kembara si raja cincin (part II)

Sunday, March 12, 2006 · Posted in ,

KEMBARA SI RAJA CINCIN (PART II)

Al-Kisah.

Raja Cincin ialah seorang raja yang kaya di negeri KAYA RAYA tetapi tidak tahu apa-apa tentang rakyatnya yang melara. Hidupnya sehari-hari membilang harta dan menempeleng rakyatnya yang tidak berdosa. Para pembesarnya pula menjadi tukang angguk dan pembaca akaun harta-harta baginda.

Ditakutkan dengan kata-kata seorang tua bijaksana bahawa jari-jarinya akan membunuh diri dengan mengudungkan diri masing-masing maka Raja Cincin keluar mengembara untuk menjual cincin-cincinnya ke negeri-negeri timur berpandukan arahan lima jari-jarinya yang muncul tiba-tiba.

Dengan meninggalkan negerinya di bawah tadbir tukang kebun, baginda mengembara jauh menemui pelbagai manusia. Ada negerinya dalam perang yang belum usai. Ada negeri yang terlalu zuhud manusianya. Ada negeri yang daulatnya adalah nafsu dan dunia semata. Ada pula negeri yang manusianya hanya tahu bercinta sahaja. Bertemu dengan makhluk aneh bernama Binatang Manusia, akal Raja Cincin semakin diakali. Raja Cincin diajar tentang apa itu sejahtera, agama, dunia dan cinta.

Raja Cincin dipaksa belajar daripada kembaranya itu dan kembara baginda dalam menjual cincin banyak mengajarnya tentang sesuatu.....


Hamba Rakyat: Tapi ini bukan emas. Warnanya saja emas dicelup dari Siam, Tuanku.

Jari Kelingking: Patik pula hanya mampu mengorek tahi hidung Tuanku sahaja.

Raja Cincin: Wah..., kamu tak kenal beta? Betalah Raja Cincin dari negeri Kaya Raya. Kamu tak belajar geografikah?

Pemuda: Buat apa nak tahu negeri orang sedangkan negeri sendiri pun banyak yang kita tak tahu.

Orang Tua: Kalaulah suatu hari nanti semua jari-jari Tuanku membunuh diri dengan mengudungkan diri mereka mungkin pada masa itulah baru Tuanku sedar betapa berjasanya jari-jari Tuanku. Mana Tuanku hendak sarungkan cincin-cincin Tuanku ketika itu? Kat lubang hidung? Atau pun kat jari kaki Tuanku pula?

Raja Cincin: Cinta memang perlu dalam hidup manusia. Tapi manusia sepatutnya mengawal cinta dan bukannya cinta mengawal manusia. Manusia yang dikawal cinta akan lemah dan lesu jiwanya. Akhirnya hidup dalam awan-awangan dan tak berpijak di bumi nyata. Sebabnya kerana cinta kepada manusia itu akan binasa akhirnya. Sebab itu jugalah banyak manusia gila kerana cinta. Cinta pula tak pernah gila kerana manusia.

Binatang Manusia: Bukankah ada manusia binatang. Mestilah ada binatang manusia.

Tukang Kebun: Tuanku di istana Tuankulah. Takkan kat dalam hutan pula. Kami lihat Tuanku terbaring kat luar istana tadi. Kenapa tak sms saja yang Tuanku mahu pulang.

.
.
.

Masanya makin hampir. Kembara Si Raja Cincin. Jeng! Jeng! Jeng!

Powered by Blogger.