Archive for March 2010

Bukti Kejatuhan Panggung Rex di Alor Setar

Saturday, March 27, 2010 · Posted in

Ini tiket wayang tahun 1997. Cerita Batman and Robin. Budak-budak zaman GSC, TGV sekarang ni jangan harap nak masuk panggung wayang ada kipas kilang dan tikus melintas bawah kaki sambil makan Super Ring dan buang kulit kuaci depan kerusi.

Dulu tengok wayang RM4 saja. Itu pun dah kira mahal. Ada duit lebih sikit boleh masuk Kelas Khas. Tapi, manusia yang selalu duduk atas ni puak-puak nak beromen saja. Sebab gelap macam dalam gua.

Siapa nak tiket ni, aku jual RM2,000. Tak ada tolak ansur.

Panggung Rex Alor Setar, Jalan Putra, 2009. Tauke panggung sudah bungkus dan sekarang jadi tempat jin bertandang. Kalau biar lama sikit, mungkin boleh lawan kota A Famosa di Melaka sana. - kredit Pak Omaq

Persamaan Monyet dan Manusia

Thursday, March 25, 2010 · Posted in

Satu hari aku tengok tivi. Gambar orang menari tonggek-tonggek. Mak lalu belakang. Aku tak perasan. Biasanya kalau lalu depan, aku akan tukar TV1. Bicara Mufti dan Hari Ini Dalam Sejarah jadi pilihan.

"Tertonggek-tonggek. Tertonggek-tonggek. Cuba tutup suara tengok," mak.

Aku tekan butang tivi. Dulu tak ada remote lagi. Tivi kecil saja jenama Sharp. 14 inci. Dulu siapa ada tivi 21 inci, tambah-tambah Sony skrin rata, tak malu nak ajak kawan datang rumah tengok video cerita Rambo.

Tivi jadi senyap. Gambar orang menari masih ada.

"Cuba tengok macam apa?"

"Macam apa?" aku

"Cuba tengok betui-betui."

"Macam apa?" aku picing mata

"Macam monyet!"
.
.
Sejak hari itu, setiap kali aku tengok orang menari aku akan senyum sorang-sorang.

Tragedi Bas Ekspres

Monday, March 22, 2010 · Posted in

Tadi, ada sekeluarga naik bas mahu ke KL. Pertama kali mungkin. Langit cerah suasana girang.

Tapi baru sejam bertolak, anak pertama sakit perut. Si bapa gegar drebar bas minta berhenti hentian sebelah. Dalam setengah jam, selesai. Bas kemudian teruskan perjalanan dan berhenti pula di RnR rasmi.

Baru saja sejam bertolak dari RnR, anak kedua pula sakit perut. Bapa mula bengang. Selepas mengambil kira soal reputasi dan tak nak menyusahkan penumpang lain, si bapa nekad tak nak berhenti. Anak dah menangis teresak-esak sakit perut.

Sampai satu tahap, isi perut si anak terburai. Bapa dengan muka macam nak telan orang sekali lagi gegar drebar bas minta berhenti. Dia punya bau, astaghfirullah.. Bak kata kawan hamba dulu, bau asap lori lagi sedap.

Bas berhenti. Bapa mendukung anak yang tengah mengepit seluar, takut berjejer. Dalam setengah jam, selesai. Anak masuk bertuala sebab seluar disimpan bawah kabin. Aku keluarkan buku, sedut bau kertas.

Begitulah, kawan. Sudah aku katakan, menaiki bas sama seperti membeli nombor. Ini semua pertaruhan, perjudian.

Kaitan Retorik Universiti dan Cinta

Tuesday, March 16, 2010 · Posted in

1. Adik-adik. Masuk universiti dan tamat pengajian bukanlah jaminan menjadi kaya atau mendapat pekerjaan hebat seperti dibayangkan. Itu cuma retorik pendidikan.

2. Tapi, itu tidak bermakna kau perlu campak keinginan kau untuk menjadi pelajar universiti.

3. Aku cuma mahu kau tanya kepada diri sendiri, kenapa kau masuk universiti?

4. Dan apabila kau bergelar graduan dan bergaji kecil berbanding kawan kau yang cuma lepasan menengah tapi bergaji kencang, apakah kau menyesal kerana menjadi pelajar universiti?

5. Dan apabila kawan kau itu, yang cuma lepasan menengah tapi bergaji kencang, mendabik dada kerana mampu hidup mewah dan tidak seperti kau yang bergelar graduan tapi berstatus buruh kasar, apakah kau berasa sakit hati dan cemburu dan menyesal kerana menjadi pelajar universiti?

