meneman ibu

Tuesday, September 14, 2004

meneman ibu...

Kalaulah tiada kehilangan dan perpisahan di dunia ini pasti hidup manusia itu akan dihujan gembira semata. Kerana kehilangan dan perpisahanlah banyak mengajar seseorang itu agar lebih merenungi dan menghargai. Ada juga yang akan saling menyalahi sedangkan mereka seakurnya tahu dunia itu sendiri wujudnya adalah natijahnya akan dibinasakan dan dipisahkan dari hidup manusia itu sendiri.

Dan aku selalu diajar tentang pengalaman-pengalaman itu. Kehilangan insan-insan yang disayangi kadang-kadang membuat jiwa aku kosong. Dua minggu yang sangat mengejutkan. Mak Ngah dan Uwan yang dijemput Ilahi.

Aku hanya mampu geletar menahan tangis di rantauan. Kadangkala rasa diri sedikit bongkak mementingkan diri dengan sekumit tugasan. Aku tahu kiranya aku pulang aku akan terus diserabut fikiran dan jiwa.

Di Shah Alam aku cuba menahan. Selalunya aku selalu beranggapan gelak tawa kawan akan menghilangkan cerita2 luka diri dan pergi jauh. Tapi tiba2 aku tidak mampu. Hati aku membentak memarahi diri. Keikhlasan dan pemberian kepada rakan2 menjadi sesuatu yang amat menyakitkan. Rasa itulah yang membuatkan aku memarahi diri sendiri. Dan kerana rasa itu jugalah aku memutuskan mahu sendirian melarikan diri dari bingit kawan. Maaf!

Aku mahu dekat dengan mama yang sepi dan baring di sebelahnya. Najib semakin remaja dan lasak dengan aktiviti sekolahnya. Mahfuzah semakin jarang pulang kerana sibuk di matrikulasi. Abang masih di negara orang menimba ilmu. Barangkali di negara orang dapat membuatkan dia melupakan tentang sesuatu atau dia mendapat sesuatu yang manis di sana. Aku hanya mampu mendoakan. Dan Abah mahu tidak mahu tidak boleh lagi seperti dulu2. Abah kian dibebani komitmen. Dan sengsara dan sepinya adalah mama.

Aku tahu mama selalu memikirkan tentang sesuatu. Tentang bakal kehilangan-kehilangan kami. Barangkali tentang aku juga yang selalu berbicara tentang rasa gembira di rantauan.

Melukai mama sedikit pun aku tidak mahu. Mama sudah cukup derita sejak kecilnya. Menjadi anak yatim seusia lima tahun dan dibesar dalam asuh ibu tiri. Itulah yang membuatkan mama selalu memanjakan kami. Sesuatu yang cukup mengharukan aku apabila seorang ibu lebih kerap mengutuskan mesej khabar berbanding anaknya sendiri.

Dan waktu-waktu terdekat ini biarlah aku menemani mama. Biarlah dekatnya aku pada mama akan menyembuhkan kehilangan Uwan yang selalu menjenguk kami dengan motor buruknya dan Mak Ngah yang membasuh kencing berakku saat aku kecil dahulu ketika mama selalu disibukkan dengan kerja pejabat.

Aku tak pernah salahkan sesiapa. Sesiapa pun tidak bersalah. Cuma rasa bersalah itu sahaja datang kepada aku. Dan aku patut melepaskan.....

Kelambu: Al-Fatihah untuk Uwan dan Mak Ngah

One Response to “meneman ibu”

Anonymous said...

tabahkan hati... takziah...

Powered by Blogger.