Archive for December 2011

Apabila minyak habis...

Thursday, December 29, 2011 · Posted in , ,


Ceritanya begini,
Kalau kau sedang bawa kereta dan tiba-tiba bar meter minyak berkelip-kelip atau keluar lampu pam minyak atau jarum tunjuk takah E, tolong rileks. Dalam kejuruteraan automotif, E di sini bukanlah membawa maksud 'Empty', tetapi 'Enough-for-60km'.

Dalam erti kata lain, kereta kau boleh dipandu sejauh 60 kilometer dengan kelajuan di bawah 80kmj. Lagi perlahan dibawa lagi jauh kereta kau boleh pergi, dan kalau laju lagi sekejap minyak habis. Di sini, logik yang suruh kau bawa kereta perlahan bila meter minyak berkelip memang munasabah, bukan mitos.

Hukum 'Enough-for-60km' ini tertakluk kepada kereta standard kilang, bukan ubah suai taruk rim besar, enjin besar, spoiler besar, bamper besar atau segala mak nenek besar yang lain.

Amacam?

Rebiu: Ombak Rinduuuuu...

Friday, December 23, 2011 · Posted in

Lama aku nak tulis pasal rebiu filem ni, tapi aku sibuk amat. Sebenarnya, aku dah jarang tengok wayang, tambah-tambah lagi filem Melayu sekarang banyak yang bercerita pasal hantu dan kelakar bodoh.

Masa terluang aku banyak diisi dengan menonton bola sepak Inggeris dan saluran History, rancangan masak-masak serta hiburan suka ramai rakyat Malaysia sebagai cara meraikan kehidupan kapitalisme.

Aku pernah beri rebiu yang agak bagus untuk filem Cun karya Osman Ali, iaitu mengenai pertembungan kapitalis dan sosialis yang disatukan dengan cinta.

Namun, Ombak Rindu bukanlah karya asal Osman, sebaliknya naskhah adaptasi daripada novel popular dengan judul sama. Dalam erti kata lain, Osman sudah terikat pada naratif novel berkenaan yang bersifat cinta popular.

Hasilnya, ada banyak perkara yang membuatkan cerita romantik melankolik itu tidak begitu meninggalkan kesan. Ditambah pula dengan rebiu negatif oleh beberapa blogger yang mana semuanya memainkan peranan menghilangkan fiil aku terhadap filem ni.

Lakonan Maya ok, tetapi wajah pan asian dengan cakap pelat dan kening bercukur semacam tak kena dengan watak Izzah, gadis kampung yang digambarkan sebagai naif gila sampai tak tahu diri akan dilacur di sebuah disko. Walhal, ada satu babak imbas semula menunjukkan dia pernah dirogol pakcik yang sama.

Memang tak logik, tapi kalau kau rasa ok untuk ikut orang yang rogol kau untuk cari kerja di disko, aku tak boleh cakap apa-apa.

Lagi satu, aku semacam tak dapat terima kenapa Izzah merayu Hariz (Aaron) mengahwininya sedangkan mamat tu seorang pelanggan pelacur dan juga pernah main dengan dia.

Dalam novel Salina karya Pak Samad, kita dapat merasakan masalah psikologi dan gangguan mental akibat perang yang dihidapi Siti Salina hingga memaksa dia merelakan tubuhnya dilacurkan suaminya, si Abdul Fakar.

Tapi dalam Ombak Rindu, apa masalah psikologi dan sebab-akibat yang dialami Izzah hingga membuatkan dia merayu Hariz supaya mereka berdua berkahwin? Apakah kerana Hariz hensem? Apakah kerana ada nur di wajah Hariz? Ataupun kerana Hariz berprestasi super di ranjang?

Oklah, anggap saja ini semua sekadar plot fiksi yang mahu menceritakan betapa hebatnya konflik cinta agung antara Izzah-Hariz.

Ada lagi kesilapan Ombak Rindu, iaitu terlalu banyak sangat adegan menangis. Ada satu situasi menunjukkan tiga babak menangis secara berturutan. Bagi aku, apabila sesebuah filem itu terlalu banyak sangat adegan menangis atau sedih secara rali, ia akan jadi potong stim.

Cuba tonton filem Hindustan, setakat aku tengok, belum ada lagi filem yang memaparkan adegan menangis secara berturutan, di mana ia biasanya diselang-seli dengan babak bertumbuk, marah, kena maki atau lawak sebelum kemuncak cerita ditamatkan dengan aksi si hero menangis dengan mata merah menyala sambil melontarkan ayat-ayat puitis di majlis perkahwinan pengantin perempuan.

Ingat lagi Titanic, jangan lupa adegan super sedih hanya berlaku di hujung cerita ketika kapal agam itu karam ditelan laut yang menyaksikan Jack dan Rose bertarung nyawa dengan berpaut di papan hanyut.

Dalam filem tempatan, Sembilu II adalah contoh terbaik sebuah filem yang berjaya memaparkan babak sedih paling emosional dalam sejarah filem tempatan (jika mengambil kira kategori filem cinta komersil dan pop Melayu dan cinta remaja).

