mencari jaya

Thursday, November 11, 2004

mencari jaya



Raya lambat lagi daa... Jadi aku nak bercerita mengenai Deepavali dan Jaya.

Korang ada kawan India yang paling baik? Aku ada...!

Nama dia Jayaprakash a/l Subramanian. Dia adalah kawan sekolah aku yang paling ngam dalam banyak kawan India yang aku temui. Oleh sebab dia golongan minoriti dia selalu dibuli oleh kawan-kawan di sekolah. Tetapi dia pasrah. Aku pun selalu buli dia juga tapi aku baik dengan dia. Aku bangga!

Kami gemar menonton filem Jackie Chan. Kami akan mengayuh basikal bersama-sama ke panggung Cathay, Alor Star yang dipenuhi tikus-tikus longkang. Adli si jurnalis Majalah 3 pun ada bersama. Sebenarnya aku pernah mahu mengajaknya menonton filem Sembilu yang tengah top ketika itu tetapi aku terpaksa membatalkannya kerana takut dia akan mengajak aku menemannya menonton filem Tamil pula.

Jaya pernah menceritakan aku tentang kitab-kitab dewanya. Ada dewa berkepala gajah dan dewa berperut buncit. Asal dua dewa tersebut ialah adik beradik tetapi mereka bergaduh. Dalam pergaduhan tersebut dewa perut buncit (masa tu perutnya masih steady) telah memenggal kepala dewa kepala gajah (masa tu berkepala manusia lagi). Kepala dewa kepala gajah itu terjatuh di hadapan seekor gajah dan gajah itu berasa kasihan lalu memberi kepalanya sebagai ganti. Dewa perut buncit itu pula dimurkai tuhan dan dihukum berperut buncit. Jaya begitu bersungguh-sungguh bercerita kepada aku ketika itu. Aku pun tak tahu kenapa. Percayalah!

Jaya paling menyukai subjek Bahasa Inggeris. Mungkin sebab ayatnya yang sudah sedia terbalik. Subjek yang paling dibencinya pula ialah Bahasa Melayu kerana dia sering tersasul dan menterbalikkan ayat. Sebelum itu aku ingat orang India hanya menterbalik ayat seperti 'makan apa?' kepada 'apa makan?' tetapi Jaya telah menterbalikkan ayat Tamadun Islam kepada Tamudan Islam. Hahaha....

Ayah Jaya bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Pengguna. Jadi banyaklah aku membeli kaset cetak rompak dan seluar jeans pada harga murah daripadanya... Terima kaseh, Jaya! :)

Selepas dapat result SPM dia berpindah mengikut bapanya. Entah ke mana. Lepas tu baru aku sedar betapa susahnya mahu berkawan dengan bangsa lain kerana faktor populasi kaum dan gaya sosial yang banyak menghalang.

Kita memang tidak pernah bergaduh sesama kaum tetapi sedar atau tidak sedar jurang kaum di Malaysia semakin jauh. Aku terpaksa akur sehingga kini aku tidak ada langsung kawan berbangsa lain serapat Jaya.

Tahukah anda bahawa kita hanya dipaksa berkomunikasi dengan kaum Cina atas urusan perniagaan dan kaum Cina pula dipaksa berurusniaga dengan kaum Melayu atas urusan kerajaan. Kalau India pula atas urusan apa? Mungkin atas urusan menggunting rambut atau pun memotong rumput di halaman rumah kot. Kalau tak kerana semua itu kita takkan berkomunikasi langsung. Kita bagaikan sekawan itik, ayam dan kambing. Masing-masing buat hal sendiri.

Ya, rakyat Malaysia semakin prejudis. Kawan aku, Syam tidak dapat mengelak dari berasa hangin semacam setiap kali dia melihat orang Cina. Aku tanya, kenapa? Dia cakap entah, tak tahu kenapa. Oh.., dia orang Penang rupanya. Patutlah...

Aku pun tidak dapat mengelak dari mempunyai perasaan tidak menyukai bangsa-bangsa lain. Mungkin atas sebab kewujudan mereka yang menumpang tanah tumpah nenek moyang kita. Tetapi itulah takdir. Siapa kita untuk menyalahkan takdir?

Jaya telah mengajar aku agar jangan terlebih dahulu menyarung rasa prejudis kepada kaum lain. Betapa perlunya kita menghargai dan saling bertoleransi.

Selamat hari Deewali untuk Jaya dan bangsanya. Masa barangkali menjauhkan kita tapi kenangan akan tetap hijau dan takkan layu. Deepavali selalu memaksa aku mengingatimu...

Kelambu: Suka capati!

Powered by Blogger.