6. Adik-adik, menjadi pelajar universiti dan menjadi kaya adalah dua dunia yang amat berbeza.

7. Ia sama seperti bercinta dan selepas itu berkahwin. Apakah kerana kau tak dapat berkahwin, maka kau menyesal bercinta? Ya, bercinta dan berkahwin adalah dua dunia yang amat berbeza.

8. Aku cuma mahu kau tanya kepada diri sendiri, kenapa kau masuk universiti?

9. Hmm, boleh tahan juga entri gaya Cik Sri Si Antan ni.

10. Selamat beruniversiti dan berpengajian tinggi.

Belalang Masak Kunyit

Tuesday, March 09, 2010 · Posted in

Satu petang. Tak ada siapa di rumah. Cerita tivi pun tak best. Nak main internet, TMnet tak ada lagi masa tu. Nak ajak Muthu main basikal, baru tadi aku dengar dia kena sebat dengan auntie Rubi. Bukan sebab dia minum arak, tapi aku syak dia tak lulus BM. Nak ajak Jonid, rumah jauh. Lagipun time ni Jonid kena hafal kali-kali.

Selepas puas berfikir. Jadi hari ini, aku buat keputusan nak jadi tukang masak. Hmm.. nak masak apa haa? Aku teringat Suria Perkasa Hitam. Aku teringat belalang.

Aku ke dapur, capai pisau dan bergegas ke belakang rumah. Aku cari belalang bersaiz matang dan masukkan dalam plastik jernih. Kawan, tak adalah susah sangat menangkap belalang. Lebih susah lagi menangkap hati seorang perempuan.

Cukup 10 ekor, aku balik semula ke dapur. Cari papan siang. Selepas baca Bismillah, aku sembelih kepala belalang satu persatu dan mereka mati seekor demi seekor. Aku sudukan kunyit dan gaulkan bersama garam. Sambil menggaul, tidak lupa minyak di dalam kuali dipanaskan.

Untuk menguji tahap kepanasan, aku percik sedikit air basuhan yang masih melekat di tapak tangan. Jika bunyi berdenting lain macam, itu tandanya minyak sudah panas.

Aku campak 10 ekor belalang sekaligus. Terus meletup-letup tubuh belalang berkunyit digigit minyak panas. Selepas lima minit menggoreng, hidangan diangkat dan ditoskan di atas Utusan Melayu. Ada gambar Che Det senyum sebelah Proton Saga. Dua tiga kali aku tengok hidangan belalang istimewa tu sambil garu-garu kepala.

Tiba-tiba Jenab melintas. Rezeki kaulah Jenab oii...

Sudah Tiada Hero Di Hati Kita

Monday, March 01, 2010 · Posted in

1. Setiap kali apabila berlaku kejadian jenayah di depan mata, brader yang dah kahwin akan cakap, aku ada anak bini nak tanggung. Susah! Brader bujang pula cakap, aku tak kahwin lagi. Amal ibadat pula tak banyak.

2. Kadang-kadang pernah juga kita dengar ayat ni, kalau ada orang first belasah mamat tu, aku follow!! Sudahnya, masing-masing tak buat apa sebab tunggu orang first tak keluar-keluar.

3. Kenyataan-kenyataan berantai beginilah punca adik Syafia Humaira ditendang macam bola.

4. Banyak lagi cerita jenayah lain seperti kes ragut, rompak, cabul dan pukul perempuan depan orang ramai. Persamaannya, semua tengok saja sambil berdoa hero akan datang sebelum sama-sama membantu.

5. Kita patut mengaku bahawa kita masing-masing sebenarnya takut mati. Perasaan tak berbaloi mati kerana menyelamatkan orang yang tidak dikenali sangat menebal.

6. Semakin moden kita, semakin takut kita kepada kematian.

7. Tidak malukah kita mengaku hero hanya kerana kita punya kumpulan yang besar dan kuat, tetapi bacul mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan nyawa orang lain demi kebenaran ketika bersendirian.

8. Seorang brader mati ditikam kerana cuba selamatkan seorang mangsa ragut, lapor akhbar beberapa tahun dulu.

9. Kematian brader tu buat aku tertanya, apakah berbaloi mati menyelamatkan orang yang tidak dikenali?

10. Soalan berikutnya ialah, apakah aku berani menjadi hero sehingga sanggup menggadaikan nyawa?

11. Jawapan aku, semakin moden kita, semakin takut kita kepada kematian.

Powered by Blogger.