Babak ketika Awie melihat Wati (Erra Fazira) bersanding di atas pelamin bersama lelaki lain (nama apa entah mamat ni) sebelum menunggang motor dengan diiringi lagu Ukiran Jiwa adalah babak paling sadis dan paling meracik-racik jiwa (DIULANGI: jika mengambil kira kategori filem cinta komersil dan pop Melayu dan cinta remaja).

Sorry Osman, Ombak Rindu gagal berikan aku sebarang emosi cinta selain kerja kamera yang cantik.

Pasal kereta dan orientasi

Thursday, December 15, 2011 · Posted in , ,


Satu hari aku ada intebiu Along, pemilik Mira Gino original dari Jepun yang punya bengkel di Meru. Seperti biasa, sebelum hari intebiu tiba, aku akan ambil masa untuk studi serba sedikit pasal perihal tugasan aku dengan berguru kepada Lebai Google dan Prof Wiki.

Mira adalah kereta kelas kompak keluaran syarikat Daihatsu yang menjadi model rebadging kepada model Kancil, Kelisa dan Viva yang dihasilkan syarikat pembuat kereta nasional, Perodua.

Apa yang membuatkan Gino menjadi buruan peminat kereta kompak tempatan ialah faktor rare dan eksklusif model ini melalui reka bentuknya yang berkonsepkan Mini klasik. Dalam erti kata lain, Gino adalah alternatif terbaik bagi peminat Mini yang tak berapa cukup duit mau sambar kereta buatan Britain itu.

Apa yang menambahkan lagi faktor rare Gino ialah model ini sudah dihentikan pengeluarannya setakat generasi kedua iaitu pada 2009.

Di sini, jika kita melihat kembali kronologi sejarah reka cipta Jepun, kita akan menyedari betapa orientasi asal pereka dan industrialis di Negara Matahari Terbit itu ialah menghasilkan produk counter-culture kepada produk buatan Barat.

Beza Jepun dan Malaysia ialah Jepun bukan hanya bercakap mengenai serangan iluminati, penjajahan Barat atau bahana pasaran bebas di pentas ceramah dan e-mail forward, sebaliknya mengorak langkah menyerang semula serangan budaya Barat itu.

"Kau buat Superman, aku buat Ultraman," mungkin itulah yang dilaungkan Katsuhiko Okumura dan Koichi Ina, dua individu penting di sebalik Daihatsu.

Hasilnya, Gino dijual pada harga yang berkali ganda lebih murah berbanding Mini yang bukan saja menjajah Barat, malah negara-negara dunia ketiga yang suatu masa dulu pernah terpesona dengan propaganda 'Asia untuk Asia'.

Dan tiba-tiba aku terfikir, syarikat automotif kita sekarang ni orientasinya di mana? Mahu lawan siapa? Samurai atau koboi? Atau Batman?

.
.

"Aiseh bro, enjin tak cun sangatlah. Itu banana sudah tarik keluar?"

Sudah.. apa jadah pula banana dengan Gino?

Rasmi merasmi budaya kita

Wednesday, December 07, 2011 · Posted in ,


Di bawah kaki lima pejabat aku ada satu plak gangsa tertulis nama Anwar Ibrahim sebagai individu yang merasmikan pejabat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 1998, beberapa bulan sebelum beliau dipecat Mahathir.

Gambar di atas pula ialah poster perasmian lampu jalan di Chemor daripada wakil rakyat atau VIP entah apa nama aku tak kenal yang mengundang gelak berdekah-dekah di kalangan warga internet Malaya.

Aku ingat lagi masa zaman Mahathir dulu, apa saja projek kerajaan akan ditulis projek Barisan Nasional dengan bendera parti dilukis atas papan notis, satu propaganda Mahathir untuk menunjukkan kerajaan buat kerja dan langkah menepis dakwaan Pembangkang yang mengaku sesuatu projek itu dia orang buat.

Masalah suka show off atau tayang-menayang ini bukan saja penyakit juak kerajaan, tetapi juak pembangkang pun lebih kurang sama juga. Tak percaya tunggu musim perayaan, mesti ada naik poster rasmi majlis khatan, surau, gelanggang futsal, balai raya, padang bola dan ucap selamat raya macam-macam.

Soalannya, apa jadah semua perkara kita buat mesti VIP kena rasmi? Apakah kalau bangunan itu dirasmikan oleh Alexander the Great, maka ia dijamin tidak akan runtuh walaupun itu projek subkon makan lebih (rujuk kes Stadium Sultan Mizan).

Pensyarah aku pernah cerita kes pelajar dia jemput wakil rakyat untuk rasmi program gotong royong di fakulti, iaitu projek yang ada kaitan dengan markah periksa.

