizal, kawan si Castello lagilah tak retinya. Kenapa?

Jawapan:
Diorang nama sahaja lahir kat Golok tapi mungkin hakikatnya menetap di KL. Jadi loghat tu dah hilang. Masa diorang berkenalan di Golok dalam filem ni umur masing-masing sudah remaja atau belasan tahun. Ye lah, diorang disuruh balik Golok oleh mak bapak masing-masing yang penat bergolok gadai suruh belajar tapi kantoi SPM dan PMR.

10. Erra Fazira jadi hantu lagi. Selepas Potret Mistik dan 7 Perhentian. Kali ini dia muncul dalam halusinasi Castello semasa dia tengah menangis susah hati kat rumah. Hehehe. Ok. Aku rasa Erra boleh berlakon jadi hantu sepenuh masa selepas ini. :)

KESIMPULAN

Apabila kita cuba mengangkat satu persoalan yang besar kita sering mengabaikan persoalan yang kecil. Begitulah sebaliknya. Dan begitulah yang terjadi dalam Castello.

Macam main Internet. Terlalu banyak multi-task telah banyak melengahkan fokus manusia dengan kerja mereka. Bila pensyarah suruh kau cari research. Masa itulah YM nak berbunyi. Nak check friendster lagi. Tulis blog lagi. Myspace lagi. Emel lagi.

Begitulah Castello. Kerana terlalu banyak mahu mengangkat aspek aksi, Bade mungkin sedikit sebanyak telah mengabaikan aspek realiti dan jiwa sesuatu filem.

Tapi aku tak salahkan Bade. Berapa banyak penonton yang faham pasal jiwa sesuatu filem. Dan aku faham Bade cuba memanfaatkan bajet aksinya se-optimum mungkin. Gila kau nak kemekkan Evo dan Subaru sesuka hati! Dua kereta tu saja dah setengah juta lebih.

Bagaimana pun, skrip filem Castello kali ini bagus. Berbeza dari filem Gangster yang sedikit kehilangan originaliti dan banyak unsur nasihat menasihati. Bagi aku, tak perlu elemen mesej di dalam filem kerana visualiti filem itu sendiri secara automatisnya akan menyampaikan kebenaran dan kejahatan itu sendiri kepada khalayak.

Castello tetap bagus kalau mahu dibandingkan dengan aksi Gerak Khas. Pertama kerana mainan kamera dan stunt hasil garapan Bade. Dan kedua kerana olahan skripnya yang tidak terlampau sifar macam Gerak Khas dan Gerak Khas dan Gerak Khas.

Iklan Sejenak: Twisties.. Mesti Mahuuuuuuuuuuu..

Info:
Otai - Orang Lama
Taiko - Abang Besar
Tokan - Pengedar/Mastermind

Jenguk:
- Castello pecah hening Sungai Golok
- Castello paparkan hero macho dan adegan spektakular - A. Wahab Hamzah

hujan part II

Saturday, January 07, 2006 · Posted in

HUJAN PART II

Kelas A.I. Aku, Edi, Nik dan Ayie. Selalunya kami akan ke kelas dengan motor. Yamaha Edi dan Suzuki rongak aku. Nik dan Ayie jadi pembonceng. Naik kereta ni leceh sikit. Kena berjalan keluar dari pondok guard. Agak jauh. Sebetulnya, malas!

Ketika itu.Hari hujan. Agak lebat. Kami tersangkut di tingkat bawah. Ground floor!

Ayie cakap, "Alah, baru hujan. Hujankan air. Bukannya api. Bukan boleh mati pun kena air."

Bidas Edi, "Berapa banyak orang yang mati sebab air berbanding mati sebab api? Berapa banyak kes kebakaran berbanding kes banjir dalam setahun? Tengok tsunami. 200 ribu orang lebih dah mati. Mana ada kes mati kebakaran banyak tu?! So, what's your point, Ayie!?"

Ayie dongak ke atas dan jerit penuh kekecewaan, "Lalbiiiiiiiiiiiii, baling kunci kereta akuuuuuuu!!!!!!!!!"

Kunci dilambung turun dari tingkat 4. Oleh Lalbi. Kami pun naik kereta Ayie pergi ke kelas.

Dan hujan makin melebat. Dingin.

Info: PERATURAN BARU UNIVERSITI KERAJAAN SWASTA: Semua pelajar yang berkereta dikehendaki memarkir (parking) kereta masing-masing di luar kawasan asrama. Ini adalah untuk memberi keadilan dan kesamarataan kepada semua warga kampus yang kebanyakannya kaya raya. Dikecualikan motorsikal dan kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU).

gathering geng jurnal 2005, hujan

Wednesday, January 04, 2006

GATHERING GENG JURNAL 2005

Pergi Gathering Geng Jurnal bagi tahun 2005 di Putrajaya. Aku menumpang kasih kereta Ana Keroncong. Turut serta di dalam kereta Ana ialah Lalbi@Black dan Ms. Berry.

Kereta Waja Ana kemek sebelah tepi pintu.
"Langgar Angsa (baca: Unser)" - Ana
"Laa.. Cakap Waja. Langgar menatang pun kemek. Pelik-pelik." - Aku

Berbanding tahun lepas gathering kali ni mencatat jumlah kehadiran yang agak sedikit. Sekitar 73 orang.

Jadi, apa yang menarik?

1. Kemunculan pengacara majlis iaitu Attokz yang dibantu dua pengacaucara majlis iaitu Bean dan Mat Jan yang tampil BERGAYa. Auww..

