kenangan yang berbaki [part 9] - dari pasir gudang ke alor star

Monday, August 04, 2008 · Posted in

KENANGAN YANG BERBAKI [PART 9] - DARI PASIR GUDANG KE ALOR STAR

Awal 2001 aku habis belajar kat Johor sana.

Jadi nak bikin rekod personal yang memorable punya pasal aku pelan dengan Syam mau buat rekod peribadi balik ke utara naik motor.

Ingat. Bukan dari Alor Star ke Anak Bukit. Tapi dari Pasir Gudang ke Alor Star. Motor kami kapcai saja. Bukan Hayabusa. Bukan YZR.

Sebenarnya, tak ramai yang sanggup menyahut ekspedisi maut lagi serba mencabar ni. Yang sanggup aku, Syam, kawan Syam budak engine [aku lupa nama dia. jadi aku gelarkan dia Jamal], kawan kepada kawan Syam [aku gelarkan dia Rais].

Selepas isi minyak kat Projet [masa tu kat Johor saja yang ada stesen minyak ni] dan bersarapan apa yang patut , kami cargasss!! Jam 10.30 pagi.

Sampai Batu Pahat, Rais hilang. Bukannya dia sesat tapi sebab kampung dia kat situ. Jadi tinggal kami bertiga.

Masa tu kepala memang ting tong gila. Tapi perjalanan mesti diteruskan. Nak keluar dari bumi Johor saja pun aku dah rasa macam perjalanan dari Jemapoh ke Manchestee. Lamaaaaa...

Ada sekali tu masa berhenti tepi jalan tiba-tiba aku rasa anu aku hilang. Serius tak rasa apa-apa. Jenuh aku pegang-pegang. Lompat-lompat. Pucat gila muka aku masa tu. Syam tanya,"Hang ok ka?" Sebagai seorang hero mestilah aku jawab,"Ok ok." Beberapa minit selepas buat aksi senam kucing dan lompat bintang barulah aku rasa kewujudan semula anu aku tu dan aku sengih sorang-sorang. Syam cakap aku gila.

Jam 11 malam kami sampai di RnR Sungai Buloh. Pekena nasi lemak. Teh tarik. Tidur seround lebih kurang 3 jam. Lepas tu gerak lagi.

Dua jam kemudian tiba-tiba perut aku naik mual. Peluh dingin merecik keluar ikut dahi dan belikat belakang. Aku jerit bagitau Syam, aku pening!!

Sekali lagi kami berhenti tepi jalan. Aku buka helmet [tak ada visor]. Aku buka jaket. Jalan senget-senget. Syam tanya lagi, "Hang ok ka?" Dan sebagai seorang hero mestilah aku jawab,"Ok ok." Buwarrrggggghhhhh.. Segala macam nasi lemak dan teh tarik keluar dari perut ke mulut. Rugi aku makan kat RnR tadi. Syam rilek saja tepuk-tepuk belakang aku. Tapi dalam hati siapa tau. Haha!

Peliknya, lepas muntah aku ok. Macam dapat energi baru. Mata terang. Stamina tip top. Jadi perjalanan diteruskan lagi. Lamaaaaa...

Sampai Tanjung Malim tayar motor Syam pancit. Nasib baik Syam ada bawa tiub. Sup sap sup sap siap. Kami keluar hiway cari bandar terdekat. Tukar tiub lagi sekali sebab tak konfiden. Perjalanan diteruskan lagi. Lamaaaaa...

Sampai Ipoh, Giliran Jamal sampai rumah. Selepas bersalam lebih kurang kami terus gerak lagi. Lamaaaaaaaaaaaaaaa...

Nak tau jam berapa aku sampai rumah? 4.30 petang. 30 jam! Maknanya, kalau kau gerak 10.30 pagi hari ni, kau sampai 4.30 petang esoknya.

Sampai rumah aku rasa betul-betul macam hero baru balik berperang. Gaya jalan pun dah macam Usop Sontorian. Kalau aku jadi menteri masa tu dah tentu aku kena tuduhan liwat esoknya.