Malangnya, majlis perasmian yang patut mula jam 9 pagi tertangguh dan tak dapat dimulakan hingga jam 11 pagi, semata-mata mahu tunggu wakil rakyat tersebut. Dan bila wakil rakyat tu datang, dia pun terpinga-pinga kerana tak sangka begitu dahsyat upacara sambut menyambut yang dilakukan. Sudahnya, program gotong-royong cuma cukup syarat saja sebab hari pun sudah panas dan lebih baik masing-masing balik makan nasik.

Bagi aku, budaya rasmi-merasmi ini bukan salah wakil rakyat atau VIP, tetapi salah sikap kita sendiri yang terlalu angkat dia orang macam tu. Sama ada kau orang sedar atau tidak, budaya mengangkat VIP ni sebenarnya sudah ditanam, membenih dan berakar sejak sekolah lagi.

Lihatlah apa saja acara sekolah, untuk menampakkan betapa gah acara itu, maka dijemputlah orang pejabat pendidikan negeri datang. Untuk lebih king, dijemput pula wakil rakyat. Mahu lagi king kong dipanggil MB atau PM mencemar duli. Acara entah ke mana, berhabis duit saja yang banyak.

Aku tidak tahu apa signifikan seseorang VIP dengan sesuatu acara atau projek yang dibuat kerana apa yang aku faham, biar siapapun yang merasmikan sesuatu bangunan itu, ia sama sekali tidak dapat menghalang ia runtuh atau diruntuhkan ataupun menjadikan sesuatu projek itu sukses kalau yang buat atau urus projek itu terdiri daripada spesies yang bingai.

Kepada cikgu-cikgu, tolong hentikan budaya rasmi merasmi ini di sekolah anda dan mulakan sekarang. Kalau nak rasmi juga supaya tak melanggar adat budaya warisan bangsa (kononnya), minta saja guru besar buat (sebab dia VIP dan masih termasuk warga sekolah), tak payah orang luar. Nak jemput VIP luar juga tak ada masalah, tapi bukan untuk rasmi dan dibentang karpet. Kalau acara atau majlis sudah mula, tolong mulakan dan tak payah nak tunggu-tunggu bagai. Majlis kita, orang luar kena hormat dan ikut.

Rasmi-merasmi bukan penentu negara kau boleh jadi negara maju pun.


Penyakit baru ditemui

Tuesday, December 06, 2011 · Posted in , ,

Lif kat rumah flat aku jahanam. Berdasarkan statistik dua bulan aku di sini, dalam seminggu mesti dua tiga kali lif di sini rosak. Pernah aku balik kerja kena tunggu sampai tiga trip baru boleh masuk sebab kena bagi laluan kepada geng surau, geng warga tua, geng baru balik shopping bawa kotak besar, geng bawa anak taruk dalam stroller, geng budak main bola potong queue dan macam-macam geng lagi.

Kadang-kadang menyirap juga bila sampai giliran kau masuk lif tapi lif berbunyi sebab lebih muatan. Suka tak suka kau kena keluar dan tunggu lagi. Nak panjat tingkat 11 terasa sungguh berat bahu yang memikul, apatah lagi mata yang memandang.

Satu hari, selepas jenuh menunggu aku masuk ke perut lif. Aku senyum tanda hormat kepada dua orang pakcik, seorang berlenggang dan seorang lagi sedang memegang stroller yang berisi budak kecil, anaknya mungkin.

Lif turun dengan stabil dari tingkat 11 walaupun kedengaran bunyi kabel berkeciut menakutkan. Aku terbayang satu babak dalam 911, babak bomba selamatkan mangsa terperangkap dalam lif.

"Eh eh, dah lega dah chicken chop anak kau.."

"Ha ah, hari tu lagi banyak kuping. Sekarang dah kering"
.
.
.
Uhuk huk huk hukk... Aku buat-buat batuk..

Kita yang rasis

Thursday, December 01, 2011 · Posted in , , ,


Tipulah kalau kau cakap kau tak rasis. Tidak perlu kau dengar ucapan persidangan UMNO, Pas, PKR ataupun DAP untuk mencari di manakah rasisnya politikus kita.

Bagi aku, politikus dan kita sebenarnya sama saja. Kong kali kong. Contoh mudah, bila kita dengar ada eksiden, jenayah, musibah atau apa-apa berita buruk, satu soalan yang wajib ditanya ialah: "Eh, yang mati tu Melayu ke Cina?"

Selagi kau tak boleh elak daripada bertanya soalan macam tu, sama ada secara terang ataupun terdetik dalam hati, selagi itulah kau tak boleh nak cakap kau jenis yang tak rasis langsung.

Terpulanglah kalau kau rasa perkara ini tak ada poin, kes berat atau tahap membimbangkan tapi OK, namun hakikatnya, soalan yang jelas rasis ini sudah menjadi psych dalam diri kau secara tanpa sedar.

Cuma satu saja berita buruk yang kita takkan tanya soalan rasis macam atas tu, iaitu berita tangkap khalwat. Dan inilah salah satu didikan mulia Metro. Ceh.

Powered by Blogger.