2. Suara Mat Jan agak tenggelam timbul. Mungkin sebab kaki mikrofon tak cukup tinggi untuk Mat Jan atau kotak speaker yang tak cukup banyak. Aku perlu sedikit konsentrasi telinga. Celoteh diorang penuh informasi dan komedi. Penuh sindir-sindiran dan perli-perlian. Nampak natural. Macam gaya penyampai anugerah-anugerah kat dalam TV.

3. Masa sampaikan anugerah Catatan Menyentuh Emosi diorang bercakap sambil menangis dan masa menyampaikan Catatan Mencuit Hati diorang bercakap sambil gelak. Ya, aksi tersebut berjaya membuat para peserta gelak terbahak-bahak.

4. Gaya Attokz santai. Sekali dengar macam DJ pasaraya Kamdar. Attokz banyak menaikkan mood para peserta yang agak malu, segan dan silu. Ada satu babak Attokz suruh semua blogger jerit tanda sokongan tapi semua tak bagi respon. Tiga kali dia suruh tapi sama sahaja. Bukan tak nak jerit tapi memang perangai rakyat Malaysia macam tu. Segan dan merendah diri lagi low profile. Aku teringat Datuk Hishamuddin pernah suruh cikgu-cikgu jerit tanda sokongan masa perhimpunan guru kat tempat aku dulu. Masa tu pun tak ada cikgu pun yang bagi respon. Masing-masing dok tengok kau aku. Dia cakap, macam ni ke cikgu sekolah? Semua cikgu kecil hati. Dia tak tau banyak cikgu yang lagi tua dari dia. Mana boleh suruh diorang jadi orang muda dok terjerit macam berkempen dan dalam konsert. Tapi Attokz tak cakap, macam ni ke blogger? Dia terus lompat ke acara berikutnya. Ternyata Attokz bijak mengawal suasana gathering dengan penuh profesional.

5. Video klip tahun ni sangat kelakar. Antaranya ialah sumbangan Tok Rimau [perincian majlis walimatul dan rakaman ucapan kemenangannya] dan Sinaganaga [kisah hidup seekor ayam gangster!]. Naga guna lagu Young and Dangerous untuk video klip ayamnya. Aku teringat satu video klip kucing kena sembelih dan dibuat nasi goreng. Kalau video klip Naga tu ditayang sebelum makan aku pasti makanan gathering tahun ni tak habis.

6. Acara nyanyi-nyanyian disampaikan dengan penuh merdu oleh Kak Ungku [lagu Melayu] dan ND [lagu Indon]. Juga nyanyian lagu rap Melayu yang disadur dari lagu PIMP-50 cents oleh Mat Jan dan Bean. [Kami tulis apa kami suka. Kami tak dibayar gaji pun. Kat rumah tak boleh online jadi kami online kat ofis. B.L.O.G.] Lebih kurang macam tu lah lirik lagu tu. Berdekah-dekah aku kat belakang. Boleh tahan juga Mat Jan flow! Cayalah dude!

7. Dapat berjumpa dengan beberapa kenalan blog baru dan juga lama. Nak tau siapa? Cuba tengok balik senarai peserta. Panjang pula aku nak senarai.

8. Pek cenderamata agak unik. Dapat tag nama yang cantik. Dapat majalah Milenia. Dapat rantai kunci berlogo GJ dan dapat buku nota berkalender 2006 dan 2007.

9. Kalau tahun lepas aku dapat cabutan malang tapi tahun ni aku dapat cabutan bertuah. Nombor Digi - 016. Aku dapat pek cenderamata. Hooray!!

Pemenang-pemenang Anugerah:

WEBLOG BARU TERBAIK - Amir Azmi

CATATAN MERANGSANG INTELEK - "Book-smart or Street-smart?" oleh El-maaniq

CATATAN MENYENTUH EMOSI - "Selamat Hari Guru" oleh Basri

CATATAN MENCUIT HATI - "Berkemut-kemut" oleh Naga

WEBLOG BAHASA INGGERIS TERBAIK - "Figurasi" oleh Adipujangga

FOTOBLOG TERBAIK - Saiful Nang

REKABENTUK TERBAIK - "Solidmind" oleh Mukeh

PROJEK TERBAIK (DALAM WEB) - "Juring" oleh Tok Rimau

PROJEK TERBAIK (LUAR WEB) - "Jiwakacau" oleh Basri

ANUGERAH WEBLOG TERBAIK 2005 - Tok Rimau

Acara ditutup dengan sesi bergambar dan salam menyalam. Lauk pauk berlebihan juga ada untuk ditapau para peserta.

Sekian. Jumpa lagi semua. Selamat tahun baru!



HUJAN PART I

Masa balik gathering hujan lebat mengiringi kepulangan aku. Di KL. Senja merembang. Aku terpaksa beli payung lagi. Kalau tak mesti terlepas bas ke Batang Berjuntai. Kat Watson, Central Market, payung sold out! Nasib baik ada lagi kedai yang jual payung. Kedai apa entah. Aku beli. RM12. Berwarna hijau muda dan bercorak bintik-bintik.

Aku rasa kalau 10 kali aku turun KL dan 10 kali KL hujan maka aku sudah ada 10 payung.

Nanti kalau nak turun KL lagi aku kenalah rajin tengok ramalan cuaca. Bukannya untuk batalkan program aku ke KL masa hujan. Tapi untuk aku buka booth jual payung masa tu. Mesti laris macam pisang goreng!

Payung! Payung! Payung murah! Payung murah! Cantik! Cantik!

Powered by Blogger.