Masuk saja bilik aku terus tumbang. Dua hari buntut aku kebas. Sejak hari tu aku buat akuan bersumpah, kalau ada sesiapa nak buat trip macam tu lagi kirim salam sajalah. Lebih baik bagi kat peserta Olimpik kita.

Sekian, terima kasih.

blog - satu eskapisme utk manusia2 ordinari

Friday, August 01, 2008 · Posted in

BLOG --> SATU ESKAPISME UNTUK MANUSIA-MANUSIA ORDINARI

Kalau tak silap aku Mat Jan [cari sendiri link kat kolum kanan] ada pernah tulis entri tentang persamaan blog dan karaoke. Aku cuma ulang sikit.

Ok. Tulis blog ni lebih kurang macam menyanyi karaoke. Dulu orang yang ada suara saja yang berpeluang pegang mikrofon, menyanyi dan dengar suara keluar ikut speaker besar. Bila wujudnya karaoke, semua orang sudah boleh menyanyi. Sedap ke tak itu sudah jatuh nombor 18.

Samalah juga blog. Dulu orang yang boleh menulis saja yang akan merasa karyanya dicetak, dibaca. Kalau orang-orang biasa ni cuma tulis dalam diari. Tapi Siti Nurhaliza kata, tulis namaku dalam diari hatimu [kalau nyanyi part ni kena pejam mata sambil genggam tangan]. Apa kes?

Memang dah lama aku nak ajak kengkawan aku join blogging ni. Tapi tak ada siapa pun yang boleh blah. Yang betul-betul passion. Tapi sejak krisis global [lagi] dan juga krisis negara yang melanda sejak kebelakangan ini, tiba-tiba sahaja aku dapat provok nafsu diorang untuk menulis. Untuk diorang rasa hip kalau menjadi seorang blogger.

Bagus atau tak penulisan blog kau, itu bukan penting sangat pun [sebab kau bukannya sasterawan].

Tapi setidak-tidaknya menulis blog buat kau soal diri sendri, "Apa entri best aku nak tulis hari ni hah."

Ya, blog sudah jadi mesin masa untuk kau. Mencatat apa sahaja yang kau rasa. Lalui. Fikir. Dan kau tak biarkan hidup kau terlepas begitu sahaja tanpa momen-momen bernilai. Blog sudah jadi satu eskapisme untuk hidup kita yang penuh keluh kesah.

Ok. Julai sudah mahu habis. Julai juga menyambut usia 4 tahun aku berblog. Julai ini juga aku rasmikan kelahiran blog kawan-kawan featuring aku.


klik banner di atas untuk menjadi hensem

dalam jiwa ada rempit

Wednesday, July 30, 2008 · Posted in

DALAM JIWA ADA REMPIT

Bila aku bawa motor laju-laju bukanlah bermakna aku ni seorang mat rempit. Itu fakta. [sebenarnya aku sendiri pun tak jelas apa klasifikasi mat rempit sebenarnya]

Buktinya, motor aku standard. Dan aku tak bawa awek tonggek. Dan aku ada lesen motor dan cukai jalan. Dan aku ikut peraturan [ikut situasi. Hehe].

Tapi sejak kenaikan harga minyak bahana krisis global, nafsu aku untuk memerah habis terotel sedikit sebanyak terbantut.

Kenapa?

Pertama. Aku mesti ubah gaya hidup. Jadi aku setuju dengan fakta yang mengatakan kelajuan di bawah 80km sejam itu boleh menjimatkan minyak. Hasilnya, minyak motor aku dapat ekstra sehari.

Kedua. Biarpun naluri 'kelajuan' dalam diri aku ni memang tak dapat dibuang. Tambahan lagi bila tangan ni memegang terotel. Kira nak pusing habis saja. Tapi aku sabar. Sabar itu separuh daripada iman. Ok. Aku terima. Dan aku tak kisah pun pakcik-pakcik Honda cub potong aku. Mamat-mamat Pizza dan McD potong sailang [baca: silang] pun aku rilek saja. Sabar. Sabar.

