ya, bas ada sekarang.

Thursday, February 01, 2007 · Posted in

YA, BAS ADA SEKARANG

Aku penat. Aku ambil tiket 7.30 malam. Boleh turun sekarang ye, ujar kakak di tepi kaunter memberi aku penuh keyakinan.

Turun ke platform 2, Pudu Raya. Beramai-ramai membuntuti seorang mamat berambut puing keperangan ke seberang jalan, bersebelahan sebuah restoren mamak.

Ramai terkandas. Ada yang beli tiket jam 6.30 petang tadi pun belum naik lagi. Aku sudah rasa lain macam. Bas datang. Semua berebut. Jenis dan warna tiket tak dipedulikan lagi. Aku sendiri tak tahu sama ada kami semua dalam syarikat bas yang sama atau tidak. Aku tengok kau. Kau tengok aku. Ah, masuk sajalah. Semua sudah tak ikut Rukun Negara lagi. Individualistik lebih penting.

Dan bas pun penuh. Tapi aku lima terakhir yang tiada tempat.


AWEK YANG MENGUNYAH TWISTIES

Aku tunggu 2 jam. Aku jadi bosan. Dua kali aku naik ulang alik dari tempat tunggu bas ke stesen. Mula mencari kakak kaunter tadi. Tiada. Aku buka tiket. Tak ada nombor telefon langsung. Aku rasa betul-betul teraniaya.

Aku keluarkan duit. Aku beli tiket satu lagi. Kali ni betul-betul pada kakak di dalam kaunter. Bas Etika. Hmm. Harga tiket aku sudah sama macam harga tiket Alor Star ke JB.

Aku kena tunggu lagi 2 jam sebelum bas datang pukul 12.15 pagi nanti. Aku penat. Marah masih bergelut. Caci maki tersimpan-simpan.

Ada awek cun tengah makan Twisties dan kunyah mangga potong bersama rakan-rakannya. Sesekali mencuit pipi seorang anak kecil di sebelah. Nampak sungguh keibuan. Barangkali resam perempuan begitu.

Pada keindahan, marah aku reda sedikit demi sedikit.


ABANG, SAYA MAHU DUDUK TEPI TINGKAP

Aku naik bas. Aku orang ketiga. Jadi aku dapat duduk tepi tingkap. Beberapa minit kemudian datang teman di sebelah. Aku senyum. Dia cakap, abang, Tiket C sebelah dalam. Tiket B sebelah luar.

Aikk. Macam tu pula?

Aku bangun. Aku injak ke sebelah. Hati aku menyumpah-nyumpah.


CUTI

Untuk orang KL. Selamat Hari Wilayah.
Untuk orang India. Selamat Hari Thaipusam

Sebagai warga Malaysia yang tipikal. Aku hargai cuti-cuti yang sekejap ini.

Powered by Blogger.