kehilangan

Saturday, November 13, 2004

kehilangan

Sebelum ni aku ingat kes-kes perempuan mati bersalin hanya akan terjadi pada zaman dulu-dulu saja sebab tak ada teknologi perubatan yang secanggih hari ini. Tapi aku silap kerana kejahilanku...

Dalam sehari menyambut raya yang bakal menjelang aku terima panggilan Johan beberapa minit lagi sebelum waktu berbuka. Dalam keadaan telefon aku yang berbunyi seperti digigit tikus, Johan bagitau kakak dia, Kak Nani dah tak ada. Lepas berbuka aku gegas ke rumahnya dengan Man...

Katanya, darah tumpah sebab rahim tak kuat dan tidak mengecut. Kemudian doktor memutuskan untuk menjalankan satu pembedahan membuang rahim. Selepas pembedahan arwah dikejarkan ke ICU selepas tidak sedarkan diri. Arwah meninggal petang itu juga pada pukul 6.30 meninggalkan suami dan dua orang anaknya. Anaknya yang baru dilahirkan selamat di hospital. Kasihan dua beradik tersebut ditakdirkan menjadi yatim semuda usia begitu....

Kata Johan lagi, kakaknya pergi tanpa tanda. Ketika mereka masih lagi bersembang-sembang dan berbicara. Ketika mereka masih lagi sempat bergurau senda...

Aku baru jumpa kakak dia minggu lepas. Ya, dia terlalu baik dengan aku. Sekarang orang yang menggelarkan aku Ann Lasso sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi orang yang akan menjerit-jerit memanggil Johan setiap kali aku datang ke rumahnya...

Kematian arwah membuat aku memikirkan tentang perempuan bergelar ibu. Benarlah, melahirkan manusia itu bagaikan telur di hujung tanduk. Aku hanya dapat membayangkan tetapi manusia bergelar perempuan sahaja yang akan merasakan. Tiada apa yang lebih mengagumkan aku pada seorang perempuan itu selain ketabahan melahirkan anaknya. Sekalung penghargaan untuk mereka...

Takziah untuk Johan dan keluarga. Pasti berat kehilangan yang terpaksa diharungi tambahan lagi dengan persiapan sempena hari mulia yang bakal menjelma.

Kehilangan adalah sesuatu yang memeritkan dan kita dipaksa menerima kerana kita hanyalah hamba-Nya yang tidak terlepas dari diduga. Pasti ada hikmah terencana. Arwah syahid di bulan Ramadhan. Doakan balasan syurga ke atasnya... Amin...

Kelambu: Al-Fatihah....

Powered by Blogger.