Tapi kalau dah bertubi-tubi aku dipotong tanpa belas kasihan sejak 2 bulan lalu, ini macam mana boleh jadi!

Jadi, aku ambil keputusan. Semalam. Di sepanjang hiway Bukit Jelutong. Aku pusing habis terotel sampai geli tapak kaki. Laju tetapppp lajuuuuu..
.
.
Laju ku laju dan tuju kan ku tuju..
Hujung garis ku tawan terhitam putihlah jajahku..
[bila bawa motor laju kau kena nyanyi lagu fast beat]

i am single

Monday, July 28, 2008 · Posted in

I AM SINGLE

Beberapa hari nan lalu. Aku lepak kat Soto Seksyen 8, Shah Alam. Restoran yang ada teh ais tersedap di dunia. Tapi sekarang dah kureng sikit umphh.. Aku rasa mesti sebab minyak naik. Jadi, pak menteri mana nak bawa kes ni masuk parlimen ni? Jawab sikit.

Ok. Ahli jemaah hari tu. Aku. Jarul. Pian [yang baru sebulan kawin]. Bini dia. Kami order makanan dan minuman. Of course aku order teh ais yang tersedap di dunia. Takkan air bateri kot.

Makan punya makan. Minum punya minum. Ada sorang neng datang mau kira. Neng tu tanya. "Sekali ke asing asing?"

Aku jawab, "Asing asing".

Tiba-tiba Pian menyampuk, "Kami dua kira sekali. Ni isteri saya ni. Hah, diorang ni kira sekali. Hahaha!"

"Kira sekali eh?" tanya neng dengan senyum mengulum.

Pekak ke apa? Masa tu aku dapat dengar dah berbakul-bakul Jarul maki dalam hati. Tapi aku kool saja. Aku jawab, "Tak tak. Asing asing."

Memang agak kurang ajar lawak Pian dan senyum lain macam neng tu. Tapi aku takde hal punyalah. Apalah sangat gurau kawan-kawan ni. Mana boleh ada heart feeling.

Tapi kalau dah 2-3 kali aku turun dengan Jarul neng tu asyik dok tanya, "Awak dua ni kira sekali eh?" sambil senyum-senyum memang aku rasa macam nak sumbat gelas teh ais ni dalam lubang hidung dia!

Cait!!

apa barang proton..

Thursday, July 24, 2008 · Posted in

APA BARANG PROTON..

Kata MB Terengganu kita tentang Proton Perdana.

-kenderaan yang tidak ekonomik, kos penyelenggaraannya tinggi, sering rosak, tidak lasak untuk kegunaan jarak jauh-

Lepas ni tak hairanlah kalau berbondong-bondong pak-pak menteri kita semua ikut keluar kenyataan yang sama. Semuanya pakat tunjuk resit maintenance kereta Proton masing-masing. Bezanya diorang mungkin bukan setakat ambil Mercedez. Tapi Lamborghini. Subaru. BMW.

Kenapakah ini terjadi?

Pertama. Perasaaan skeptikal dengan produk Malaysia sememangnya dah berakar umbi dalam sanubari. Itu fakta. Titik.

Kedua. Merujuk statistik terkini, perasaan bongkak dan sombong rakyat Malaysia tentang produk tempatan sudah jatuh nombor 344 [saja aku letak nombor ni bagi nampak sensasi numerikal]. Jangan kata nak lawan Korea atau Taiwan, nak lawan negara Asean pun dah tak boleh dah.

Ambillah apa produk pun. Filem. Buku. Kereta. Buah. Baju. Kain. Kalau ada pun yang jadi pilihan cuma kicap cap kipas udang saja.

Mungkin aku serkap jarang saja. Mungkin kereta Proton pak-pak menteri lain tak macam kereta Proton di Terengganu yang sikit-sikit rosak. Sikit-sikit rosak. Apa cerita? Tolong jawab sikit pusat servis Proton Terengganu?

Ketiga. Yang ni bagi Proton jawab sendirilah. Aku baru saja planning mau angkat V6 buat hantaran nanti. Kalau macam ni cancel-lah. Hehe.

Powered by Blogger.