risiko

Monday, January 23, 2006 · Posted in

RISIKO

Fahmy mesej aku ajak join jadi stokis susu segera MLM. Dia cakap boleh buat duit.

Bukan aku tak nak join tapi sejarah penglibatan kawan-kawan aku yang banyak jadi Lebai Malang dan Pak Kadok gara-gara nak jadi jutawan segera dengan cara ni. Sedikit sebanyak nafsu aku terpadam.

Lagipun aku kurang senang dengan cara agen-agen jualan langsung ni yang meletakkan golongan mahasiswa sebagai market target.

Aku pun hairan kenapa dia orang cari mahasiswa. Carilah orang yang dah bekerja. Dia orang lagi banyak duit, banyak masa dan banyak pengalaman.

Apakah kerana mahasiswa kita kurang pengalaman maka bermakna mereka kurang berfikir atau bermentaliti boleh jadi kaya hanya dengan beberapa bulan. Lalu mereka mudah sangat menerima cara putar belit mata bonus yang mereka sendiri tak nampak nilai ringgit dan urusniaga produknya.

Azizi Ali cakap orang yang dapat jadi kaya tak sampai setahun ada 3 saja:
i) kau anak orang kaya juta-juta.
ii) kau kahwin anak orang kaya juta-juta
iii) kau berbakat dan beruntung - penyanyi, ahli sukan, penulis.

Lain pada tu kau kena berbisnes. Bisnes yang tulen. Ada JUAL dan BELI. Tapi kalau kau tak berbakat dalam bisnes kau kena berjimat. Sehabis jimat.

Tapi banyak mahasiswa kita kelam mata bila si agen tunjuk cek ribu-ribu masuk dalam akaun. Banyaklah yang kita labur ribu-ribu kat agen tu. Masa terbuang. Pengajian terbuang. Duit apatah lagi.

Ya, risiko penting dalam bisnes. Tapi bukan risiko sebegitu. Kenal pasti dahulu modal sendiri. Keupayaan masa, tenaga dan wang ringgit. Kita ada ke semua tu?

Banyak lagi cara nak berbisnes dengan modal yang sedikit bersesuaian dengan status kita sebagai mahasiswa yang bermodalkan PTPTN dan fama (baca: father & mother).

Kau boleh bisnes top-up, jual nasi lemak, upah tukar tiub motor kawan, buat laman web, jual air masa pesta konvo, printing, upah fotostat nota pensyarah, upah taip assignment. Tak pun kau turun screen test jadi pelakon tambahan Gerak Khas (ok apa?). Cubalah jadi oportunis sikit.

Kalau pun kau jenis malas tapi nak duit banyak. Cuma perlu ikat perut. Berjimat. Simpan dan jangan keluarkannya sebelum sampai sasaran ringgit yang kau nak.

Natijahnya, mahu ke mana kau menguruskan ringgit kau apabila sasaran kau sampai?

Terus melabur?
Buat modal berniaga lebih besar?
Bagi mak bapak?
Amal jariah?
Joli?
Kahwin lagi?
Kereta?

Ketika inilah risiko sebenarnya yang perlu kau hadapi. Sungguh!

Powered by Blogger.